Ramai yang berkata, telefon pertama Nothing Phone (1) ni terlalu melampau dihebohkan. Ia berjaya menarik perhatian ramai tetapi agak menghampakan apabila semua perkara diumumkan selepas pelancaran.
Mengapa begitu?
Untuk mengetahui serba sedikit tentang Nothing Phone (1), anda boleh terus membaca pandangan awal Najib tentang Phone (1) di bawah. Atau tonton sahaja video beliau mengulas ringkas pasal telefon pertama Nothing.
LED Glyph yang menarik dan cepat dilupakan
Nothing memasarkan Phone (1) sebagai peranti revolusi, dengan menampilkan satu perkara yang belum pernah ada di telefon pintar masa kini. Jalur LED Glyph. Jalur ini dibina daripada 900 LED dan ia disusun di belakang telefon di bawah lapisan plastik lutsinar.
Bagi saya, jalur LED ini sangat menarik. Ia boleh diubahsuai untuk memberitahu pengguna pelbagai perkara. Paling utama adalah notis baharu. Tetapi dengan banyaknya LED, anda boleh ubahsuai notis daripada aplikasi berlainan, akan menyala dalam susunan atau kerlipan berbeza. Jadi anda tahu notis apa yang baru masuk. Selain itu, anda juga boleh tetapkan untuk panggilan mengikut kenalan. Kalau kawan sekolah panggil kerlipan dia lain, kalau pejabat panggil buat kerlipan lain. Tahulah mana yang perlu dijawab dan mana yang tak mahu diangkat kan.
Di samping itu, LED ni sebab ada banyak, ia juga boleh digunakan sebagai cahaya untuk mengambil gambar. Dengan cahaya yang lebih sekata dan tidak melampau cerah di sesuatu bahagian sahaja, LED ini boleh membantu menghasilkan gambar yang cerah dan kurang kelihatan bayang-bayang yang buruk dalam jarak dekat.
Tetapi sehingga itu sahajalah kegunaan LED ini. Dan nampaknya ini sahaja menjadikan Nothing Phone (1) berbeza daripada telefon pintar lain.
Dari segi rekaan badan, telefon ini mengikuti konsep iPhone 13 iaitu rata dan tajam di bingkai. Dilihat dari tepi, memang susah nak bezakannya dengan iPhone 13. Di depan pun, kalau skrin padam, nampak serupa. Tapi belakang memang beza sangatlah.
Dalam genggaman tangan, telefon ni tidaak rasa premium. Bingkai telefon masih terasa plastik dan ringan, tidak padat. Kaca yang digunakan jenis Corning Gorilla Glass. Untuk mereka yang dah biasa, kaca Corning sekarang memang dirasa sangat plastik.
Skrin dan pengecas premium macam Apple
Phone (1) menggunakan paparan AMOLED seluas 6.55-inci, resolusi HD Penuh dan ada kadar penyegaran dinamik 120Hz. Kecerahan skrin ini tinggi, sangat cerah. Kecerahan biasa setinggi 500nits dan boleh pergi sampai 1,200nits. Banding dengan Galaxy S20 FE saya, ia nampak agak serupa cerahnya dan ini memang bagus.
Untuk tenaga, Phone (1) ada bateri 4,500mAh di dalam, dengan sokongan pengecasan pantas 33W PD3.0 dan pengecasan wayarles Qi 15W. Tapi ada satu masalah besar, kepala pengecas tidak diberikan, ia dijual berasingan. Cuma kabel USB-C ada diberi dalam kotak. Ini satu perangai kapitalis yang serupa seperti Apple dan Samsung.
Tiada luar biasa di Nothing OS
Satu lagi perkara yang heboh dikatakan Nothing tentang Phone (1) adalah sistem operasi Nothing OS. Kalau di OnePlus dulu, ia sangat terkenal dengan sistem operasi yang sangat lancar dan pantas. Walaupun di peranti kelas pertengahan.
Tapi di Nothing OS, tak dapat dirasakan berbeza dengan OS lain, macam Xiaomi MIUI atau Samsung One UI. Maksud saya, tidak pantas dan lancar macam dirasai di OnePlus dulu kala. Dari segi rekaan antaramuka pun nampak mirip dengan Android asli, tak dapat dirasakan perbezaan apatah lagi kelebihannya. Tetapi ini perlukan kajian lebih mendalam, apa lagi kelebihan Nothing OS ni.
Apa yang melegakan, Nothing janjikan kemaskini keselamatan selama 4 tahun setiap 2 bulan, dan kemaskini Android selama 3 tahun. Ini lebih lama daripada kebanyakan pengeluar lain, tapi tak sehebat Samsung yang jamin 5 tahun kemaskini keselamatan dan 4 kali kemaskini Android. Tak dapat dibandingkan dengan iPhone yang ada kemaskini iOS jauh lebih panjang.
Perkara paling mengecewakan
Phone (1) dikuasakan cip Snapdragon 778G+ 5G 6nm, bersama RAM LPDDR5 dan storan UFS 3.1. Ia cip kelas pertengahan yang agak berusia, tetapi RAM dan storan kelas flagship. Jadi Phone (1) boleh dikatakan dalam kelas pertengahan premium. Untuk kegunaan biasa, spesifikasi ini dilihat sangat lancar dengan prestasi lebih baik daripada biasa. Tetapi untuk kaki game, ia kurang mencukupi untuk bermain dalam kualiti tertinggi.
Cuma, paling mengecewakan apabila Nothing umumkan harga telefon ni RM2,399 dengan RAM 8GB dan storan 256GB. Storan tu nampak besar, tetapi dengan ciri dan prestasi yang ditawarkan, Phone 1 terasa sangat mahal. Ia kelihatan lebih disensasikan pada jalur LED Glyph untuk memberi rupa serba baru dan rasa lain daripada telefon biasa. Tetapi hanya setakat itu.
Pada harga sekitar RM2,300 ke RM3,000, pesaing yang lebih menarik adalah seperti Samsung Galaxy S21 FE dengan semua ciri flagship kecuali berbadan plastik. Atau Realme GT 2 Pro dengan kuasa tertinggi Snapdragon 8 Gen 1 dan skrin sangat cantik. Atau Xiaomi 12 bersaiz cilik, ada kamera hebat dan prestasi tinggi.
Siapa paling sesuai miliki Nothing Phone (1)?
Pada saya, orang yang sesuai untuk memiliki Nothing Phone 1 ni adalah mereka yang mahu telefon berbeza daripada lain, dan suka tayang telefon yang dipegang dan mahu orang sentiasa bertanya pada mereka, “Wow cantiknya telefon, telefon apa tu?”
Nothing perlu berusaha lebih lagi jika mahu meletakkan telefon mereka dengan harga premium, menerusi fungsi yang lebih menarik dan berguna untuk kegunaan biasa. Samsung adalah tanda aras yang mereka harus atasi.
Apa pula pandangan anda?