Selepas melancarkan Realme 16 dan 16 Pro pada April lalu, Realme Malaysia kini mengumumkan penambahan dua peranti dalam keluarga Realme 16 untuk pasaran tempatan, iaitu Realme 16 5G dan Realme 16T 5G.
Kedua-duanya hadir dengan dengan fokus berbeza. Realme 16 5G memberikan keutamaan kepada reka bentuk yang nipis dan ringan walaupun memuatkan bateri yang cukup besar. Sementara itu, Realme 16T 5G pula menawarkan kapasiti bateri gergasi yang didakwa mampu bertahan sehingga dua hari penggunaan berat.
Harga dan ketersediaan Realme 16 5G dan 16T 5G di Malaysia

Kedua-dua model ini boleh didapati di pasaran tempatan bermula 13 Jun 2026. Berikut adalah harga jualan Realme 16 5G dan 16T 5G di Malaysia:
- Realme 16 5G –
RM1,599RM1,499 - Realme 16T 5G –
RM1,399RM1,299
Menariknya, bagi setiap pembelian mana-mana model sepanjang tempoh jualan pertama bermula 13 Jun, pembeli akan menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM537. Set hadiah ini merangkumi kipas tangan Aisolove, Jaminan Lanjutan selama Satu Tahun, dan Jaminan Skrin Retak selama 180 hari.

Bagi yang berminat, anda boleh dapatkan kedua-dua peranti ini menerusi kedai jenama rasmi realme, pengedar sah di seluruh negara, serta stor dalam talian mereka di Shopee, Lazada, dan TikTok Shop.
Spesifikasi Realme 16 5G

Fokus utama realme 16 5G adalah rekaannya yang digelar sebagai Air Design. Melalui teknologi ini, realme berjaya memuatkan bateri berkapasiti 7,000mAh ke dalam badan telefon yang kekal nipis setebal 8.1mm dengan berat hanya 183 gram. Baterinya turut menyokong pengecasan pantas 60W melalui USB-C.

Untuk reka bentuk luaran, ia menampilkan modul kamera melintang (Horizontal Camera Bar) yang kelihatan seakan siri Google Pixel 10. Apa yang unik, terdapat sebuah cermin bulat kecil diletakkan di sebelah kanan modul kamera belakang tersebut. Fungsinya adalah untuk memudahkan pengguna membingkai gambar semasa mengambil swafoto menggunakan kamera utama.

Skrin peranti ini menggunakan panel AMOLED bersaiz 6.5″ dengan kadar segar semula 120Hz, resolusi FHD+, serta kecerahan puncak mencapai 4,200 nits dengan perlindungan kaca DT Star D+.
Atas papan utama, ia dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 6400 Turbo, digandingkan bersama RAM LPDDR4X 8GB dan storan dalaman UFS 2.2 seluas 256GB.
Sistem kamera belakangnya dilengkapi kamera utama 50MP (f/1.8) bersama kamera monokrom 2MP. Tugas swafoto biasa pula diserahkan kepada kamera hadapan 50MP (f/2.4).


Dari segi sambungan, ia menyokong 5G, WiFi 5, Bluetooth 5.1, dan NFC. Peranti ini ditawarkan dalam warna Air White (menampilkan rekaan Aurora Wings Design berkilauan) dan Air Black dengan kemasan matte. Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman produk realme 16 5G.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Realme 16 5G.
Spesifikasi Realme 16T 5G

Jika model abangnya memfokuskan rekaan nipis, Realme 16T 5G pula memberikan keutamaan penuh kepada ketahanan tenaga. Ia dilengkapi bateri gergasi 8,000mAh yang didakwa mampu memberikan masa penggunaan sehingga dua hari untuk tugasan berat. Ia menyokong pengecasan 45W, pengecasan terbalik 15W, serta ciri Bypass Charging untuk bermain game sambil mengecas dengan selamat.
Sebagai model yang lebih mesra poket, peranti ini menggunakan skrin LCD berukuran 6.8″ dengan resolusi HD+. Bagaimanapun, ia menyokong kadar segar semula lebih tinggi iaitu 144Hz dengan kecerahan puncak 1,200 nits di dan dilindungi kaca Panda 1681.

Ia dijana oleh cip Dimensity 6300, dipadankan bersama RAM LPDDR4X 8GB dan storan UFS 2.2 sebesar 256GB. Telefon ini menjalankan realme UI 7.0 berasaskan enjin Flux Engine yang menjanjikan kelancaran sistem jaminan sehingga 6 tahun.
Untuk fotografi, Realme 16T 5G turut menggunakan kamera utama 50MP f/1.8 dengan sistem LumaColor IMAGE Engine. bersama-sama kamera swafoto hadapan 16MP (f/2.4). Ciri perisian pintar seperti AI Portrait Glow, AI Popout Collage, AI StyleMe, dan AI Instant Clip turut disertakan. Sama seperti Realme 16 5G, model ini juga mempunyai cermin bulat kecil di bahagian belakang peranti.


Dengan ketebalan 8.88mm dan berat 224g, Realme 16T 5G turut menyokong penarafan IP66, IP68, IP69 dan IP69K, selain perlindungan hentakan bertaraf tentera. Sambungan lain yang disokong termasuklah WiFi 5, Bluetooth 5.3, NFC, dan rangkaian 5G. Ia ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu hijau dan hitam.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Realme 16T 5G.






