OnePlus Malaysia hari ini mengumumkan akan melancarkan dua telefon pintar mampu milik mereka yang baru ke Malaysia tidak lama lagi. Dua model tersebut adalah OnePlus Nord 2T 5G dan OnePlus Nord CE 2 Lite 5G.
Seperti namanya, kedua-dua telefon ini menyokong rangkaian 5G dan ia akan dilancarkan pada hari Khamis, 14 Julai 2022. Masa pelancaran dan bagaimana acara pelancaran akan diadakan masih belum dimaklumkan. Dijangka ia akan dibuat secara dalam talian, nantikan pengumuman lanjut daripada OnePlus Malaysia tidak lama lagi.
Kedua-dua telefon ini baru dilancar di India. Jadi kita boleh jadikannya sebagai anggaran untuk harga dan spesifikasi di Malaysia kelak. Harganya di India adalah:
- Nord CE 2 Lite 5G (RAM 6GB + Storan 128GB) – INR 19,999 (~RM1,115)
- Nord CE 2 Lite 5G (RAM 6GB + Storan 128GB) – INR 21,999 (~RM1,227)
- Nord 2T 5G (RAM 6GB + Storan 128GB) – INR 28,999 (~RM1,617)
- Nord 2T 5G (RAM 12GB + Storan 256GB) – INR 33,999 (~RM1,896)
Pastinya ada promosi menarik akan diumumkan pada hari pelancaran 14 Julai. Selain itu, tarikh jualan dan harganya turut akan diketahui. Nantikan laporan kami pada hari tersebut.
Spesifikasi Nord CE 2 Lite 5G
Siri Nord CE boleh dikatakan siri paling murah dalam keluarga OnePlus. Nord CE 2 Lite dikuasakan cip Snapdragon 695 5G, serupa dengan Redmi Note 11 Pro 5G dan Realme 9 Pro 5G. RAM pula jenis LPDDR4x dan storan UFS 2.2 digunakan. Kad mikroSD diterima sehingga 1TB.
Skrin Nord CE 2 Lite seluas 6.59-inci, jenis LCD 120Hz. Ia berlubang kecil di atas, memuatkan kamera hadapan 16MP F2.0. Di belakang pula menggabungkan kamera utama 64MP F1.7, kamera potret 2MP F2.4 dan kamera makro 2MP F2.4.
Telefon ini memiliki bateri 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 33W melalui USB-C. Speaker hanya mono dan ia masih ada jek audio 3.5mm. Pengimbas capjari terdapat pada butang kuasa, di sisi telefon.
Spesifikasi Nord 2T 5G
Telefon yang lebih baik ini menggunakan cip Mediatek Dimensity 1300 sebagai penggerak utama. Ia dipadankan bersaam RAM LPDDR4x dan storan UFS3.1 yang lebih pantas. Bagaimanapun, kad mikroSD tidak diterima.
Paparannya juga lebih baik, jenis AMOLED 90Hz 6.43-inci dengan resolusi HD Penuh. Kaca Corning Gorilla Glass 5 melindungi luar skrin. Pengimbas capjari ada di dalam skrin ini.
Terdapat tiga kamera di belakangnya, iaitu kamera utama 50MP F1.8 Sony IMX766, kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera mono 2MP F2.2. Kamera hadapan pula 32MP F2.45, dimuatkan di dalam lubang di sudut atas skrin.
OnePlus mengiklankan pengecasan pantas SuperVOOC 80W sebagai ciri utama telefon ini. Ia mengecas bateri 4,500mAh di dalam Nord 2T menerusi USB-C.
Sistem bunyi lebih menarik kerana ia ada speaker stereo. Tetapi tiada lagi jek audio disediakan.