Apple telah melancarkan MacBook Neo pada awal Mac lalu, dan kini ia sudah rasmi ditawarkan di Malaysia. Ia merupakan MacBook paling mampu milik yang pernah diperkenalkan Apple, malah harganya juga lebih rendah berbanding iPhone 17e dan iPad Air M4 baharu.
Harga MacBook Neo di Malaysia

Sekiranya anda berminat untuk dapatkan, MacBook Neo boleh dibeli menerusi stor online Apple Malaysia. Untuk pasaran Malaysia, harga jualan rasmi bermula RM2,499 bagi varian 256GB, manakala model 512GB dengan Touch ID pula ditawarkan pada harga RM2,899.
Selain itu, pengguna juga boleh menikmati harga lebih murah melalui program pendidikan, dengan model 256GB dijual pada RM2,099, manakala versi 512GB pula berharga RM2,499.

Dari segi penghantaran, peranti ini dijangka mula sampai kepada pelanggan sekitar pertengahan April. Namun pilihan untuk ambil di Apple Store TRX masih belum tersedia buat masa ini. MacBook Neo ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu perak, merah jambu, kuning dan biru gelap.

Menariknya, anda juga boleh mendapatkan MacBook Neo pada harga serendah RM2,248 menerusi stor flaghsip Apple di Shopee. Selain itu, MacBook Neo turut ditawarkan melalui pengedar sah Apple di Malaysia seperti:
- Machines – Lazada, Shopee
- ITWorld – Lazada, Shopee
- TMT – Lazada, Shopee
- Senheng – Lazada, Shopee
- Switch – Lazada, Shopee
- Urban Republic – Lazada, Shopee
Spesifikasi MacBook Neo

MacBook Neo menggunakan binaan aluminium dengan bucu membulat. Beratnya sekitar 1.23kg, iaitu sama seperti MacBook Air 13 inci. Ia dilengkapi skrin Liquid Retina 13″ dengan resolusi 2408×1506 serta kecerahan sehingga 500 nits. Namun, memandangkan ia model lebih mampu milik, paparan ini hanya menyokong cakupan warna sRGB dan tidak menawarkan Wide Colour P3 atau True Tone seperti yang terdapat pada MacBook Air.
MacBook Neo dikuasakan cip Apple A18 Pro, iaitu cip yang sama digunakan pada iPhone 16 Pro. Cip ini hadir dengan CPU 6-teras dan GPU 5-teras. MacBook Neo hanya ditawarkan dengan RAM 8GB dengan bandwidth memori sekitar 60GB/s, yang lebih rendah berbanding MacBook Air dengan cip M5. Untuk storan pula, pengguna boleh memilih antara 256GB atau 512GB SSD.

Untuk panggilan video, MacBook Neo dilengkapi kamera FaceTime HD 1080p. Dari segi audio, ia menggunakan pembesar suara stereo dengan sokongan Spatial Audio, dua mikrofon dan bicu audio 3.5mm. Namun berbeza dengan model MacBook yang lebih premium, Neo tidak menyokong Spatial Audio dengan dynamic head tracking apabila menggunakan AirPods yang serasi.

Papan kekunci yang digunakan ialah Magic Keyboard dengan warna sepadan dengan badan laptop, tetapi ia tidak mempunyai lampu latar. Touch ID juga ada, tapi hanya tersedia pada model 512GB. Pad sesentuhnya pula menyokong pelbagai gerakan sentuhan, namun tidak menawarkan maklum balas haptik seperti model MacBook yang lebih mahal.
MacBook Neo menggunakan bateri 36.5Wh, yang menurut Apple mampu menawarkan sehingga 16 jam penstriman video dan sekitar 11 jam pelayaran web tanpa wayar. Dari segi sambungan tanpa wayar, MacBook Neo menyokong WiFi 6E dan Bluetooth 6, manakala port fizikalnya terdiri daripada dua port USB-C api hanya satu menyokong USB 3, manakala satu lagi hanya USB 2.

MacBook Neo menggunakan bateri 36.5Wh, yang menurut Apple mampu menawarkan sehingga 16 jam penstriman video dan sekitar 11 jam pelayaran web tanpa wayar. Ia boleh dicas menggunakan pengecas USB-C 20W, bermakna pengguna juga boleh menggunakan pengecas yang sama seperti yang digunakan untuk mengecas iPhone.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Apple MacBook Neo.






