Pada hujung minggu lalu, Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) telah menandatangani satu perjanjian perdagangan yang merangkumi pelbagai aspek dalam sektor digital dan teknologi.
Antara perkara utama yang dipersetujui ialah komitmen Malaysia untuk tidak mengenakan cukai perkhidmatan digital terhadap syarikat teknologi dari AS, selain membatalkan keperluan sumbangan mandatori sebanyak 6% kepada dana tempatan yang sebelum ini diwajibkan bagi syarikat yang beroperasi di negara ini.
Bagi aspek infrastruktur Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk pembangunan 5G dan 6G, Malaysia turut bersetuju untuk hanya menggunakan penyedia teknologi yang memenuhi piawaian keselamatan yang telah dipersetujui bersama, dengan rundingan berterusan antara kedua-dua negara.
Pengecualian cukai perkhidmatan digital untuk syarikat teknologi AS

Di bawah perjanjian baharu ini, Malaysia bersetuju untuk tidak mengenakan sebarang bentuk cukai perkhidmatan digital (Digital Service Tax) terhadap syarikat teknologi dari Amerika Syarikat. Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk melindungi penyedia perkhidmatan digital berpengkalan di AS, termasuk platform media sosial, penstriman, serta pengkomputeran awan.
Untuk rekod, Malaysia mula mengenakan cukai perkhidmatan digital sebanyak 6% terhadap perkhidmatan dalam talian sejak 1 Januari 2020, dan berjaya mengutip lebih RM400 juta pada tahun pertama pelaksanaannya. Cukai ini dikenakan ke atas pelbagai platform dalam talian seperti Google, Netflix, Adobe, PlayStation Store, Steam, Facebook dan AWS.
Dengan perjanjian ini, rakyat Malaysia mungkin bakal menikmati langganan dan akses kepada perkhidmatan digital dari AS tanpa cukai digital dalam masa terdekat.
Pengecualian sumbangan 6% kepada Dana USP untuk syarikat teknologi AS

Selain pengecualian cukai digital, Malaysia juga bersetuju untuk mengecualikan penyedia perkhidmatan media sosial dan awan dari Amerika Syarikat daripada kewajipan menyumbang kepada dana tempatan bagi membolehkan mereka beroperasi di Malaysia.
Klausa ini secara efektif mengecualikan syarikat teknologi utama AS daripada membuat sumbangan kepada Dana Universal Service Provision (USP) di bawah MCMC, yang digunakan untuk membiayai projek telekomunikasi dan inisiatif kesalinghubungan luar bandar, termasuk pembinaan menara baharu serta pemasangan gentian optik di kawasan kurang liputan.
Pada masa ini, semua penyedia perkhidmatan media sosial dan awan, sama ada tempatan mahupun antarabangsa, diwajibkan menyumbang sebanyak 6% daripada hasil pendapatan mereka kepada dana tersebut, sama seperti syarikat telekomunikasi lain yang beroperasi di bawah lesen MCMC.
Peraturan telus dan adil untuk platform media sosial serta penyedia awan
Perjanjian itu turut menyatakan bahawa Malaysia perlu melaksanakan undang-undang dan peraturan domestiknya terhadap platform media sosial dan penyedia perkhidmatan awan secara telus, adil, serta tanpa diskriminasi, selaras dengan prinsip proses sewajarnya (due process).
Ini bermakna sebarang tindakan penguatkuasaan oleh MCMC terhadap platform berpangkalan di Amerika Syarikat termasuk berkaitan moderasi kandungan atau pendedahan data pengguna, perlu dijalankan mengikut prosedur yang jelas, secara telus dan saksama, tanpa sebarang layanan berbeza antara syarikat tempatan dan asing.
Penggantungan kekal arahan pengalihan DNS ke pelayan tempatan
Menariknya, perjanjian ini juga menyentuh isu pengalihan DNS secara senyap yang pernah dilakukan oleh MCMC pada tahun 2024, satu langkah yang mencetuskan kontroversi ketika itu. Berdasarkan perjanjian baharu ini, Malaysia akan membatalkan atau menggantung secara kekal arahan yang menghendaki semua trafik DNS dialihkan ke pelayan DNS tempatan.
Seperti yang dilapor pada Ogos 2024, pihak MCMC telah mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk “menambah baik pengurusan DNS” kononnya bagi melindungi pengguna daripada ancaman dalam talian. Namun, langkah itu menyebabkan trafik internet yang menggunakan pelayan DNS alternatif seperti Google dan Cloudflare dipaksa kembali ke pelayan DNS tempatan.
Selepas menerima kritikan hebat daripada orang ramai, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akhirnya mengumumkan pembatalan arahan tersebut.
Malaysia hanya boleh guna pembekal teknologi yang “dipercayai”

