Nothing Malaysia telah melancarkan barisan telefon kelas pertengahan terbaharu mereka, iaitu Phone (4a) dan Phone (4a) Pro. Siri ini membawakan naik taraf spesifikasi yang agak sederhana berbanding generasi sebelum ini, tetapi hadir dengan perubahan rekaan yang lebih ketara, khususnya pada model (4a) Pro.
Harga dan ketersediaan siri Nothing Phone (4a) di Malaysia

Terdapat satu varian yang ditawarkan bagi kedua-dua model, dan berikut adalah harga jualan rasminya di Malaysia:
- Nothing Phone (4a) 12GB + 256GB – RM1,999
- Nothing Phone (4a) Pro 12GB + 256GB – RM2,299
Ini bermakna, kedua-dua model menyaksikan peningkatan harga sekitar RM300 berbanding generasi sebelumnya.
Sekiranya anda berminat, siri Phone (4a) boleh dipratempah dari 2 April hingga 9 April 2026. Pelanggan yang membuat tempahan dalam tempoh ini akan menerima diskaun RM100, lanjutan waranti 1 tahun serta barangan merchandise percuma, selagi stok masih ada. Jualan terbuka pula akan bermula pada 10 April 2026.
Dalam masa sama, pengguna di Malaysia juga berpeluang mendapatkan akses awal pada 4 April 2026 bersama-sama tawaran menarik, tertakluk kepada siapa cepat dia dapat. Model Phone (4a) Pro akan tersedia di CROSSOVER Sunway Pyramid, manakala Phone (4a) pula di Nothing Image Store Plaza Low Yat.
Anda boleh dapatkan Phone (4a) dan Phone (4a) Pro secara dalam talian menerusi nothing.tech, Lazada, Shopee dan TikTok. Ia juga tersedia melalui pengedar sah seperti TMT, Urban Republic, DirectD, The Hello Station, telco U Mobile dan Yes 5G.
Spesifikasi Nothing Phone (4a) Pro

Phone (4a) Pro tampil dengan Glyph Matrix baharu, yang menyerupai sistem pada flagship Phone (3), tetapi dengan resolusi sedikit lebih rendah. Ia menggunakan 137 mini-LED, namun menawarkan saiz paparan yang lebih besar dan kecerahan lebih tinggi untuk memaparkan notifikasi secara visual dengan lebih jelas. Lampu ini boleh memaparkan pelbagai fungsi seperti paparan jam, timer, status bateri, indikator volume dan juga menyokong Glyph Mirror untuk memaparkan previu kamera belakang padanya.

Dari segi rekaan, model Pro ini menggunakan binaan logam dengan badan nipis 7.95mm, yang dikatakan Nothing telefon paling nipis mereka setakat ini. Ia turut diiktiraf kalis percikan air dan debu IP65, dan bahagian skrin hadapannya menggunakan kaca Corning Gorilla Glass 7i.

Di bahagian hadapan, ia menggunakan skrin berukuran 6.83″ jenis AMOLED dengan resolusi 1.5K dan kadar segar semula sehingga 144Hz. Skrin ini juga mampu mencapai kecerahan puncak sehingga 5000 nits untuk kandungan HDR, serta menyokong kadar pensampelan sentuh 2500Hz dan tahap PWM dimming 2160Hz.

Dari segi prestasi, Phone (4a) Pro dikuasakan Snapdragon 7 Gen 4, digandingkan dengan RAM LPDDR5X seluas 12GB dan storan UFS 3.1 256GB. a turut dilengkapi sistem penyejukan VC bersaiz 5300mm² untuk membantu mengekalkan prestasi stabil. Nothing mendakwa peningkatan ketara pada CPU, GPU dan keupayaan AI, selain menyokong permainan seperti PUBG Mobile pada kadar sehingga 90Hz.
Untuk bateri, ia dibekalkan dengan tangki berkapasiti 5080mAh yang menyokong pengecasan pantas 50W, yang mampu mencapai sekitar 60% dalam masa 30 minit. Namun, pengecasan tanpa wayar masih tidak disertakan.

Di bahagian kamera, Phone (4a) Pro dilengkapi dengan tetapan tiga kamera, terdiri daripada:
- Kamera utama Sony LYT700c (OIS)
- Kamera telefoto periskop 50MP (3.5x, Ultrazoom 140x, OIS)
- Kamera ultra-lebar 8MP
- Kamera swafoto 32MP
Sejurus keluar kotak, siri Phone (4a) akan menjalankan Nothing OS 4.1 berasaskan Android 16. Nothing turut menjanjikan peranti akan menerima kemas kini OS selama 3 tahun dan 6 tahun tampalan keselamatan.
Spesifikasi Nothing Phone (4a)

Nothing Phone (4a) pula masih mengekalkan rekaan lutsiner seperti generasi sebelumnya, tetapi hadir dengan lampu Glyph Bar baharu. Ia menggunakan 63 mini-LED yang disusun dalam beberapa zon untuk memaparkan notifikasi dan juga boleh digunakan sebagai lampu tambahan ketika mengambil gambar.

Dari segi rekaan, ia tidak menggunakan binaan metal unibody seperti versi Pro, namun masih menawarkan rangka yang diperkukuh serta perlindungan IP64.


Skrinnya sedikit lebih kecil berukuran 6.78″ menggunakan panel AMOLED, dengan resolusi yang sama (1.5K) tetapi kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak sedikit lebih rendah berbanding model Pro pada 4,500 nits.
Untuk prestasi, Phone (4a) menggunakan cip Snapdragon 7s Gen 4, bersama RAM LPDDR4x 12GB dan storan UFS 3.1 256GB.

Dari segi kamera, konfigurasi yang ditawarkan hampir sama, namun kamera utama 50MP-nya menggunakan sensor Samsung JN5 berbanding sensor Sony pada model Pro. Selebihnya, masih ada kamera telefoto periskop 50MP (3.5x), kamera ultralebar 8MP serta kamera swafoto 32MP. Keupayaan zum digital juga lebih terhad kepada 70x berbanding 140x pada model Pro.
Bateri yang digunakan adalah sama, iaitu 5080mAh dengan sokongan pengecasan 50W, dan turut tidak menyokong pengecasan tanpa wayar.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Nothing Phone (4a) dan Phone (4a) Pro.






