Dilahirkan pada 21 Ogos 1928, hari ini genap tahun ke-94 hari lahir arwah Azah Aziz atau lebih dikenali sebagai Mak Ungku. Hari ini juga, Google Doodle mengambil peluang untuk memberi penghormatan kepada beliau yang telah meninggal pada 9 Julai 2012.
Kepada yang tidak tahu, beliau adalah salah seorang perintis wartawan wanita di Malaysia dan merupakan ikon budaya Malaysia yang diingati atas usahanya memelihara budaya, tekstil dan pakaian tradisional Melayu untuk generasi akan datang. Beliau juga digelar Tokoh Budayawan Melayu.
Minat pada bahasa dan budaya Melayu
Minatnya yang mendalam terhadap bahasa, budaya dan seni telah dipupuk oleh ibunya, Azizah Jaafar. Daripadanya juga beliau mewarisi koleksi tekstil dan pakaian Melayu terawal. Minat itu diperkukuh lagi melalui perkahwinannya dengan Ungku Abdul Aziz, di mana beliau berkongsi minat mendalam terhadap bahasa dan budaya Melayu.
Minat dalam bidang penulisan dan sastera mula dipupuk semasa bekerja sebagai setiausaha di Jabatan Pengajian Melayu, di bawah ketua jabatan Tan Sri Zainal Abidin Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba.
Pernah menemu ramah ramai personaliti antarabangsa
Pada tahun 1957, Mak Ungku ditawarkan bekerja sebagai setiausaha kepada ketua pengarang Straits Times, tiga bulan selepas akhbar berbahasa Melayu pertamanya diperkenalkan iaitu Berita Harian. Beliau kemudian memulakan kerjayanya sebagai wartawan apabila ditugaskan untuk menguruskan bahagian wanita. Ketika berkhidmat, beliau pernah menemu ramah personaliti antarabangsa seperti perdana menteri India, Indira Gandhi, peninju Muhammad Ali dan keluarganya serta angkasawan wanita pertama yang ke angkasa lepas, Valentina Nikolayeva-Tereshkova.
Azah Aziz adalah perintis dalam banyak perkara. Beliau telah mengasaskan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) dan salah seorang pengasas Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi). Beliau turut memperjuangkan hak persamaan gaji, cukai berasingan untuk isteri yang bekerja, pindaan keluarga Islam dan kemudiannya mengasaskan Pertubuhan Tindakan Wanita Islam.
Selain daripada sejumlah artikel akhbar dan majalah yang ditulis selama 37 tahun sebagai wartawan, beliau telah mengarang lebih daripada sepuluh buah buku. Melalui Akaz, syarikat penerbitannya sendiri, Azah Aziz menjadi antara wanita pertama di Malaysia yang menerbitkan buku puisi, permainan dan lagu untuk kanak-kanak. Antaranya ialah Adik Comel, Ibu, Keluarga Kita, O! Bangau dan Burung Kenek Kenek, Pantun-pantun Melayu, Taman Seni dan banyak lagi.
Mahir busana Melayu & kewartawanan, sumbangan Azah diiktiraf banyak pihak
Di samping itu, dengan pengetahuan yang mendalam tentang pakaian, perhiasan dan tekstil, Azah mengambil peluang memberi syarahan dan memperkenalkan budaya Melayu kepada festival seni dan seminar antarabangsa. Selain mengetahui semua potongan pakaian tradisional dan jenis tekstil, beliau juga mahir tentang cara pemakaian dan aksesori yang diperlukan untuk dipadankan bersama pakaian.
Penglibatan beliau dalam bidang ini telah mendorong banyak pihak untuk melantiknya sebagai ahli lembaga pengarah mereka. Antaranya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Kraftangan Malaysia, dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tun Razak.
Sumbangan beliau dalam bidang kewartawanan dan mempromosikan budaya telah diiktiraf oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2008, di mana universiti tersebut telah menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor dalam bidang Seni dan Pendidikan. Azah Aziz juga dipilih sebagai Tokoh Wanita Johor pada tahun 1992, dianugerahkan sebagai Anugerah Wanita Cemerlang Avon-Tan Sri Fatimah 1994 dan penerima pertama Anugerah Jarum Berlian yang dianjurkan oleh majalah Rias, terbitan Utusan Melayu.
Tan Sri Dr. Zeti Aziz gambarkan ibunya pendukung hak kaum wanita & kanak-kanak
Tan Sri Dr. Zeti Aziz, anak perempuan Azah Aziz dalam satu sidang media telah berkongsi pendapatnya tentang legasi ibunya. Menurut beliau, Azah dahulunya menulis dengan penuh semangat untuk hak kaum wanita, kanak-kanak. Beliau turut menggambarkan ibunya sebagai seorang pendukung berkaitan isu tersebut.
Tambahnya lagi, buku ibunya sangat bermakna. Keunikan karyanya adalah menyepadukan karya klasik dan puisi yang ditulis ratusan tahun yang lalu yang memberi rujukan kepada tekstil dan pakaian. Ini adalah untuk memberikan pembaca gambaran yang mendalam tentang keindahan dan elemen istimewa berkaitan dengan tekstil Melayu.
Oleh kerana Tan Sri Dr. Zeti Aziz mahu seluruh dunia tahu tentang warisan budaya Melayu yang terkandung dalam tekstil dan pakaian, beliau telah memastikan buku itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan ia akan diterbitkan tidak lama lagi.
Azah Aziz telah memberi banyak sumbangan dan ilmu dalam memelihara budaya serta adat resam Melayu. Perkara ini tentunya berguna untuk seluruh masyarakat. Dirinya juga pasti menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang, terutama sekali wartawan wanita dan pencinta fesyen Melayu.