Selain SUV elektrik Vigo, dalam acara pelancaran sama, Dongfeng Malaysia turut memperkenalkan Dongfeng 007. Model ini hadir sebagai sebuah sedan elektrik bersaiz sederhana yang ditawarkan dalam dua varian, iaitu 007 Premium dan 007 Prime.
Berbeza dengan penamaan Proton e.MAS, varian Prime untuk Dongfeng 007 sebenarnya adalah versi paling tinggi. Ini kerana ia dilengkapi sistem motor berkembar dengan pacuan semua roda (AWD), manakala varian Premium menggunakan motor tunggal dengan pacuan roda belakang (RWD).
Harga dan promosi pelancaran

Di Malaysia, Dongfeng 007 ditawarkan pada harga berikut:
- Dongfeng 007 Premium RWD – RM161,000
- Dongfeng 007 Prime AWD – RM187,000
Harga ini sudah termasuk rebat pelancaran RM8,888, tetapi tidak merangkumi yuran atas jalan dan insurans. Seperti model Vigo, pembeli awal Dongfeng 007 turut menerima pengecas rumah ABB wallbox percuma.

Dari segi perlindungan, sedan elektrik ini hadir dengan waranti kenderaan selama enam tahun tanpa had perbatuan, serta waranti lapan tahun tanpa had perbatuan untuk bateri voltan tinggi dan trenkuasa elektrik.
Dongfeng 007 ditawarkan dalam empat warna luaran, iaitu Eclipse Grey, Obsidian Black, Celestial White dan Starlit Silver. Untuk bahagian dalaman, kedua-dua varian hadir dengan kemasan hitam dengan kontras putih sebagai standard. Bagi varian Prime AWD, pembeli turut diberikan pilihan dalaman putih dengan kontras kelabu.
Spesifikasi Dongfeng 007

Sekilas pandang, Dongfeng 007 mungkin kelihatan sekelas dengan sedan elektrik lain seperti BYD Seal dan Tesla Model 3. Namun dari segi saiz, 007 sebenarnya lebih panjang, lebih lebar dan sedikit lebih tinggi berbanding kedua-dua pesaing tersebut.
Ia mempunyai panjang 4,880mm dengan jarak roda 2,915mm, dengan ruang but berkapasiti 452 liter atau 1,026 liter, serta frunk tambahan 40 liter. Ini menjadikannya antara sedan elektrik yang lebih besar dalam segmen ini. Sebagai perbandingan, berikut adalah dimensi fizikal dua pesaingnya:
BYD Seal (2025)
- Dimensi: 4,800mm (L) x 1,875mm (W) x 1,460mm (H)
- Jarak roda: 2,920mm
- Ruang but: 400L / 1,440L
- Frunk: 53L
- Berat: 2,055kg – 2,185kg
Tesla Model 3 (Highland)
- Dimensi: 4,720mm (L) x 1,850mm (W) x 1,440mm (H)
- Jarak roda: 2,875mm
- Ruang but: 594L / 977L
- Frunk: 88L
- Berat: 1,765kg – 1,839kg

Menariknya, kedua-dua varian Dongfeng 007 menggunakan bateri LFP 73.48kWh yang sama. Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan AC 6.6kW serta pengecasan pantas DC sehingga 200kW, membolehkan bateri dicas dari 30% ke 80% dalam masa sekitar 11 minit.
Untuk varian 007 Premium, motor elektrik belakang menghasilkan 200kW (268hp) dan 310Nm tork. Ia mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam 5.8 saat, dengan jarak pemanduan sehingga 650km (CLTC) atau 520km (WLTP).

Sementara itu, varian 007 Prime AWD jelas menyasarkan pembeli yang mahukan prestasi. Dengan dua motor elektrik, ia menghasilkan output gabungan 400kW (536hp) dan 620Nm tork. Hasilnya, pecutan 0–100km/j boleh dicapai dalam hanya 3.9 saat. Namun, jarak pemanduan lebih pendek iaitu 565km (CLTC) atau 389km (WLTP), sejajar dengan penggunaan tenaga yang lebih tinggi.

Kedua-dua varian Dongfeng 007 turut dilengkapi bumbung kaca panoramik, tempat duduk vegan leather, paparan instrumen digital 8.8 inci, serta skrin infotainmen besar 15.6 inci. Ia turut ada sistem audio Wanos dengan 19 pembesar suara, termasuk pembesar suara di penyandar kepala pemandu, sistem kamera 540 darjah, serta sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2.
Galeri imej Dongfeng 007


