Salah satu penambahan penting dalam perjanjian ini ialah komitmen Malaysia untuk hanya menggunakan pembekal teknologi komunikasi yang tidak menjejaskan keselamatan, perlindungan atau hak harta intelek infrastruktur ICT negara. Perkara ini merangkumi rangkaian sambungan utama seperti 5G, 6G, komunikasi satelit dan kabel dasar laut.
Salah satu penambahan penting dalam perjanjian ini ialah komitmen Malaysia untuk hanya menggunakan pembekal teknologi komunikasi yang tidak menjejaskan keselamatan, perlindungan atau hak harta intelek infrastruktur ICT negara. Perkara ini merangkumi rangkaian sambungan utama seperti 5G, 6G, komunikasi satelit dan kabel dasar laut.
Malaysia perlu berunding dengan AS sebelum tandatangan perjanjian digital baharu, tiada sekatan eksport nadir bumi

Malaysia juga diwajibkan untuk berunding dengan Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum menandatangani sebarang perjanjian perdagangan digital baharu dengan negara lain yang boleh menjejaskan kepentingan AS.
Selain itu, Malaysia juga perlu mengelak daripada mengenakan larangan eksport mineral kritikal ke AS serta menghapuskan sebarang kuota eksport nadir bumi. Malaysia turut komited untuk mempercepat pembangunan sektor nadir bumi dan mineral kritikal melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat AS, bagi memastikan rantaian bekalan yang lebih selamat dan pelbagai.
Kerajaan juga perlu memberi jaminan yang lebih kukuh kepada syarikat perlombongan, termasuk melanjutkan tempoh lesen operasi serta menumpukan kepada peningkatan keupayaan teknikal mereka bagi memberi kepastian kepada pelabur dan menyokong pertumbuhan operasi.
Malaysia turut bersetuju untuk menggalakkan bekalan magnet nadir bumi kepada AS dengan terma yang menguntungkan, tertakluk kepada persetujuan bersama. Dalam masa yang sama, Malaysia tidak akan mengenakan sekatan terhadap penjualan magnet nadir bumi kepada syarikat-syarikat AS.
Apakah implikasi jangka panjang terhadap dasar digital dan teknologi Malaysia?
Perjanjian perdagangan yang ditandatangani antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi Malaysia akses lebih baik kepada pasaran AS. Walaupun cukai timbal balik AS terhadap Malaysia kekal pada kadar 19%, sebanyak 1,711 barangan telah dikecualikan, termasuk komoditi eksport utama seperti minyak sawit, getah, koko, komponen pesawat, dan farmaseutikal.
Namun, walaupun pengecualian dan klausa keselamatan dalam sektor teknologi ini memberi kelebihan besar kepada syarikat teknologi gergasi AS, timbul persoalan tentang kesannya terhadap pemain tempatan dan ekosistem teknologi global dalam jangka panjang.
Adakah Malaysia akan melanjutkan pengecualian cukai digital 6% dan pengecualian sumbangan 6% kepada Dana USP kepada platform serta penyedia perkhidmatan awan berpengkalan di Malaysia? Jika tidak, ini boleh mencetuskan ketidakseimbangan persaingan, di mana syarikat teknologi AS menikmati kelebihan istimewa berbanding inovator tempatan.
Klausa teknologi yang mengawal infrastruktur ICT kritikal dan perdagangan digital juga menimbulkan persoalan tentang kebebasan Malaysia dalam memilih teknologi. Ketika ini, U Mobile bekerjasama dengan Huawei dan ZTE bagi pelaksanaan rangkaian 5G kedua di Malaysia. Beberapa tahun lalu, AS pernah memberi amaran mengenai risiko keselamatan nasional yang mungkin timbul akibat penglibatan Huawei dalam pelaksanaan 5G negara.
Justeru, adakah pada masa hadapan pilihan teknologi Malaysia akan terhad kepada pembekal yang disukai blok Barat? Dan bagaimana pula Malaysia dapat memastikan kedaulatan digital serta persaingan yang adil kekal terpelihara?
[Sumber: White House] [Sumber gambar]






