Pasaran telefon kelas permulaan dan pertengahan sangat sengit, terutama di bawah harga RM1,000. Ia adalah tumpuan kebanyakan pengeluar, termasuk Neffos, sebuah jenama di bawah TP-Link.
Tidak lama lagi, Neffos akan membawa masuk 4 model baru telefon pintar mereka dalam satu majlis pelancaran yang dipanggil, Neffos Summer Launch 2018 pada 26 Julai 2018. 4 model tersebut adalah Neffos C7A, C9, C9A dan X9.
Fokus utama dalam majlis pelancaran dilihat menjurus kepada Neffos X9. Ini kerana Neffos Malaysia telahpun membuka tempahan awal Neffos X9 di Lazada.
Tempahan awal Neffos X9 akan menerima sekotak hadiah percuma yang berisi selfie stick, fon kepala dan gelang kunci. Neffos X9 ini dijual di Malaysia pada harga RM649.
Neffos X9 adalah sebuah telefon yang agak besar. Ia memiliki skrin IPS 5.99-inci dalam nisbah 18:9 dan resolusi HD+. Baterinya pula berkapasiti 3,060mAh.
Cip pemprosesnya ialah Mediatek MT6750 dan datang bersama 3GB RAM dan 32GB storan dalaman. Ia menerima kad mikroSD sehingga 128GB dan turut menyokong dua kad sim bersaiz nano.
Neffos X9 disertakan dua kamera belakang 13MP+5MP, bersama kamera depan 8MP. Di samping pengimbas capjari yang terletak di belakang, Neffos X9 turut memiliki fungsi pengecaman wajah.
Pesaing dalam kategori yang sama dengan Neffos X9 ini adalah seperti Xiaomi Redmi 6 yang baru diumumkan akan dijual di Malaysia pada 25 Julai nanti. Tetapi kelebihan utama telefon pintar Neffos adalah jaminan selama 2 tahun bersama 3 bulan penggatian 1-ke-1, yang jarang dilihat pada pengeluar lain.
Lebih banyak maklumat lain akan diperolehi semasa majlis pelancaran pada 26 Julai nanti. Tetapi jika anda berminat dengan Neffos X9, boleh membuat tempahan awal di Lazada sekarang untuk menerima hadiah percuma bernilai RM188.