Realme kini mengesahkan bahawa telefon pintar flagship mereka yang seterusnya, Realme GT 8 Pro akan dilancar di Malaysia pada 24 November 2025. Menurut pengumuman rasmi realme Malaysia, siri ini akan ditawarkan dalam dua varian, Realme GT 8 Pro dan GT 8 Pro Dream Edition, berkemungkinan model ekslusif Aston Martin sama seperti diperkenal pada Realme GT 7.
Realme GT 8 Pro dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, dan turut membawakan sistem kamera yang dibangunkan dengan kerjasama pakar optik kamera RICOH GR. Model ini sebenarnya telah diperkenalkan di pasaran China pada penghujung Oktober lalu bersama versi GT 8 standard, namun buat masa ini hanya varian Pro disahkan untuk pasaran Malaysia.
Promosi tempahan awal Realme GT 8 Pro di Malaysia

Tempahan awal untuk miliki siri Realme GT 8 Pro telah pun dibuka dari sekarang sehingga 28 November 2025. Pengguna boleh menempah dengan meletakkan deposit sebanyak RM50 di kedai jenama Realme berdekatan, dan akan menerima hadiah percuma bernilai RM1,197, termasuk:
- Rebat tunai RM200
- Realme Watch 5
- Set Detachable Camera Decoration Protective Cover (untuk GT 8 Pro standard)
- Promosi PWP untuk Realme Buds Clip
- Jaminan tambahan 1 tahun
Spesifikasi Realme GT 8 Pro

Salah satu perkara yang ditumpukan Realme GT 8 Pro adalah pada bahagian kameranya. Ia dibangunkan dengan kerjasama pakar kamera RICOH GR, dengan Realme menyatakan kolaborasi memakan masa selama 4 tahun untuk disiapkan.
GT 8 Pro hadir dengan sensor utama 200MP Sony IMX bersama lensa optik GR khas dengan salutan anti-silau. Ia turut menawarkan pengalaman fotografi klasik dengan beberapa mod filem seperti Positive, Negative dan High-contrast B&W, serta ciri seperti Immersive Framing Mode dan Snap Focus yang diinspirasikan daripada kamera RICOH GR.

Selain itu, ia juga dilengkapi kamera telefoto periskop 200MP yangberkebolehan zum optikal 3x dan lossless 12x, serta ada kamera ultralebar 50MP. Kamera hadapan pula menggunakan sensor 32MP.
Menariknya, Realme turut memperkenalkan reka bentuk kamera boleh tukar pada modul kamera belakang, membolehkan pengguna menukar bentuk modul kamera mengikut citarasa tersendiri.
Bahagian hadapannya menampilkan skrin AMOLED 6.79″ dengan resolusi 1440 dan menyokong kadar segar semula setinggi 4,000 nits. Ia juga memiliki penarafan kalis air dan debu IP66, IP68 dan IP69.

Dari segi prestasi, kuasa utama Realme GT 8 Pro digerakkan oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, digabungkan dengan Hyper Vision+ AI Chip dan Signal Catcher Chip dalam seni bina tiga cip. Gabungan ini dikatakan Realme menjadikan GT 8 Pro antara telefon paling berkuasa dengan markah AnTuTu melebihi 4 juta. Malah realme mendakwa ia mampu menjalankan dua permainan berat serentak pada tetapan grafik tertinggi.

Di China, Realme GT 8 Pro ditawarkan dengan RAM sehingga 16GB dan storan sehingga 1TB. Untuk tenaga, bateri berkapasiti 7,000mAh dimuatkan dalam telefon dan ia menyokong pengecasan 120W USB-C dan 50W wayarles. Sejurus keluar kotak, Realme GT 8 Pro akan menjalankan Android 16 yang diselaputi dengan Realme UI 7.
Kerjasama Realme dengan MakerWorld

Seperti dikatakan tadi, Realme GT 8 Pro hadir dengan reka bentuk modul kamera boleh tukar, satu ciri unik yang membolehkan pengguna menukar hiasan kamera mengikut cita rasa sendiri. Untuk meraikannya, Realme bekerjasama dengan MakerWorld, platform reka bentuk 3D milik Bambu Lab, dengan menganjurkan MakerWorld x realme GT 8 Pro Deco Design Contest.
Melalui pertangingan ini, pengguna boleh mencipta reka bentuk kamera mereka Melalui pertandingan ini, pengguna boleh mereka sendiri modul kamera 3D atau memuat turun reka bentuk sedia ada di MakerWorld untuk dicetak dan dipasang pada telefon mereka. Pertandingan ini dibuka kepada orang ramai dari sekarang hingga 20 Disember 2025, dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman rasmi MakerWorld.






