Samsung mengutuskan video yang secara langsung ditujukan kepada pesaingnya Apple. Video bertajuk Buckle Up dan berdurasi 30 saat itu memberi gambaran yang iPhone 14 bakal dilancarkan tak lama lagi. Seperti yang kita tahu, Apple ada menjadualkan satu acara pada 7 September 2022 ini tapi tidak pula berkongsikan apakah yang bakal diperkenalkan.
Dalam video tersebut, Samsung mengatakan, pengguna yang menantikan pelancaran iPhone baharu janganlah mengharapkan sesuatu yang baharu kerana di Samsung Galaxy S22 Ultra dan Galaxy Z Flip4 miliki segala-gala yang baharu seperti kamera 108MP dan skrin boleh lipat.
Untuk berlaku adil, walaupun Samsung gah di atas helaian spesifikasi, ia tidaklah diterjemah kepada penggunaan dunia sebenar seperti mana yang digebang. Kami pernah lakukan perbandingan kamera Galaxy S21 Ultra dengan iPhone 12 Pro Max dan dapati hasil gambar tidaklah jauh beza kualitinya. Ada kawasan yang Samsung berkelebihan berbanding Apple dan sebaliknya.
Pada ketika itu, Galaxy S21 Ultra sudahpun menggayakan sensor 108MP dan ciri Space Zoom 100x sudahpun ada sedangkan iPhone 12 Pro Max kekal pada sensor 12MP.
Samsung sepatutnya sedar akan risiko aksi ini memakan diri. Dalam tahun 2019 lalu, Samsung turunkan semua video lama mereka yang disasarkan pada takuk pada iPhone X apabila mereka mula menyertakan panel paparan bertakuk pada produk mereka.
Kemudian, dalam tahun 2020, mereka kutuk pula Apple yang tidak lagi menyertakan pengecas bersama iPhone yang sudahnya Samsung sendiri tidak menyertakan pengecas sekarang. Seperti yang dijangka, utusan Facebook itu sudah lesap.
Sumber: Samsung