Jika ada satu perkara buruk di iPhone selama ini, ia adalah takuk besar di dahi skrin. Apple akhirnya berjaya mengatasi masalah ini dengan membuat sedikit perubahan fizikal, bersama kelainan dalam perisian yang sangat besar.
Pelancaran iPhone 14 dimeriahkan dengan ketibaan peranti terhebat dan terbaru mereka, iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max. Sama seperti model-model sebelumnya, hampir tiada perbezaan ketara pada perkakas dalaman, dengan kelainan utama adalah saiz skrin dan kapasiti bateri.
Skrin di iPhone 14 Pro masih berukuran 6.1-inci manakala iPhone 14 Pro Max kekal sama, 6.7-inci. Paparan Super Retina XDR bersama teknologi ProMotion 120hz dikenakan di bahagian hadapan. Tetapi ada beberapa naik taraf dikenakan padanya.
Paparan OLED dengan resolusi serupa dengan model bukan Pro digunakan pada iPhone 14 Pro dan Pro Max. Tetapi ia kini memiliki tahapa kecerahan lebih tinggi, sehingga 1,000 nits kecerahan biasa serta boleh mencapai 2,000 nits apabila berada di luar bangunan. Di samping itu, iPhone baru ini akhirnya menyokong paparan sentiasa hidup, atau nama popularnya ‘Always On Display’ (AOD).
Dynamic Island pengganti takuk
Perkara paling besar yang diperkenal pada model Pro ini adalah tiada lagi takuk di dahi skrin. Ia digantikan dengan dua lubang, satu berbentuk bujur dan satu lagi bulat. Bunyinya mungkin agak aneh, malah seperti tiada peningkatan berbanding takuk dahulu. Jika anda berfikir begini, maka anda silap.
Apple telah mencipta iOS 16 untuk meningkatkan pengalaman dua lubang baru di dahi skrin ini dengan memperkenal ‘Dynamic Island’. Dynamic Island menjadikan aplikasi atau sistem operasi menutup kelemahan lubang dan menjadikannya sebagai sebahagian fungsi aplikasi.
Contohnya ia berubah menjadi skrin hitam panjang untuk menunjukkan jarak GPS mencapai lokasi yang dituju, atau petak empat segi untuk butang kawalan lagu. Cara ini dilihat sangat bijak kerana berjaya mengubah tanggapan buruk lubang di skrin, kepada pengalaman penggunaan yang menarik dan cantik dilihat.
Kamera 48MP + 12MP + 12MP + 12MP
Apple juga menaik taraf resolusi kamera iPhone 14 Pro dan Pro Max kepada 48MP, setelah sekian lama menggunakan kamera 12MP di belakang. Kamera 48MP ini adalah kamera utama, dengan apertur f/1.78 serta penstabil imej optikal ‘sensor shift’ generasi kedua.
Dua lagi kamera belakang masih kekal dengan resolusi 12MP iaitu kamera ultra lebar f2.2 dan kamera telefoto f/1.78 dengan keupayaan zum optikal 2x.
Kamera hadapan juga lebih hebat, kini dengan fungsi autofokus untuk tangkapan swafoto yang sentiasa tajam. Masih kekal dengan resousi 12MP tetapi apertur lebih pantas f/1.9.
Prestasi terhebat di telefon pintar
Apple terus berbangga dengan cip keluaran mereka dan kini di iPhone 14 Pro dan Pro Max, ia dikuasakan cip Apple A16 Bionic. Ia dikatakan jauh meninggalkan cip yang digunakan oleh peranti Android.
Hayat bateri turut dipertingkat, antaranya dibantu cip yang lebih cekap tenaga. iPhone 14 Pro mampu memainkan video sehingga 23 jam manakala di Pro Max, sehingga 29 jam. Kedua-duanya menyokong pengecasan berwayar 20W dan pengecas wayarles Qi dan MagSafe. Tetapi semua pengecas dijual berasingan, termasuk kepala pengecas berwayar.
Pengesan kemalangan dan SOS satelit
Kalau ada di model bukan Pro, pastinya ia tersedia di model Pro. Dua fungsi baharu yang dilihat besar di iPhone 14, iaitu pengesan kemalangan dan SOS satelit, turut terdapat di iPhone 14 Pro dan Pro Max. Ia menggunakan giroskop berjulat dinamik tinggi bersama sensor pemecut g-tinggi. Secara pintar, peranti mengesan pergerakan yang berubah secara mendadak dan menghubungi pihak berkenaan serta berkongsi lokasi.
Ketiadaan talian rangkaian juga tidak menjadi masalah jika mahu memohon bantuan. iPhone 14 Pro dan Pro Max dilengkapi fungsi SOS satelit, iaitu cara menghantar mesej dengan sambungan satelit yang tersedia di mana-mana pelusuk dunia.
Bagaimanapun, semasa pelancaran dinyatakan sambungan satelit ini percuma selama 2 tahun untuk pembeli siri iPhone 14. Tidak dipastikan adakah ia terpakai di seluruh dunia dan berapa pula bayaran selepas tampat tempoh 2-tahun.
Bagi pilihan warna, Apple memperkenal satu warna baharu untuk iPhone 14 Pro dan Pro Max iaitu warna ungu. Tiga lagi warna pilihan lain adalah emas, perak dan hitam. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk iPhone 14 Pro.