Ada pelbagai jenis tablet dijual dipasaran. Tidak dinafikan, terdapat banyak faedah yang boleh didapati apabila memiliki tablet. Ia termasuklah mudah dibawa kemana-mana dibandingkan dengan laptop, sesuai untuk lakukan panggilan video, memudahkan pengguna membaca melalui skrin yang besar dan banyak faedah lain lagi.
Jika anda belum milik tablet dan sedang cari tablet yang sesuai, di sini saya sediakan 8 perkara utama yang perlu anda pertimbangkan secara terperinci pada sesebuah tablet sebelum membelinya. Ini perlu dilakukan supaya anda berpuas hati dengan tablet yang anda beli, sekaligus dapat elak dari tertipu oleh jurujual yang cuba menarik anda supaya beli tablet terkini di kedainya.
1. Lihat harga, pilih ikut bajet
Bajet adalah perkara utama yang perlu diputuskan. Anda perlu tentukan spesifikasi dan ciri yang diperlukan daripada sesebuah tablet, kemudian lihat jika tablet dengan ciri tersebut ada di bawah bajet anda. Contohnya, bajet anda ialah RM1000 dan anda mahu tablet dengan bateri yang sangat besar. Jadi, anda ada pilihan untuk dapatkan Nokia T20 LTE. Sekiranya bajet anda RM2000 dan anda pentingkan tablet yang menyokong kemaskini sistem operasi panjang, anda bolehlah dapatkan iPad 10.2” WiFi (Gen-9).
2. Saiz dan berat tablet
Ada situasi yang memerlukan anda memegang tablet untuk tempoh yang lama. Jadi sudah tentu tablet yang ringan dan nipis perlu didapatkan. Mungkin juga anda perlukan tablet yang kecil supaya ia mudah di bawa. Oleh itu, pastikan anda fikir dan dapatkan tablet yang bertepatan dengan saiz serta berat yang diperlukan. Salah satu contoh tablet yang ringan ialah Oppo Pad Air dengan berat cuma 440g.
3. Jenis paparan
Paparan juga merupakan perkara penting untuk diputuskan sebelum membeli tablet. Pertimbangkan saiz paparan, resolusi, kecerahan dan salutan (coating). Saiz dan resolusi skrin akan menentukan betapa mudah atau sukarnya untuk membaca teks pada peranti. Anda perlukan sekurang-kurangnya resolusi 720p pada tablet jika mahu menonton video HD Penuh (1080p) melaluinya. Salah satu tablet yang menyokong resolusi HD ialah Realme Pad Mini.
Kecerahan juga perlu dipertimbangkan jika akan sering gunakan tablet di luar rumah. Lebih cerah skrin, lebih mudah untuk anda lihatnya apabila berada di bawah cahaya yang terang seperti cahaya matahari. Selain itu, salutan skrin juga hendaklah tahan lama, supaya ia tidak menunjukkan calar dan mudah dibersihkan.
4. Sistem operasi
Sama seperti telefon dan laptop, tablet juga ada pelbagai pilihan sistem operasi (OS). Jika mahu OS Windows, anda boleh dapatkan tablet seperti Microsoft Surface Pro 8 dan Vivobook 13 Slate OLED. Sekiranya mahu pengalaman yang baik untuk menonton video dan main game, anda boleh pertimbangkan tablet iOS. Kalau anda perlu tablet dengan ciri multitasking yang lebih baik, Android boleh jadi pilihan terbaik.
5. Sokongan rangkaian
Keupayaan untuk menyambung ke Internet adalah penting. Terdapat dua jenis sambungan yang terdapat dalam tablet iaitu Wi-Fi atau Wifi dan selular. Sokongan Wi-Fi membolehkan anda akses Wi-Fi disekitar. Yang penting di sini ialah bentuk Wi-Fi yang disokong oleh tablet. Pilihan terbaik ialah menyokong 2.4 GHz dan 5 GHz. Selular pula, ringkasnya anda boleh pasang kad SIM dan guna Internet seperti di telefon pintar.
6. Kapasiti bateri
Jika anda perlu gunakan tablet sepanjang hari, maka hayat bateri adalah perkara penting. Masa kegunaan yang baik hendaklah bertahan sekurang-kurangnya lapan jam selepas menggunakan pelayar web dan menonton video. Vivo Pad adalah salah satu tablet yang boleh dipertimbangkan. Ia dibekalkan bateri berkapasiti 8,040mAh dengan blok pengecasan pantas 44W. Vivo memaklumkan yang hayat baterinya boleh pergi sehingga 11 jam.
7. Jenis pemproses
Setiap model tablet menggunakan pemproses yang berbeza-beza bergantung kepada pengeluarnya. Cip yang disertakan boleh memberi implikasi berbeza pada prestasi serta hayat bateri tablet. Antara tablet dengan pemproses terbaik ialah iPad gen 9, ia menggunakan cip A13 Bionic. Kemudian, Galaxy Tab S7+ dikuasakan oleh Snapdragon 865+.
8. Storan yang diperlukan
Kebanyakan tablet miliki storan antara 8 GB dan 64 GB, kecil berbanding komputer. Jika anda hanya gunakan tablet untuk buka laman web, menstrim video dan membaca di dalam talian, maka ruang storan bukan satu ciri yang penting. Tapi, sekiranya anda mahu simpan video dengan definisi tinggi atau muat turun banyak permainan, sila dapatkan model dengan ruang storan yang besar.
Sekiranya anda sangat memerlukan tablet dan tiada idea untuk pilih model yang mana satu, anda boleh lihat senarai cadangan saya untuk tablet berharga di bawah RM1000 dan RM2000. Mesti ada tablet yang akan memenuhi keperluan anda di dalam senarai ini.
[Sumber: Lifewire]