Berikutan pelancaran Yes 5G Advanced dua bulan lalu, syarikat telekomunikasi itu kini akhirnya menunaikan janji mereka untuk meluaskan rangkaian 5G Advanced ke seluruh negara di atas rangkaian Digital Nasional Berhad (DNB) sebelum akhir 2025.
Ketika ini, Yes 5G merupakan satu-satunya telco di Malaysia yang menawarkan 5G Advanced di seluruh negara, dengan DNB merekodkan liputan populasi 5G sebanyak 82.4% di Malaysia.
Selain itu, Yes juga menjadi telco pertama di Malaysia yang menawarkan 5G Advanced untuk pelan prabayar. Pelan prabayar ini turut menjadi cara paling mampu milik untuk menikmati 5G Advanced, dengan langganan bermula serendah RM10 sebulan.
Seperti biasa, Yes 5G menawarkan data 5G tanpa had kelajuan sepanjang hari, memastikan pengguna dapat memanfaatkan sepenuhnya keupayaan rangkaian tersebut.

Untuk memastikan 5G Advanced boleh diakses oleh lebih ramai pengguna, Yes memperkenalkan pek permulaan Yes 5G Advanced baharu pada harga RM10. Ia didatangkan dengan data 5G sebanyak 20GB tanpa had kelajuan, serta penggunaan hotspot yang dikongsi.
Pelan prabayar Yes 5G hadir dengan tempoh sah 30 hari, serta menawarkan panggilan tanpa had dan SMS tanpa had dalam rangkaian Yes 5G.
Untuk pengguna yang memerlukan lebih banyak data, Yes turut menawarkan beberapa pilihan pelan prabayar lain:
- Yes 5G Advanced Starter Pack (RM10/sebulan) – 20GB 5G Advanced + 4G, hotspot dikongsi
- Yes 5G Advanced Prepaid 20 (Promosi RM15/sebulan) – 50GB 5G Advanced + 4G, hotspot dikongsi, ciri data rollover
- Yes 5G Advanced Prepaid 30 (RM30/sebulan) – 5G tanpa had kelajuan, 4G tanpa had sehingga 7Mbps, 12GB hotspot

Bagi promosi RM15 sebulan untuk pelan Prepaid 20, ia berlangsung dari 15 Disember hingga 15 Mac 2026. Ia turut menyokong “data rollover”, membolehkan data tidak digunakan dibawa ke bulan seterusnya sekiranya pembaharuan dibuat sebelum tempoh tamat.
Pengguna boleh melanggan pelan ini melalui aplikasi MyYes dan mengaktifkannya serta-merta dengan menggunakan eSIM. Sekiranya anda mahu menggunakan kad sim fizikal, pek permulaan Yes boleh didapati di stor Yes dan pengedar sah Yes. Pek ini juga akan mula dijual di cawangan MyNews dan CU bermula 22 Disember 2025.
Untuk menikmati 5G Advanced, peranti yang digunakan mestilah serasi. Buat masa ini, Yes 5G Advanced menyokong peranti daripada Samsung, Xiaomi, Vivo, Honor, ZTE, Nothing dan Realme. Senarai keserasian penuh boleh disemak di laman web Yes. Namun begitu, iPhone masih belum disokong setakat ini.
Pengguna boleh mengenal pasti sambungan 5G Advanced apabila nama rangkaian dipaparkan sebagai “Yes 5G advanced” pada peranti.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K Lee berkata, “Apabila Yes 5G Advanced dilancarkan pada Oktober lalu, kami telah menaik taraf semua pelanggan pascabayar dan jalur lebar kami untuk menikmati teknologi 5G terkini bertaraf dunia tanpa kos tambahan. Hari ini, kami membawakan 5G Advanced kepada semua pelanggan prabayar.”
Beliau menambah, “Matlamat kami adalah untuk memastikan semua rakyat Malaysia, termasuk pengguna aktif dan kreatif hari ini, mempunyai akses mampu milik kepada teknologi 5G terkini. Dengan pek permulaan RM10 ini, kami menghapuskan halangan untuk mereka menstrim, bermain permainan dan menghasilkan kandungan pada kualiti PALING tinggi, di mana sahaja di seluruh negara. Ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha Malaysia menjadi sebuah negara digital yang bersedia untuk AI.”
Sebagai imbas kembali, Yes 5G telah mengaktifkan rangkaian 5G SA (standalone) secara nasional pada suku ketiga 2025. Dengan Yes 5G Advanced, pengguna boleh menikmati kependaman lebih rendah serta sambungan 5G yang lebih stabil.

Yes 5G Advanced turut memanfaatkan spektrum 3.5GHz dan 700MHz, yang dijangka dapat meningkatkan liputan 5G dengan lebih meluas. Memandangkan ia beroperasi menggunakan 5G Core Network, panggilan suara disampaikan melalui VoNR (Voice over New Radio), bermakna panggilan tidak akan jatuh ke rangkaian 4G apabila menerima panggilan masuk.
Pada masa pelancarannya pada Oktober lalu, Yes 5G Advanced merupakan rangkaian 5G Advanced ke-9 di dunia.
Satu lagi kelebihan Yes 5G Advanced ialah sokongan network slicing, yang menyediakan laluan data keutamaan kepada pengguna walaupun rangkaian sedang sesak. Buat masa ini, Yes 5G masih belum memperkenalkan add-on network slicing khusus untuk pengguna.
Untuk maklumat lanjut, layari halaman prabayar Yes 5G Advanced.






