Samsung kini mengesahkan bahawa acara Galaxy Unpacked seterusnya akan berlangsung tidak lama lagi, dengan pelancaran rasmi siri Galaxy S26 dijangka menjadi tumpuan utama. Acara ini akan diadakan di San Francisco, Amerika Syarikat, dan berlangsung pada hari Khamis, 26 Februari 2026 pada jam 2 pagi waktu Malaysia.
Menurut Samsung, acara kali ini akan menandakan fasa baharu dalam era AI mereka, dengan penekanan kepada kecerdasan buatan yang lebih peribadi dan adaptif. Seperti biasa, acara ini boleh distrim secara langsung menerusi laman rasmi Samsung Malaysia, Samsung Newsroom, YouTube, Instagram, Facebook dan LinkedIn.
Melalui video teaser yang dikongsikan, Samsung turut memberi bayangan mengenai ciri Privacy Display, yang dipercayai mampu menggelapkan paparan skrin daripada sudut tertentu bagi melindungi kandungan pada skrin. Ciri ini dijangka eksklusif untuk model Galaxy S26 Ultra, namun perkara ini hanya akan disahkan secara rasmi pada hari pelancaran nanti.
Setakat ini, Samsung belum mendedahkan maklumat lanjut mengenai siri Galaxy S26. Namun berdasarkan maklumat yang tersebar dalam talian, barisan model dijangka kekal sama seperti tahun lalu, iaitu Galaxy S26, Galaxy S26+ dan Galaxy S26 Ultra. Selain telefon pintar, Samsung juga berkemungkinan memperkenalkan Galaxy Buds 4 dan Galaxy Buds 4 Pro dalam acara yang sama.
Spesifikasi siri Galaxy S26
Semakin hampir dengan pelancarannya, semakin banyak khabar angin mengenai spesifikasi siri Galaxy S26 mula tersebar. Secara keseluruhan, perubahan yang dilaporkan kelihatan tidak begitu besar berbanding generasi sebelumnya.

Menurut laporan daripada Sammobile, Galaxy S26 dijangka hadir dengan skrin 6.3 inci AMOLED 2X beresolusi 2340 x 1080 serta kadar segar semula 120Hz. Ia dikatakan dikuasakan cip Exynos 2600, dipadankan dengan RAM 12GB dan storan sehingga 512GB. Dari segi kamera, model ini dijangka mengekalkan tetapan 50MP untuk kamera utama, 10MP telefoto dan 12MP ultralebar, bersama kamera depan 12MP. Untuk bateri, ia menggunakan kapasiti 4,300mAh dengan sokongan pengecasan 25W melalui USB-C serta 15W tanpa wayar.
Bagi Galaxy S26+, model ini dijangka tampil dengan skrin Dynamic AMOLED 6.7 inci beresolusi 3120 x 1440 dan kadar segar semula 120Hz. Ia juga disebut akan menggunakan cip Exynos 2600 yang sama, bersama konfigurasi kamera yang serupa seperti model asas. Kapasiti baterinya pula lebih besar pada 4,900mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 45W dan pengecasan tanpa wayar 15W.

Sementara itu, varian tertinggi Galaxy S26 Ultra dijangka membawa peningkatan lebih ketara. Ia dilaporkan hadir dengan skrin Dynamic AMOLED 2X beresolusi 3120 x 1440 pada 120Hz, serta dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5. Dari segi memori, ia mungkin ditawarkan dengan RAM sehingga 16GB dan storan sehingga 1TB. Bahagian kamera turut menerima perhatian utama dengan kamera utama 200MP, telefoto periskop 50MP, telefoto 10MP dan kamera ultralebar 50MP, selain kamera depan 12MP. Baterinya dikatakan berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 60W dan tanpa wayar 25W.
Ketiga-tiga model dijangka hadir dengan Galaxy AI serta menggunakan skrin anti-reflektif dengan perlindungan Gorilla Armor 2, yang sebelum ini eksklusif untuk Galaxy S25 Ultra. Namun begitu, siri Galaxy S26 dilaporkan tidak menyokong ciri magnet Qi2 terbina.
Tawaran daftar minat Galaxy Unpacked

Seiring dengan pengumuman ini, Samsung turut membuka pendaftaran minat menerusi laman web Samsung Galaxy Unpacked, dari 11 Februari hingga 25 Februari 2026. Mereka yang mendaftar akan menerima e-baucar RM150 untuk pembelian peranti Galaxy terpilih dan siri Galaxy S akan datang, serta berpeluang memenangi hadiah misteri bernilai sehingga RM68,000.
Seperti biasa, segala butiran rasmi termasuk harga dan tarikh jualan di Malaysia akan diketahui selepas acara Galaxy Unpacked berlangsung. Jadi nantikan untuk maklumat lebih lanjut.






