Semua rakan penghantar AirAsia Food dan AirAsia Xpress akan diambil bekerja secara sepenuh masa bersama AirAsia Super App, berkuat kuasa serta-merta. Ini sekaligus menjadikan platform ini pertama di Asia, yang menawarkan pekerjaan sepenuh masa untuk rakan penghantar gig.
Melaluinya, penghantar boleh menikmati pelbagai manfaat sebagai Allstar termasuklah KWSP, PERKESO, perlindungan perubatan yang juga dapat dimanfaatkan oleh pasangan dan anak-anak, cuti tahunan dan faedah perjalanan seperti skim Penerbangan AirAsia ID90 serta e-kupon. Pendapatan mereka juga terjamin sehingga RM 3,000 sebulan. Malah ada latihan eksklusif penunggang airasia serta perlindungan kemalangan peribadi percuma diberikan. Penunggang juga layak peroleh insentif tambahan berdasarkan prestasi masing-masing.
Penunggang AirAsia Food, Muhammad Redzuan Mohammed Afni yang telah ditawarkan pekerjaan sepenuh masa baru-baru ini mengulas bahawa, dia kini mampu menarik nafas lega kerana mengetahui dapat menjalankan perkhidmatan penghantaran dengan pendapatan yang terjamin dan ada faedah lain yang membolehkan dia menyara keluarga dan mendapat taraf hidup yang lebih baik.
Lebih menarik lagi, apabila dapat bekerja tetap, rakan penghantar ini juga akan berpeluang bekerja di bahagian lain di dalam Capital A. Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A berkata, mereka akan mempunyai peluang untuk meneroka dan mengembangkan kerjaya dengan lebih lanjut. Daripada penunggang penghantaran, mereka boleh menjadi krew kabin, juruterbang, penganalisis data, ahli pemasar digital, menjadi sebahagian daripada pejabat korporat dan banyak lagi.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan lebihan pemohon, Ketua Penghantaran (Kumpulan) AirAsia APP iaitu Lim Ben-Jie berkata, beliau tidak mempunyai sebarang kebimbangan mengenai perkara itu kerana AirAsia akan mempunyai proses saringan yang betul sebelum mengambil penunggang. Tambahnya, potensi peningkatan penunggang hanya akan memberi manfaat kepada syarikat itu untuk menjadi salah satu platform yang penting dalam industri bersama Grab dan FoodPanda.
AirAsia Food kini menawarkan perkhidmatannya di Malaysia, Singapura, Thailand, dan Indonesia, manakala perkhidmatan penghantaran AirAsia Xpress tersedia di Malaysia, Singapura, dan Thailand. Dengan tawaran dan manfaat yang disediakan ini, anda nak tak sertai sebahagian daripada pasukan penghantaran AirAsia? Jika ya, anda boleh lakukan pendaftaran melalui halaman ini.