Amazfit adalah jenama yang menggoyahkan segmen produk penjejak kesihatan. Sewaktu pengenalan Amazfit Bip dalam tahun 2018, ia adalah jam tangan dengan sensor GPS termurah dalam pasaran, lantas menyebabkan jenama pesaing macam Fitbit, Garmin, dan yang seangkatannya garu kepala. Sejak itu, Amazfit terus menerus melancarkan produk-produk menarik pada harga mampu milik.
Untuk tahun 2022 ini, mereka mengumumkan Amazfit T-Rex 2, ahli terbaharu dalam siri jam tangan tahan lasak. Berbanding T-Rex 1, dan T-Rex Pro, harganya kini meningkat naik.
Amazfit T-Rex 2 harganya RM799 di Malaysia
Sekiranya anda berminat untuk dapatkan seunit Amazfit T-Rex 2, harga jualannya adalah RM799 (Shopee).
Dua model generasi terdahulu telah diselaraskan harganya. T-Rex 1 dan T-Rex Pro kini masing-masing dijual pada harga RM409 dan RM599.
Tidak dinafikan yang penokokan harga adalah agak besar dan sedikit-demi sedikit kita menghampiri paras RM1,000. Sekiranya perkara ini kekal berterusan, lambat laun orang akan beralih kepada pesaingnya. Misalnya, Mi Watch yang ada semua sensor T-Rex 2 cuma berharga RM469 sahaja.
T Rex 2 akan dijual secara eksklusif di Shopee untuk 3 hari pertama pelancarannya iaitu 6 hingga 8 Julai 2022. 100 pembelian pertama di Shopee akan turut terima botol air ekslusif Amazfit dan pelindung skrin secara percuma. Dengan pelancaran T Rex 2, dua lagi model T Rex telah diselaraskan harganya.
Amazfit mempunyai peminatnya yang tersendiri, mari baca reviu saya tentang jam tangan ini.
Perbezaan Amazfit T-Rex 2 dengan T-Rex 1 dan T-Rex Pro
Berikut adalah perbezaan antara tiga model Amazfit T-Rex yang ada dalam pasaran masa ini. Kami hanya lakukan perbandingan fizikal dengan T-Rex pertama disebabkan ketiadaan T-Rex Pro.
Fizikal masih sama tapi pelbagai pembaharuan dibawa
Dari depan, saya boleh nampak muka jam Amazfit T-Rex 2 nyata lebih besar. Muka jam ini lebih besar sebanyak 0.09” berbanding Amazfit T-Rex yang asal tapi sama seperti T-Rex Pro. Model kali ini masih mengekalkan penggunaan panel paparan AMOLED tapi resolusi T-Rex 2 lebih tinggi disebabkan panel yang lebih besar.
Saya dapati yang refresh rate dan kecerahan paparan T-Rex 2 lebih tinggi. Ia lebih mudah dilihat di bawah cahaya matahari dan menatal antara muka T-Rex 2 adalah lebih lancar. Sungguhpun ada paparan lebih besar, badan T-Rex 2 sama besar dengan yang asal. Anda boleh lihat bingkai yang lebih nipis berbanding sebelum ini. Ketebalan pula hampir sama antara kedua mereka.
Agak mengagumkan jika diambil kira T-Rex 2 ada bateri lebih besar iaitu 500mAh berbanding 390mAh pada T-Rex Pro dan T-Rex 1, tapi dalam pada masa yang sama, mengekalkan ketebalan badan.
Berat T-Rex 2 cuma sedikit saja lebih tinggi berbanding T-Rex 1.
T-Rex 2 ada dua sensor baharu yang sangat berguna
Selain daripada bateri yang lebih besar dalam badan yang sama dimensinya dengan generasi sebelumnya, Rex 2 dilengkapi lebih banyak sensor. Pada generasi sebelumnya, anda dapat sensor BioTracker PPG, akselerometer, geomagnetik, ambient, dan dual-GNSS.
Di T-Rex 2, anda ada semua itu dan tambahan giroskop dan barometer. Jadi, dengan adanya dua sensor baharu, T-Rex 2 ada lagi banyak fungsi menarik. Bermula dengan yang asas, jam ini dilengkapi lebih 150+ senaman yang mengguna pakai sensor-sensor yang ada di atasnya.
