Nubia telah memperkenalkan telefon pintar flagship terbaharu mereka, Nubia Z80 Ultra, di pasaran China, menggantikan model Z70 Ultra yang dilancar tahun lalu Nubia turut mengesahkan peranti flaghsip terbaharu ini akan tiba ke pasaran global pada 6 November.
Spesifikasi Nubia Z80 Ultra

Bermula dengan rekaan, Nubia masih mengekalkan rekaan sama seperti sebelum ini dengan badan berkotak bagi Nubia Z80 baharu ini. Cuma perbezaan ketara adalah pada susunan kamera di belakang dan mereka turut menyatakan model baru ini tampil dengan badan gentian kristal bersama lengkungan natural di keempat-empat sisi untuk genggaman lebih selesa.
Model ini hadir dalam tiga pilihan warna Hitam, Putih, dan edisi khas Biru Starry Night yang diinspirasikan daripada karya agung Vincent Van Gogh. Peranti juga diiktiraf kalis air dan debu IP68 dan IP69


Bahagian hadapan peranti menampilkan skrin AMOLED BOE X10 berukuran 6.85 inci, dengan resolusi 1.5K, kadar segar semula 144Hz, kecerahan puncak 2,000 nits, dan kadar pensampelan sentuh 3,000Hz. Ia turut mengekalkan kamera swafoto bawah skrin 16MP, memberikan pengalaman tontonan yang benar-benar penuh tanpa sebarang lubang atau takuk kamera.

Untuk pengimejan di belakang, kiraan megapiksel kekal tidak berubah, masih gabungan 50MP+50MP+64MP. Namun, Nubia kini memuatkan sensor kamera utama baharu Omnivision 990 bersaiz 1/1.3 inci, dikatakan mampu menghasilkan imej lebih tajam dan terang walaupun dalam keadaan cahaya rendah. Kamera utama ini menggunakan resolusi 50MP f/1.7 dengan jarak fokal 35mm.
Ia digandingkan dengan kamera ultra lebar 50MP f/1.8 berjarak fokal 18mm serta kamera telefoto periskop 64MP f/2.4 yang menyokong zum optikal 3x. Nubia turut menyertakan 21 penapis terbina dalam untuk hasil lebih kreatif, serta AI Imaging Model yang didakwa mampu mengoptimumkan tetapan mengikut situasi.

Dari segi prestasi, nubia Z80 Ultra dikuasakan oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, digabungkan dengan RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 4.1 sehingga 1TB. Untuk pengalaman gaming, ia dilengkapi dengan CUBE Gaming Engine dari siri RedMagic, menyokong permainan pada resolusi 2K dengan kadar 144Hz menerusi sistem AI Super Frame Stabilization bagi visual lebih lancar.
Sistem penyejukannya turut dinaik taraf dengan gabungan 3D Ice Steel VC dan cecair logam komposit, yang menurut Nubia meningkatkan kawasan penyejukan sehingga 35%. Di bawahnya, terdapat bateri besar 7,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 90W berwayar dan 80W wayarles,



Untuk keperluan fotografi, Nubia turut memperkenalkan kit fotografi khas Retro Kit 2.0 baharu, yang dibangunkan bersama Fotorgear. Set aksesori ini merangkumi pemegang bertekstur kulit, butang pengatup mekanikal, lensa tambahan, tapak kamera (mount), serta ruang untuk aksesori lain seperti mikrofon atau lampu video
Harga Nubia Z80 Ultra di China
Di China, Nubia Z80 dijual pada harga seperti berikut:
- Nubia Z80 Ultra 12GB+512GB – CNY4,999 (~RM2,963)
- Nubia Z80 Ultra 16GB+512GB – CNY5,299 (~RM3,140)
- Nubia Z80 Ultra 16GB+1TB – CNY5,699 (~RM3,377)
- Nubia Z80 Ultra edisi Starry Night 16GB+1TB – CNY5,999 (~RM3,555)
Manakala, kit fotografi pula dijual pada harga CNY669 (~RM414)
Seperti yang dinyatakan awal tadi, Nubia Z80 Ultra akan dilancarkan secara global pada 6 November ini, dengan ia akan mula dijual bermula 18 November. Cuma, Nubia masih belum mengesahkan sama ada pasaran Malaysia turut terlibat dengan pelancaran antara bangsa atau tidak.






