Arena 5G Malaysia agak bergolak awal minggu ini, dengan beberapa berita serta kenyataan dikeluarkan mengenainya. Ia bermula dengan satu laporan dari agensi berita antarabangsa Reuters, yang memaklumkan dua syarikat telekomunikasi (telco) utama di Malaysia, menyatakan tidak berminat untuk mengambil alih pegangan di dalam Digital Nasional Berhad (DNB).
Menurut Reuters, Maxis dan U Mobile telah menolak tawaran kerajaan Malaysia untuk menjadi pemegang saham minoriti di dalam DNB, syarikat yang menyediakan akses tunggal 5G di Malaysia. Ini kerana Maxis dan U Mobile tidak melihat sebarang kelebihan buat mereka jika terlibat sebagai pemegang saham kecil di dalam DNB.
Walaupun tidak mahu memiliki pegangan saham DNB, Maxis dan U Mobile masih berminat untuk menandatangani perjanjian komersial untuk akses 5G menerusi DNB. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Kementerian Kewangan akan membenarkan perkara ini, kerana Menteri Kewangan Tengku Zafrul, ada menyatakan bahawa semua telco mesti bersetuju dengan perjanjian DNB pada 31 Ogos 2022.
Perjanjian DNB terpaksa diubah untuk 4 telco
Tidak lama selepas laporan Reuters dikeluarkan, DNB telah mengeluarkan kenyataan rasmi mereka tentang perkara ini. DNB mengesahkan terdapat dua syarikat tidak dapat meneruskan perjanjian pada minit-minit akhir. Satu telco mengumumkan menarik diri dan satu lagi tidak memberi maklum balas. DNB tidak menyatakan nama telco yang berbuat demikian.
Sehubungan itu, DNB terpaksa membuat perubahan dalam perjanjian pegangan saham bersama empat lagi telco yang masih berminat. Perubahan ini dibuat untuk membenarkan empat syarikat sahaja mengambil alih pegangan DNB, serta memerlukan persetujuan empat telco ini.
Jika ia sama seperti yang dilapor Reuters, empat telco tersebut pastinya adalah Celcom, Digi, Telekom Malaysia dan YTL Communications.
DNB turut menambah, perbincangan mengenai perjanjian akses 5G masih diteruskan bersama 6 telco menerusi saluran yang berbeza dan bebas. DNB juga masih komited untuk terus membangunkan infrastruktur dan rangkaian 5G dengan lebih pantas. DNB menyatakan, sehingga kini liputan 5G telah mencapai 30% kawasan berpopulasi dan kini di landasan untuk mencapai 80% liputan di kawasan populasi menjelang 2024.