Kebiasaannya, kita menggunakan Google Maps dengan menaip destinasi atau nama sesuatu lokasi dalam bar carian. Namun, ciri baharu bernama Ask Maps ini mungkin bakal mengubah sepenuhnya cara kita menggunakan Google Maps selepas ini.
Ciri ini mula diperkenalkan pada Mac lalu, dan Google kini mengumumkan bahawa mereka telah mula memperluaskan ketersediaan Ask Maps ke lebih 150 buah negara dan wilayah di seluruh dunia, termasuklah Malaysia.
Meskipun begitu, nampaknya pelancaran ini dilakukan secara berperingkat, memandangkan tiada satu pun peranti di pejabat kami yang telah menerima ciri ini setakat ini. Ini termasuklah peranti Android terkini seperti Samsung Galaxy Z Fold 8 dan Galaxy Z Fold 8 Ultra.
Apa itu Ask Maps?
Secara ringkasnya, Ask Maps merupakan ciri perbualan pintar yang dikuasakan oleh Gemini dan diintegrasikan secara terbina di dalam Google Maps. Berbeza daripada sebelum ini di mana kita cuma menaip kata kunci, lokasi, atau nama tempat dalam kotak carian, kini kita boleh mendapatkan jawapan dengan cara “bertanya” kepada Ask Maps secara lebih semula jadi, seakan sedang berbual.

Sebagai contoh, katakan anda sedang mencari tempat untuk melepak bersama kawan-kawan selepas waktu kerja. Anda boleh cuba tanya Ask Maps untuk cadangkan lokasi berdekatan pada masa tertentu, dengan mengambil kira suasana yang anda inginkan serta bilangan orang dalam kumpulan anda.
Untuk menggunakan ciri ini, sebaik sahaja ia tersedia buat anda, anda hanya tekan butang Ask Maps yang terletak di bawah ruangan carian Google Maps. Bagi pengguna Google Maps di pelayar web pula, ciri ini boleh diakses melalui menu tiga garisan dengan memilih Ask Maps.
Ciri-ciri baharu pada Ask Maps
Sementara itu, Google turut memperkenalkan beberapa penambahbaikan baharu pada Ask Maps sejak pelancaran awalnya dahulu. Kini, anda boleh pautkan akaun Gmail (dan tidak lama lagi turut Google Calendar), membolehkan ciri ini mengambil kira penerbangan akan datang, tempahan hotel, atau tempahan restoran anda tanpa perlu dimasukkan secara manual walaupun pautan Gmail ini dimatikan secara default atas sebab privasi.

Ask Maps kini turut boleh mengingati perbualan lampau anda, dengan syarat tetapan sejarah (history) anda dihidupkan. Ini membolehkan anda mengimbas semula cadangan daripada carian sebelum ini, jadi anda tak perlu mula merancang perjalanan road trip atau makan malam dari kosong setiap kali.
Anda turut boleh menggunakan Ask Maps untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan hotel dan acara tempatan, termasuklah perbandingan harga secara masa nyata serta status ketersediaan. Selain itu, anda juga boleh menyemak tahap kesesakan bagi laluan, kedai, atau restoran yang anda tuju, dan Google turut memperkenalkan widget transit langsung yang baharu untuk kelewatan pengangkutan awam.
Satu lagi penambahbaikan ialah pengguna kini turut boleh mencadangkan tip atau membuat pembetulan terhadap sesuatu lokasi secara perbualan menerusi Ask Maps. Sudah tentu, semua cadangan pengeditan ini masih tertakluk kepada proses semakan dan kelulusan daripada Google Maps.






