Honor hari ini melancarkan telefon pintar kelas pertengahan terbaharu, Honor X9e Pro 5G di pasaran Malaysia. Merupakan sekuel kepada Honor X9d tahun lalu, ia merupakan telefon pintar pertama Honor dengan nama “Pro” dalam siri X setakat ini.
Namun seperti model terdahulu, X9e Pro masih mengekalkan fokus pada ketahanan lasak, tetapi kali ini hadir dengan bateri lebih besar berkapasiti 11,000mAh, berbanding 8,300mAh pada X9d.
Harga dan ketersediaan Honor X9e di Malaysia

Honor X9e Pro ditawarkan di Malaysia dalam dua konfigurasi, dengan harga seperti berikut:
- 8GB+256GB – RM1,899
- 8GB+512GB – RM2,399
Kepada mereka yang berminat, Honor X9e kini dibuka untuk tempahan awal di Malaysia, dari sekarang sehingga 8 Oktober 2026.

Pembeli awal dalam tempoh tersebut turut akan menerima hadiah bernilai sehingga RM1,626. Hadiah itu termasuk tablet Honor Pad X7, rebat RM100, perlindungan Honor Rakyat Care+ dengan perlindungan skrin depan dan belakang serta kerosakan akibat air selama 730 hari, serta waranti lanjutan 1 tahun.
Untuk membuat pembelian, anda boleh singgah ke stor mereka di Lazada dan Shopee.
Spesifikasi Honor X9e Pro

Honor X9e Pro hadir dengan skrin AMOLED berukuran 6.8″, resolusi 1.5k (2788 × 1280 piksel) dan kadar segar semula 120Hz. Honor turut mendakwa skrinnya menyokong kecerahan puncak sehingga 10,000 nits. Skrinnya turut dilengkapi dengan ciri penjagaan mata seperti AI Defocus Display, Motion Sickness Relief, Circadian Night Display dan DOT Eye Comfort Protection.

Atas papan utama, X9e Pro dikuasakan cip pemproses kelas pertengahan Snapdragon 6 Gen 5, dipadankan dengan RAM 8GB serta storan 256GB atau 512GB. Ia turut menggunakan seni bina Hummingbird 2.0 Honor, yang dikatakan mampu mengekalkan prestasi lancar sehingga 72 bulan atau enam tahun.
Untuk fotografi, telefon ini dilengkapi kekal menggunakan sistem dua kamera belakang. Kamera utamanya menggunakan sensor 108MP dengan penstabilan imej CIPA 6.0, serta kamera ultralebar 5MP. Di hadapan terdapat kamera 16MP.

Peningkatan paling ketara pada peranti ini terletak pada baterinya yang kini berkapasiti 11,000mAh, berbanding 8,300mAh pada generasi terdahulu.. Menurut Honor, X9e merupakan telefon pintar pertama di dunia menggunakan kapasiti sebesar ini.

Honor mendakwa baterinya mampu menawarkan main balik video sehingga 66.8 jam, manakala penggunaan biasa boleh mencapai sehingga tiga hari dengan sekali cas. Untuk pengecasan, Honor X9e Pro menyokong pengecasan pantas berwayar Honor SuperCharge 80W.
Ia turut menyokong pengecasan terbalik berwayar 27W, membolehkan telefon ini digunakan untuk mengecas peranti lain yang serasi. Walaupun mempunyai bateri yang besar, telefon ini masih cukup nipis memiliki dimensi 8.08mm dan berat 203g.
Dari segi ketahanan, teleofn ini dilengkapi teknologi Honor Ultra-Bounce Anti-Drop Technology 4.0 untuk memberikan perlindungan tambahan terhadap hentakan dan jatuhan, serta tahan jatuh sehingga 3 meter dan menerima pensijilan SGS 5 Star.

Dari segi perisian, Honor X9e Pro menjalankan MagicOS 10 berasaskan Android 16 sebaik sahaja keluar daripada kotak. Telefon ini turut dilengkapi pelbagai ciri AI, termasuk AI Zoom Enhancement, AI Night Enhancement dan AI Enhanced Portrait untuk membantu berikan hasil gambar lebih baik.
Anda boleh dapatkan Honor X9e dalam empat warna iaitu ungu, coklat, emas dan hitam.
Maklumat lebih lanjut berkenaan spesifikasi boleh anda dapatkan menerusi laman produk Honor X9e Pro.






