Kad SIM berguna untuk sambungkan kita kepada rangkaian mudah alih. Dari situ pengguna boleh lakukan panggilan telefon dan melanggan Internet. Tapi, pernah tak anda tiba-tiba alami masalah dengan kad SIM? Contohnya, telefon paparkan pop-up bertulis “No SIM Card Installed”.
Sudah pasti masalah ini meresahkan pengguna, lebih-lebih lagi apabila perlu lakukan panggilan dengan segera. Oleh itu, berikut merupakan langkah penyelesaian yang boleh anda lakukan untuk kad SIM anda berfungsi semula pada iPhone atau telefon Android.
1. Keluarkan kad SIM dan masukkannya semula
Tanpa anda sedar, kad SIM mungkin sedikit terkeluar dan ia gagal berfungsi. Ini selalunya berlaku selepas telefon terjatuh atau berlanggar dengan sesuatu yang keras. Jadi, keluarkan kad SIM dan masukannya semula ke dalam slot.
2. Bersihkan kad SIM dan bekas kad SIM
Periksa jika terdapat habuk atau kotoran di dalam slot kad SIM kerana ia boleh mengganggu sambungannya pada telefon. Anda boleh tiup ke dalam slot kad SIM untuk bersihkan sebarang serpihan. Dicadangkan juga anda gunakan kain microfiber yang bersih untuk lap slot kad SIM. Sentiasa ingat untuk bersihkan telefon anda dengan kerap untuk elakkan habuk merosakkan perkakas dalaman telefon anda.
3. Reboot telefon
Jika telefon anda tiba-tiba tidak dapat mengesan kad SIM, maka reboot mungkin dapat menyelesaikan masalah itu. Ada banyak perkara yang bekerja di sebalik peranti, jadi lama kelamaan ia boleh mula ganggu antara satu sama lain lalu memberikan banyak tekanan pada perkakas. Hal ini boleh mengakibatkan masalah mengesan kad sim terganggu.
4. Kemaskini peranti
Anda mungkin hadapi ralat berkaitan kad SIM apabila telefon anda masih gunakan perisian yang sudah lama. Oleh itu, sambungkan peranti anda kepada WiFi dan semak sama ada kemaskini sistem tersedia. Jika ada, pastikan telefon anda mempunyai kuasa bateri yang banyak kerana kemaskini sistem boleh memakan masa yang lama.
5. Hidupkan/matikan mod pesawat
Adakalnya ada gangguan pada telefon yang susah dikesan dan ia boleh menghalang peranti daripada bersambung ke perkhidmatan rangkaian mudah alih. Maka, menghidupkan dan kemudian mematikan mod pesawat juga merupakan langkah yang boleh dicuba untuk menyelesaikan masalah ini.
6. Hubungi sokongan teknikal
Jika anda baru tukar perkhidmatan telco atau guna peranti baru, anda mungkin akan hadapi pelbagai isu berkaitan kad SIM atau telefon. Dalam kes ini, tindakan yang paling mudah ialah hubungi pembekal perkhidmatan atau pengilang peranti anda untuk dapatkan bantuan profesional.
Selain itu, apabila anda bercakap dengan pembekal perkhidmatan rangkaian, anda perlu tanya sama ada kad SIM anda telah diaktifkan atau belum. Untuk masalah ini, hanya mereka sahaja boleh selesaikannya untuk anda.
7. Tetapkan semula Network Settings
Jika semua langkah di atas tidak berjaya, maka anda perlu cuba beberapa pembaikan yang lebih mendalam. Jika telefon iOS atau Android anda tidak dikonfigurasikan dengan betul, cuba set semula tetapan rangkaian (network setting). Adakalanya, gangguan berkaitan rangkaian boleh menghalang kad SIM daripada berfungsi dengan betul, jadi menetapkan semula tetapan rangkaian kepada keadaan lalai dapat menyelesaikan masalah. Pilihan reset ini tidak akan rosakkan mana-mana data anda atau membuat sebarang perubahan berkaitan sistem. Berikut merupakan caranya:
Di iOS anda perlu:
- Buka tetapan
- Pilih General
- Tekan Reset
- Pilih Reset Network Settings
Di Android pula:
- Buka tetapan
- Pilih System Settings
- Tekan Back up and reset kemudian pilih Reset phone
- Pilih Reset Network Settings
8. Kemaskini tetapan pembawa
Jika pembekal perkhidmatan rangkaian mudah alih anda lakukan beberapa perubahan pada tetapannya, maka anda perlu kemas kini tetapan pembawa (carrier settings) pada telefon anda. Biasanya, kemas kini ini berjalan secara automatik, tapi anda mungkin perlu lakukannya secara manual jika ada sebarang gangguan.
Untuk iOS, anda perlu sambungkan telefon kepada rangkaian Wi-Fi. Kemudian, ikut langkah di bawah:
- Pergi ke Settings
- Pilih General
- Pilih About dan navigasi ke maklumat tentang pembawa anda
- Tunggu dan akan ada mesej pop-up meminta anda mengemas kini tetapan pembawa anda. Klik Update
Untuk Android, semua telefon akan mengendalikan kemas kini pembawa secara automatik. Tapi, jika kemaskini tidak berlaku, anda perlu mengkonfigurasi tetapan pembawa anda secara manual, tapi ia tidak disyorkan. Jika anda syak ini adalah punca kad SIM anda tidak berfungsi, anda harus cuba tetapan Factory Reset.
9. Factory Reset
Jika anda dapati kad SIM anda berfungsi dengan baik selepas memasukkannya ke dalam peranti lain, maka sudah tiba masanya untuk anda tetapkan semula telefon mudah alih anda kepada Factory Reset. Sebelum lakukannya, pastikan anda buat salinan data anda kerana semua itu akan dipadam semasa proses ini.
Sekiranya semua langkah ini tidak berjaya, maka masalahnya bukanlah pada telefon anda, jadi anda perlulah dapatkan kad SIM yang baru dari kedai telco berhampiran untuk menggunakannya.
[Sumber: Helpdeskgeek]