Saya dan Rory biasanya menunggang motorsikal untuk ke tempat kerja. Saya di Shah Alam dan dia di Puchong, perjalanan kami mengambil masa kira-kira 30 minit sehala. Melihat pada satu kenyataan yang dikeluarkan CEO KTMB bahawa rakyat Malaysia tidak menggunakan pengangkutan awam secara optimum, kami telah memilih satu hari untuk pergi ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam untuk lihat sejauh mana benarkah dakwaan beliau itu.
Mungkin kenyataan itu dikeluarkan sewaktu dia duduk di kerusi empuk di pejabat yang berhawa dingin dan apabila lepas waktu pejabat, akan ada pemandu yang membawanya pulang ke rumah.
Cabaran pertama yang kami hadapi adalah untuk mengetahui hentian ataupun bas yang manakah boleh membawa kami ke stesen tren berhampiran sebelum terus menghantar kami ke stesen berhampiran pejabat.
Untuk tujuan itu, aplikasi bernama PULSE boleh digunakan. Ini adalah aplikasi rasmi Prasarana yang menghimpunkan maklumat sistem pengangkutan awam kendalian mereka iaitu semua tren kecuali KTM komuter dan bas RapidKL.
Pada fasa mewujudkan akaun saya sudah hadapi masalah. Aplikasi sering kali hang dan perlu dimatikan. Ia adalah untuk kedua-dua versi Android dan iOS. Apabila berjaya wujudkan akaun, kita bolehlah masukkan lokasi permulaan dan destinasi sebelum PULSE mencadangkan laluan paling optimum.
Laluan saya melibatkan 2 bas dan 1 tren manakala Rory boleh terus ke stesen tren. Walaupun laluan Rory kedengaran mudah, cabaran utamanya adalah ketiadaan laluan pejalan kaki daripada kediamannya ke stesen tren yang menyukarkan perjalanan.
Cabaran saya pula adalah menaiki 2 bas yang saya sendiri tak tahu sejauh mana tahap selenggaranya. Kalau salah satunya bas rosak, perjalanan saya ke pejabat akan tergendali.
Sudahnya, saya mengambil masa lebih 2 jam untuk tiba ke pejabat manakala Rory ambil masa hampir 2 jam.
Pada pemerhatian kami, ada 2 isu yang perlu diuruskan sebelum mengatakan penduduk Lembah Klang malas menggunakan pengangkutan awam.
Yang pertama adalah sistem penyampaian maklumat yang tidak cekap. Aplikasi yang tidak stabil dan ketiadaan maklumat terkini di dalam APP ataupun di hentian bas menyukarkan pengguna merancang perjalanan.
Yang kedua adalah sistem feeder untuk salurkan penumpang ke stesen tren berhampiran menghindarkan orang daripada menggunakan tren. Saya katakan sedemikian adalah kerana saya lihat terlalu banyak kereta yang diparkir di stesen tren menunjukkan yang orang memang ingin gunakan tren tapi tidak mahu naiki bas.