Paling menarik perhatian saya adalah ia boleh menjejak aktiviti lompat tali disebabkan ia ada giroskop. Tak banyak penjejak kesihatan menyediakan fungsi tersebut sebab tak banyak yang dilengkapi giroskop. Kalau tak salah saya ini adalah yang pertama ada fungsi itu.
Kemudian, kalau anda gunakan jam ini untuk rekod aktiviti hiking ataupun junggle trekking, ia kini kumpul lebih banyak data. Selain titik GPS, T-Rex 2 boleh gunakan barometer untuk mengukur tekanan udara sekeliling. Daripada tekanan udara, ia boleh dapatkan altitud daripada paras laut dan meramal cuaca terus daripada jam.
Bacaan barometer jam ini dalam unit hekto-Pascal. Bacaan normal atas paras laut adalah sekitar 1013hPa. Bacaan yang menurun menggambarkan keadaan sekeliling yang lembab dan potensi untuk hujan meningkat. Bacaan yang meningkat menggambarkan keadaan sekeliling yang kering dan cuaca cerah.
Saya juga ingin laporkan yang sensor satelit penjejak pada T-Rex 2 adalah jenis yang baharu. Selain menyokong dua jenis satelit penjejak iaitu GPS dan BDS, ia juga mampu terima dua jenis isyarat lokasi iaitu L1 dan L5. Hasilnya, proses untuk mengunci kedudukan sewaktu ingin mula melakukan aktiviti akan jadi lebih pantas.
Daripada sudut kejituan, saya dapati tahap kejituan lebih kurang sama, tapi keadaan mungkin berbeza bila ada awan tebal, pokok tebal ataupun anda berada di celah-celah banggunan, tempat isyarat satelit penjejak sukar untuk diterima.
T-Rex 2 berhubung dengan telefon melalui APP Zepp
Melalui sambungan Bluetooth 5.0 BLE, T-Rex 2 berhubung dengan telefon menggunakan APP Zepp (Android, iOS). Semua data aktiviti anda akan disimpan di sini. Semuanya dipersembah dalam graf yang mudah difahami.
Data yang sama boleh dikongsikan kepada APP kesihatan kegemaran seperti Strava, Google Fit dan sebagainya. Perkara ini sangat baik kerana bukan semua kawan kita gunakan produk Amazfit, ada yang guna jenama lain macam Garmin, Suunto, dan macam-macam lagi.
Lebih penting, sekiranya platform yang kita gunakan tidak disokong oleh fungsi berkongsi data, anda boleh kongsikan data secara manual melalui fungsi mengeksport data dalam bentuk GPX. Ciri ini saya ada sentuh dalam reviu Amazfit Bip saya.
Di APP Zepp juga, anda boleh lakukan hampir kesemua ubah suai ketetapan untuk jam tangan. Contohnya, anda boleh tukar watch face. Ada banyak pilihan ada daripada gedung rasmi.
Anda juga boleh install mini APP ke dalam jam tangan. Aplikasi mini yang disediakan ringkas sahaja. Dua yang menarik adalah APP untuk kawal GoPro dan APP navigasi Maps. Lain-lain APP saya rasakan boleh saja dipasang terus ke dalam jam tangan. Pada saya, aplikasi mini nampak seperti gimik saja.
Seperti biasa, untuk menerima notifikasi-notifikasi penting telefon ke jam tangan, T Rex 2 perlu sentiasa berhubung kepada telefon menggunakan Bluetooth. Notifikasi daripada APP apa boleh anda pilih melalui APP Zepp.
Berbaloikah Amazfit T-Rex 2 pada harga RM799?
Pada harga RM799, saya katakan ia masih lagi kompetetif dengan yang lain. Naik taraf yang dibawakannya adalah baik. Anda dapat bateri lebih besar, panel paparan lebih besar dan baik, beserta 2 sensor baharu. Cumanya, sekiranya trend kenaikan harga berterusan, saya gusar siri T-Rex akan pupus kerana ia bakal bergelumang dengan lebih banyak pesaing lain.
Kalau sekitar RM1,000 saya lebih rela korbankan giroskop dan pergi ke Garmin Instinct yang berharga RM1,299.