Seperti yang dijanjikan, Poco kini secara rasmi melancarkan siri telefon pintar flagship terbaharu mereka untuk pasaran tempatan, iaitu Poco F9 Ultra dan Poco F9 Pro. Siri kali ini membawakan peningkatan agak ketara, termasuk skrin paparan dengan kadar segar semula lebih pantas, kapasiti bateri yang jauh lebih besar, serta sistem kamera menggunakan sensor dipertingkatkan.
Sama seperti generasi terdahulu, model baharu ini turut mengekalkan sistem audio yang ditala khas bersama pakar bunyi terkemuka, Bose.
Menariknya, Poco turut menawarkan diskaun menarik untuk siri Poco F9 berserta menawarkan hadiah percuma termasuk tablet dan gelang pinter untuk pembeli terawal.
Harga dan ketersediaan Poco F9 Ultra dan F9 Pro
Siri Poco F9 kini boleh didapati secara rasmi di Malaysia. Menerusi promosi jualan awal bermula 1 September hingga 16 September 2026, anda boleh membeli kedua-dua model ini pada harga diskaun sehingga RM500. Berikut ialah senarai harga jualan rasmi dan harga promosi awal:


Poco F9 Ultra
- 12GB + 256GB: RM3,299 (Harga Asal: RM3,599)
- 16GB + 512GB: RM3,699 (Harga Asal: RM3,999)
- 16GB + 1TB: RM4,399 (Harga Asal: RM4,799)
Setiap pembelian Poco F9 Ultra sepanjang tempoh promosi akan menerima POCO Pad C1 (4GB+64GB) secara percuma.
Poco F9 Pro
- 12GB + 256GB: RM2,799 (Harga Asal: RM3,299)
- 12GB + 512GB: RM3,099 (Harga Asal: RM3,499)
Setiap pembelian Poco F9 Pro sepanjang tempoh promosi akan menerima Xiaomi Smart Band 10 Pro secara percuma.
Selain itu, pembeli terawal bagi kedua-dua model turut mendapat faedah tambahan seperti waranti 2 tahun, jaminan penukaran skrin percuma selama 6 bulan, serta akses percuma 3 bulan untuk perkhidmatan Google AI Pro dan YouTube Premium.
Untuk membuat pembelian, anda boleh dapatkan siri Poco F9 menerusi stor online Xiaomi Malaysia, serta gedung rasmi mereka di:
Sebagai perbandingan, kedua-dua model mengalami kenaikan harga yang agak ketara berbanding generasi terdahulu. Malah, ini merupakan kali pertama tanda harga telefon pintar Poco menghampiri angka RM5,000.
Untuk rujukan anda, siri F8 Ultra sebelum ini ditawarkan pada harga promosi bermula RM2,799, manakala F8 Pro pula bermula RM2,199. Ini bermakna, bajet yang dahulunya layak untuk anda membawa pulang varian Ultra, kini hanya cukup untuk mendapatkan varian Pro sahaja.
Spesifikasi Poco F9 Ultra

Bagi spesifikasi, Poco F9 Ultra dikuasakan oleh cip pemproses flagship Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang dipadankan RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 4.1 sehingga 1TB. Meskipun ia adalah cip yang sama dengan generasi terdahulu, Poco mendakwa ia mampu mencatat skor AnTuTu sehingga 4,165,108, yang merupakan skor tertinggi pernah dicapai oleh telefon pintar Poco
Pemproses itu turut dipadankan dengan VisionBoost D8, yang membolehkan permainan dijalankan pada kadar bingkai sehingga 185FPS menerusi ciri Smart Frame Rate. Untuk gaming, peranti ini turut dilengkapi WildBoost Engine, kadar pensampelan sentuhan instant sehingga 4,800Hz, pensampelan sentuhan 10-titik pada 480Hz, serta kadar pensampelan giroskop sehingga 200Hz. Menurut Poco, lebih 20 permainan menyokong 185FPS secara natif, manakala lima permainan tambahan boleh mencapai kadar tersebut menerusi Smart Frame Rate.
Untuk menyejukkan peranti, telefon turut tampil dengan penyejukan Poco 3D IceLoop bagi memastikan pretasi kekal lancar walau tempoh gaming panjang.

