Ketibaan iOS 16 telah diumumkan semasa acara persidangan WWDC 2022 minggu lepas. Ia kini sedia diuji oleh pembangun menerusi persiapan Beta, menampilkan beberapa ciri baharu seperti yang diumumkan, antaranya kunci skrin yang boleh diubahsuai.
Tetapi dengan tersedianya versi Beta ini, bermakna sudah ada yang boleh mencuba perkara lain yang tidak dinyatakan semasa ucaptama WWDC 2022. Antaranya, mengalihkan eSIM lebih mudah sesama iPhone.
Perkara ini dijelaskan Carson menerusi ciapannya di Twitter. Di halaman menetapkan rangkaian (Set Up Cellular) eSIM, akan ada pilihan baru iaitu mengalihkan daripada iPhone lain. Kebiasaannya, mengaktifkan eSIM di iPhone memerlukan imbasan kod QR.
Fungsi baru di iOS 16 ini memerlukan fungsi Bluetooth dihidupkan. Jika anda masih tidak kenal apa itu eSIM, ia adalah SIM maya yang menggantikan kad SIM fizikal. Ini menjadikannya mudah untuk mengaktifkan SIM, hanya imbas kod QR.
Kebanyakan model baru iPhone yang dijual di peringkat antarabangsa, menyokong dwi-SIM tetapi dengan satu slot kad fizikal sahaja. SIM kedua perlu menggunakan eSIM. Tetapi hanya model dari China sahaja, masih mengekalkan pengguna dua kad SIM fizikal.
Kelebihan kad SIM fizikal ialah mudahnya bertukar SIM dari satu telefon ke telefon lain, atau menukar SIM baru di telefon yang sama. eSIM pula, akan kekalsecara digital di sesuatu peranti.
Sebenarnya, Apple telah menyediakan cara mengalihkan eSIM semasa mengaktifkan iPhone baru, tetapi ia belum boleh digunakan di Malaysia. Malah, fungsi iOS sedia ada untuk menukar SIM fizikal kepada eSIM di telefon yang sama, juga masih tidak boleh digunakan di sini.
Menurut laman eSIM Maxis, Celcom, Digi dan U Mobile, eSIM dikunci di satu peranti sahaja dan tidak boleh dialihkan adalah untuk keselamatan. Jika mahu menukar eSIM ke telefon lain, pengguna perlu memohon penggantian SIM dan kod QR baru akan dijana. Malah, ada syarikat telekomunikasi (telco) memerlukan pengguna hadir ke pusat khidmat pelanggan dan membayar untuk menggantikan SIM.
Melihatkan situasi sedia ada di Malaysia sekarang, berkemungkinan tinggi fungsi penukaran eSIM menerusi Bluetooth di iOS 16 nanti tidak akan boleh digunakan di Malaysia. Melainkan telco sendiri mahu membenarkannya. Jika anda sering bertukar-tukar telefon atau SIM, lebih baik kekal menggunakan kad SIM fizikal.
[Sumber: MacRumors]