Jika anda berminat dengan kehebatan kamera di telefon pintar Oppo Find X5 Pro tetapi gusar dengan harganya yang tinggi, anda boleh mendapatkan siri Oppo Reno 8. Oppo kini mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan siri Reno 8 ke Malaysia tidak lama lagi.
Oppo telah meletakkan siri Reno sebagai barisan kelas pertengahan premium. Ia hadir dengan kelengkapan kamera berprestasi tinggi, tetapi dengan cip pemproses kelas pertengahan, tidak sehebat siri Find X yang menggunakan cip kelas flagship.
Tarikh pelancaran siri Reno 8 masih belum ditetapkan tetapi Oppo Malaysia telah membuka laman pendaftaran minat (ROI) kepada orang ramai. Dengan mendaftar minat, anda akan menjadi individu terawal dimaklumkan tentang berita mutakhir siri Reno 8 di Malaysia. Paling penting, tawaran istimewa untuk pembeli terawal.
Walaupun Oppo Malaysia tidak memberi maklumat penuh tentang spesifikasi siri Reno 8, kita boleh menelitinya dari China kerana ia telah dilancar di sana. Di China, terdapat tiga model diperkenal di bawah siri ini iaitu Reno 8, Reno 8 Pro dan Reno 8 Pro+. Tetapi gambaran yang dikongsi oleh Oppo Malaysia menunjukkan hanya dua model, berkemungkinan tiada Reno 8 Pro+.
Spesifikasi Oppo Reno 8
Menurut laman Oppo China, telefon ini akan menggunakan kuasa daripada cip Mediatek Dimensity 1300 6nm, bersama RAM LPDDR4x dan storan UFS 3.1 sehingga 256GB. Ia memiliki skrin AMOLED 6.43-inci HD Penuh 90Hz dan dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 5 di luar. Pengimbas capjari ada di dalam skrin.
Gandingan tiga kamera di belakang adalah kamera utama 50MP F1.8, kamera hitam putih 2MP F2.4 dan kamera makro 2MP F2.4. Di hadapan, ia menggunakan kamera 32MP F2.4 daripada sensor Sony IMX709 yang dimuatkan di dalam lubang kecil di sudut atas skrin.
Baterinya berkapasiti 4,500mAh dan menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 80W melalui USB-C. Sistem operasi ColorOS 12.1 berasaskan Android 12 digunakan oleh Reno 8.
Spesifikasi Oppo Reno 8 Pro
Versi Pro pula dikuasakan cip Snapdragon 7 Gen 1 yang digandingkan bersama NPU MariSilicon X. Bagaimanapun, ia menggunakan RAM LPDDR4x dan storan UFS 2.2, jenis storan yang lebih perlahan berbanding UFS 3.1 di Reno 8.
Skrinnya jenis AMOLED, seluas 6.62-inci HD Penuh dan kadar penyegaran 120Hz. Kaca Corning Gorilla Glass 5 turut digunakan di bahagian atas skrin. Pengimbas capjari pula ada di dalam skrin.
Kamera berprestasi tinggi Reno 8 Pro adalah kamera utama 50MP F1.8 dengan sensor Sony IMX766, kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera makro 2MP F2.4. Kamera hadapan serupa dengan Reno 8 iaitu 32MP F2.4 dengan sensor Sony IMX709, dimuatkan di dalam lubang kecil di atas skrin.
Sistem bateri dan pengecas juga serupa iaitu bateri berkapasiti 4,500mAh dan pengecasan pantas SuperVOOC 80W. Sistem operasi yang digunakan Reno 8 Pro adalah ColorOS 12.1 berasaskan Android 12.