Peningkatan paling ketara hadir pada bahagian paparan. F9 Ultra mengguna pakai panel HyperRGB AMOLED bersaiz 6.9″ beresolusi 2608×1200 dengan kadar segar semula 185Hz, berbanding 144Hz pada generasi sebelumnya. Panel ini menyokong kecerahan puncak sehingga 4,500 nits berserta dilengkapi teknologi Xiaomi Vision Care yang memperoleh pensijilan perlindungan mata TÜV Rheinland Quadruple Eye Care. Ia dilindungi kaca Corning Gorilla Glass 7i.
Di bahagian belakang peranti, terdapat juga lampu dinamik khas (Dynamic Light) yang boleh dipelbagaikan kesannya mengikut petunjuk notifikasi, panggilan, mahupun muzik.
Untuk sistem kamera, F9 Ultra dilengkapi sensor utama 200MP dengan sokongan penstabilan imej optikal (OIS). Ia ditemani lensa periskop telefoto 5x yang berkeupayaan melakukan zum lossless 10x serta AI Ultra Zoom 20x dan kamera ultralebar 50MP, sementara kamera hadapan pula menggunakan sensor 32MP. Keupayaan merakam video turut dipertingkat menerusi sokongan format 4K berserta mod Live Cinematography.

Satu lagi peningkatan paling utama adalah pada bahagian bateri. Xiaomi memuatkan Poco F9 Ultra dengan bateri berkapasiti 8,050mAh yang didakwa sebagai bateri terbesar dalam sejarah siri Poco F. Ia menggunakan teknologi silikon-karbon dengan kandungan silikon 16%y ang didakwa mampu bertahan sehingga dua hari penggunaan.
Peranti ini menyokong pengecasan pantas 100W HyperCharge berwayar dan 50W pengecasan tanpa wayar, di samping pengecasan terbalik 27W berwayar dan 22.5W tanpa wayar. Dari segi audio, F9 Ultra masih kekal menggunakan sistem pembesar suara stereo 2.1 ditala Bose yang lengkap bersama unit subwoofer.
Poco F9 Ultra ditawar dalam dua warna iaitu merah dan hitam.
Spesifikasi Poco F9 Pro

Model Poco F9 Pro kekal tampil dengan bentuk fizikal yang lebih kompak. Ia hadir dengan skrin HyperRGB AMOLED bersaiz 6.59″ dengan resolusi 2510×1156 dan dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 7i. Meskipun bersaiz lebih kecil, skrin ini turut menyokong kadar segar semula 185Hz, kecerahan puncak 4,500 nits, serta dipadankan dengan cip khas VisionBoost D8 untuk keupayaan prestasi permainan 185FPS yang sama lancar.

Atas papan utama, peranti ini dipacu oleh pemproses Snapdragon 8 Elite Gen 5 V Series baharu, bersama pilihan RAM sehingga 12GB dan storan dalaman sehingga 512GB.
Pada bahagian fotografi, F9 Pro kekal membawakan kamera utama 200MP dengan OIS, kamera ultralebar 50MP dan kamera swafoto 32MP seperti varian Ultra. Walau bagaimanapun, model ini menggunakan lensa telefoto terapung 50MP 2.5x berbanding periskop, yang turut mempunyai kebolehan memfokus imej makro dari jarak sedekat 10cm.

Peranti ini dijana oleh bateri berkapasiti 6,330mAh yang disokong oleh pengecasan pantas 100W berwayar dan 50W tanpa wayar. Ia turut menyokong pengecasan terbalik 27W berwayar dan 22.5W tanpa wayar.
Dari segi audio, F9 Pro menggunakan pembesar suara stereo simetri super-linear dengan reka bentuk Sealed Cavity untuk bunyi yang jelas yang turut ditala bersama Bose. Cuma ia tidak mempunyai unit subwoofer seperti model F9 Ultra.

Salah satu keunikan utama model F9 Pro ialah penawaran warna Aurora Green, yang menampilkan reka bentuk panel belakang bercahaya yang boleh menyala dalam gelap sekiranya ia terkena cahaya. Selain itu, peranti juga tersedia dalam perak dan hitam.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Poco F9 Ultra dan F9 Pro.






