Vivo secara rasmi telah melancarkan siri telefon pintar flagship terbaharunya siri Vivo X300, dalam satu majlis pelancaran di Shanghai, China. Siri ini terdiri daripada dua model, iaitu Vivo X300 dan Vivo X300 Pro. Tidak seperti sebelumnya, tiada lagi model Pro Mini diperkenalkan kali ini, sebaliknya Vivo dlihat ingin menampilkan X300 biasa sebagai penggantinya, dengan menjadikan model asas baharu ini lebih kompak.
Selain itu, siri Vivo X300 yang baru diumumkan ini turut membawakan beberapa peningkatan, termasuk dari segi prestasi, bateri, pengecasan dan kamera.
Harga siri Vivo X300 di China
Berikut adalah harga jualan untuk Vivo X300 dan Vivo X300 Pro:
Vivo X300
- 12GB + 256BG – CNY4,399 (~RM2,612)
- 16GB + 256GB – CNY4,699 (~RM2,791)
- 12GB + 512GB – CNY4,999 (~RM2,969)
- 16GB + 512GB – CNY5,299 (~RM3,147)
- 16GB + 1TB – CNY5,999 (~RM3,563)
Vivo X300 Pro
- 12GB + 256BG – CNY5,299 (~RM3,147)
- 12GB + 512GB – CNY5,999 (~RM3,563)
- 16GB + 1TB – CNY6,699 (~RM6,999)
Tempahan untuk siri Vivo X300 telah pin dibuka untuk pasaran China, dengan jualan pertamanya akan bermula pada 17 Oktober 2025. Di pasaran Malaysia, peranti ini dikatakan akan dilancarkan tidak lama lagi, namun tiada tarikh yang diumumkan setakat ini.
Spesifikasi Vivo X300 Pro

Untuk model Vivo X300 Pro, bahagian skrinnya didapati masih sama dengan model sebelumnya, X200 Pro. Ia menggunakan skrin LTPO AMOLED bersaiz 6.78″ dengan resolusi 1260 x 2800 dan kadar segar semula 120Hz. Skrin model baharu ini turut menyokong kecerahan puncak 4,500 nits, serta mampu dimalapkan sehingga 1 nits, selain memiliki PWM dimming 2,160Hz dan bezel nipis 1.1mm.

Pengimbas cap jari ultrasonik dalam skrin masih dikekalkan. Reka bentuk keseluruhan masih menampilkan modul kamera bulat, dengan bingkai rata setebal 7.99mm dan berat 226g. Selain itu, telefon juga kalis air IP68 & IP69, dan tersedia dalam empat pilihan warna iaitu hitam, coklat, biru dan putih.
Naik taraf ketara pada Vivo X300 Pro boleh ditemui pada bahagian dalamannya. Vivo X300 Pro dilengkapkan dengan SoC MediaTek terkini, Dimensity 9500, yang digabungkan dengan RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 4.1 sehingga 1TB. Vivo turut menyertakan cip pengimejan V3+ dan VS1 untuk mengoptimumkan kualiti foto dan video.

Untuk sistem kameranya, Vivo X300 Pro dilengkapi dengan tiga kamera belakang yang ditala pakar kamera ZEISS. Pertama sekali adalah kamera telefoto ZEISS APO 200MP menggunakan sensor Samsung HBP 1/1.4”, lengkap dengan salutan lensa ZEISS T* bagi mengurangkan pantulan dan silau. Ia turut disertai kamera utama 50MP f/1.57 berasaskan sensor Sony LYT-828 1/1.28”, yang dikatakan menampilkan penstabilan bertaraf gimbal bagi menghasilkan rakaman lebih stabil dan sinematik.
Baki dua lagi kamera adalah kamera ultralebar dan kamera depan yang kedua-duanya menggunakan sensor sama 50MP Samsung JN1 f/2.0. Selain itu, Vivo turut menambah baik keupayaan videonya yang kini menyokong rakaman potret 4K 60fps, video 4K 120fps 10-bit Log.

Kapasiti bateri juga dipertingkat, dengan tangki bersaiz 6,510mAh menggunakan teknologi BlueVolt Silicon Anode, yang menurut Vivo menawarkan ketahanan setanding telefon dengan bateri 7,000–7,500mAh. Ia menyokong FlashCharge 90W berwayar dan pengecasan wayarles 40W, bersama sambungan USB 3.2 Gen 1, WiFi 6, Bluetooth 6.0, dan NFC.
Spesifikasi Vivo X300

Beralih kepada Vivo X300 pula, seperti X200 Pro Mini terdahulu, ia hadir dengan skrin LTPO AMOLED berukuran 6.31″ beresolusi 1216 × 2640. Seperti model Pro, skrinnya turut menyokong kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 4,500 nits. Tetapi badan sedikit lebih 7.95mm dengan berat 190g, dan boleh didapati dalam lima warna termasuk hitam, biru, ungu, merah jambu dan merah.

Dari segi prestasi, X300 turut dikuasakan oleh MediaTek Dimensity 9500, dengan RAM sehingga 16GB dan storan sehingga TB1. Baterinya sedikit lebih kecil berbanding versi Pro, berkapasiti 6,040mAh, namun masih menyokong FlashCharge 90W USB-C dan wayarles 40W.

Sistem kamera Vivo X300 juga menerima naik taraf besar berbanding X200 Pro Mini. Dengan didatangkan tiga kamera belakang, Vivo X300 turut menggunakan sensor 200MP Samsung HPB bersaiz 1.1,4″, tapi pada kamera utamanya dan bukan telefoto seperti model Pro. Kamera utama X300 pula menggunakan sensor 50MP jenis Sony LYT-602 1/1.95″, bersama-sama dengan kamera ultralebar dan kamera depan 50MP JN1 f/2.0.
Seperti model Pro, X300 juga menerima penarafan IP68 dan IP69 untuk kalis air dan debu, serta menyokong USB 3.2 Gen 1 dan NFC. Namun, model X300 hanya menyokongWiFi 5 dan Bluetooth 5.4.

Kedua-dua model dalam siri ini menjalankan OriginOS 6 berasaskan Android 16 sejurus keluar kotak, dikatakan menawarkan kelancaran penggunaan sehingga 5 tahun, hasil pengiktirafan pensijilan SGS untuk ketahanan penggunaan jangka panjang.

Vivo turut memperkenalkan ZEISS 2.35x Telephoto Extender dan kit fotografi khusus yang serasi dengan model dalam siri ini. Aksesori ini direka untuk memberi kawalan lebih luas kepada pengguna ketika merakam subjek jarak jauh seperti konsert atau pemandangan semula jadi.