Diumumkan pada hujung Ogos tahun ini, Google Pixel 10 Pro Fold merupakan peranti boleh lipat pertama Google Pixel yang akan memasuki pasaran Malaysia secara rasmi. Walaupun ia dilancarkan di sampung Pixel 10, Pixel 10 Pro dan Pixel 10 Pro XL, peranti lipat ini tiba sedikit lewat di pasaran tempatan dan hanya akan mula dijual di sini bermula hari Khamis, 9 Oktober.
Harga Pixel 10 Pro Fold di Malaysia

Pada awalnya, hanya harga permulaan Pixel 10 Pro Fold sahaja yang didedahkan, bermula RM7,999 untuk storan 256GB. Tetapi, terdapat juga varian storan lebih besar yang ditawarkan, dan berikut adalah harga jualan rasmi kedua-dua model:
- Google Pixel 10 Pro Fold 256GB: RM7,999
- Google Pixel 10 Pro Fold 512GB: RM8,599
Promosi tempahan awal Google Pixel 10 Pro Fold

Pembeli awal Google Pixel 10 Pro Fold akan menikmati rebat RM600 di pengedar terpilih. Dengan rebat pra-tempahan ini, harga peranti akan menjadi lebih rendah — RM7,399 dan RM7,999 masing-masing mengikut varian.
Selain itu, mereka turut akan menerima Google Pixelsnap Case bernilai RM339 secara percuma. Antara pengedar sah yang kami jumpa menawarkan promosi tempahan awal ini termasuk seperti stor Google Pixel di Shopee, Urban Republic, Senheng / senQ dan juga Thunder Match
Dalam masa yang sama, anda juga boleh membuat tempahan Pixel 10 Pro Fold melalui Maxis, namun hanya varian 512GB ditawarkan buat masa ini. Tiada rebat yang disediakan, sebaliknya pelanggan Maxis akan menerima set hadiah bernilai sehingga RM2,120, termasuk fon putik Google Pixel Buds 2a.

Set hadiah itu turut merangkumi langganan Google One AI Pro selama 12 bulan, YouTube Premium selama 3 bulan, serta Fitbit Premium selama 6 bulan. Perlu diingat bahawa set hadiah ini hanya ditawarkan kepada pelanggan yang membuat tempahan melalui stor online Maxis.
Untuk maklumat lanjut tentang spesifikasi, anda boleh layari artikel pelancaran Google Pixel 10 Pro Fold kami.