Realme baru sahaja melancarkan telefon pintar Realme 15 Pro Games of Thrones Edisi Terhad, hasil kolaborasi bersama Warner Bros. Discovery Global Consumer Products. Macam yang anda boleh jangka, telefon pintar ini diilhamkan oleh siri televisyen Games of Thrones dengan, dan dikatakan menampilkan teknologi Perubahan Warna Dragonfire pertama di dunia bersama-sama kotak edisi terhad.
Pelancarannya berlangsung serentak di pentas global dan Malaysia. Menariknya, majlis pelancaran global itu diadakan di Game of Thrones Studio Tour, iaitu lokasi penggambaran asal siri popular tersebut di Linen Mill Studios, Banbridge, Ireland Utara.
Harga dan ketersediaan

Realme 15 Pro Game of Thrones Edisi Terhad akan mula dijual di Malaysia mulai 10 Oktober 2025. Ia ditawarkan dalam satu varian RAM 12GB dan storan 512GB pada harga RM2,499. Sebagai perbandingan, ianya RM400 lebih mahal berbanding versi Realme 15 Pro biasa untuk storan sama.
Bagi meraikan pelancarannya, Realme Malaysia turut menawarkan hadiah percuma berjumlah RM1,197 kepada pembeli, termasuk fon putik Buds T200 (RM199), waranti lanjutan 1 tahun (RM399) dan waranti keretakan skrin 1 tahun (RM599). Namun, Realme tidak menyatakan bila ini promosi akan tamat.
Peminat-peminat Game of Thrones yang ingin mendapatkan telefon pintar Realme 15 Pro Games of Thrones Edisi Terhad boleh membuat pembelian menerusi kedai jenama Realme, Lazada, Shopee, TikTok, serta pengedar sah Realme di seluruh negara.
Reakaan unik Realme 15 Pro bertemakan Games of Thrones

Perkara yang menarik pada Realme GT 15 Pro Games of Thrones ini semestinya dari segi rekaannya. Panel belakangnya menampilkan gabungan warna hitam dan emas, diperbuat daripada kulit hitam premium dengan ukiran 3D lambang House Targaryen di bahagian tengah. Modul kameranya turut direka dengan sentuhan unik berserta perkataan Games of Thrones, lengkap dengan bingkai menyerupai cakar naga emas. Keseluruhan badan pun cukup nipis, hanya 7.84mm.

Satu lagi tarikan utama ialah teknologi Perubahan Warna Dragonfire, yang dikatakan pertama di dunia. Ia membolehkan panel belakang bertukar daripada hitam ke merah apabila terkena air bersuhu 44 darjah, seakan sama yang diperkenalkan pada realme 14 Pro 5G. Bezanya, kali ini ia digunakan pada kemasan kulit, dan Realme mengatakan perubahan warna merah ini diinspirasikan daripada kelahiran semula Daenerys Targaryen dari api.
Edisi khas ini turut hari dengan dengan kotak hadiah khas yang diilhamkan oleh Peta Westeros dan peti telur naga Daenerys. Di dalamnya, anda akan temui pendiri telefon Iron Throne, surat perkamen misteri, pin Hand of the King, serta poskad dan pelekat bertema Game of Thrones, menjadikan keseluruhan pengalaman benar-benar bertemakan dunia Games of Thrones.



Sistem pengimejan pada model edisi terhad ini adalah sama seperti model Realme 15 Pro biasa, menampilkan kamera utama 50MP f/1.8 yang menggunakan sensor Sony IMX 896, kamera ultralebar 50MP f/2.0 dan kamera hadapan 50MP f/2.4. Semua kamera ini turut menyokong rakaman 4K 60FPS. Namun, apa yang berbeza adalah, ia disertakan dengan Filter bertemakan GOT dalam tona suam dan sejuk, serta fungsi AI Edit Genie khas membolehkan pengguna menukar pakaian mereka kepada gaya GOT dengan satu arahan suntingan.

Realme juga mengatakan peranti ini datang dengan antara muka unik “Ais” dan “Api” yang dikatkaan menawarkan kesan visual yang sinematik. Dari segi perisian, ia sepatutnya menjalankan Realme UI 6.0 berasarkan Android 15, seperti varian biasa.
Spesifikasi lain Realme 15 Pro Games of Thrones

Selain daripada itu, lain-lain spesifikasi model edisi terhad ini adalah sama seperti model Realme 15 Pro biasa. Ia dikuasakan cip Snapdragon 7 Gen 4 4nm yang dipadankan dengan RAM LPDDR4X seluas 12GB dan storan jenis UFS 3.1 seluas 512GB. Bateri 7,000mAh dimuatkan di dalam dan ia menyokong pengecasan Ultra Charge 80W, membenarkan telefon boleh dicas dari 0% ke 50% dalam masa 25 minit atau penuh dalam masa hanya 61 minit.

Skrin telefon pintar Realme GT 15 Pro Games of Thrones ini bersaiz 6.8″ jenis AMOLED dengan resolusi 1280 x 2800 serta kadar segar semula 144Hz. Ia juga menyokong kecerahan biasa 1,800nits dan puncak setinggi 6,500 nits, dengan memiliki tahap PWM Dimming 4,608Hz.
Selain itu, siri Realme 15 juga dilengkapkan dengan lampu Pulse Light pada modul kamera di belakang, yang boleh berkelip mengikut notifikasi, panggilan, penggera, irama muzik. Ia juga berfungsi untuk kiraan detik ambil gambar, isyarat GT Mode, dan boleh sync dengan AI Gemini. Telefon ini turut menerima penarafan kalis air dan debu IP69, dilindungi kaca Corning Gorilla Glass di skrinnya, dan menyokong sambungan WiFi 6, Bluetooth 5.4 dan 5G.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Realme 15 Pro Games of Thrones.