Honor kini rasmi memperkenalkan HONOR Robot Phone, telefon pintar yang membawa pendekatan berbeza terhadap sistem kamera. Ia bukan sekadar menggunakan penstabilan optikal atau pemprosesan AI seperti kebanyakan flagship lain, sebaliknya kamera pada telefon ini boleh bergerak secara fizikal menggunakan sistem gimbal bermotor.
Berbanding konsep yang diperlihatkan Honor di MWC 2026 sebelum ini, Robot Phone kini hadir sebagai produk yang boleh dibeli pengguna.
Honor turut bekerjasama dengan ARRI, pengeluar kamera profesional untuk industri perfileman, bagi membawa sebahagian teknologi pengimejan dan aliran kerja sinematiknya ke telefon pintar.
Harga dan ketersediaan Honor Robot Phone
Buat masa ini, Honor Robot Phone dibuka untuk tempahan awal di China, dalam dua konfigurasi:
- 12GB + 512GB – RMB9,999 (~RM6,059)
- 16GB + 1TB – RMB12,999 (~RM7,877)
Setakat pengumuman ini, Honor masih belum mendedahkan harga atau tarikh ketersediaan Robot Phone untuk pasaran Malaysia.
Kamera robotik boleh bergerak sendiri

Kelainan utama peranti ini terletak pada modul kameranya. Apabila diaktifkan, modul kamera tersebut akan terangkat keluar dari bahagian belakang telefon dan bertukar menjadi kamera aksi mudah alih yang dilengkapi penstabilan gimbal mekanikal 3-paksi (3-axis).
Bagi membolehkan sistem ini dimuatkan ke dalam reka bentuk telefon yang nipis, Honor membangunkan sistem Titanium Agile Gimbal 4DoF. Mekanisme kamera ini dibina menggunakan lebih 100 komponen berketepatan tinggi serta menggunakan motor gimbal titanium seberat 2.6g.

Honor mendakwa saiz keseluruhan sistem ini berjaya dikurangkan sebanyak 65% lebih kecil berbanding gimbal biasa, sambil kekuatan strukturnya meningkat sehingga 200%.
Selain itu, motor gimbal ini berupaya berputar sehingga 360° per saat, manakala Super Steel Flip Motor pula mempunyai ketumpatan tork sehingga 120 N·m/L. Gabungan kedua-dua teknologi ini membolehkan kamera bergerak dengan pantas dan tepat, sambil membantu menstabilkan rakaman.
Kamera ini turut menyokong beberapa mod pergerakan sinematik seperti Tilt Lock, First Person View (FPV), FPV Vertical dan AI SpinShot.


Dengan ciri AI Live-Tracking, kamera boleh mengesan dan mengikuti pengguna dengan menggerakkan dirinya secara automatik, berguna ketika merakam vlog, melakukan siaran langsung, atau semasa panggilan video. Terdapat juga fungsi Voice Source Localization untuk membantu menentukan arah sumber suara, manakala kawalan menggunakan gerak isyarat pula membolehkan pengguna menggerakkan kamera dan mengambil gambar tanpa perlu menyentuh telefon langsung.
Dua kamera 200MP dengan teknologi ARRI

Dari segi kamera, Robot Phone hadir dengan sistem kamera belakang yang agak unik dengan dua kamera 200MP. Ia terdiri daripada:
- 200MP kamera utama Agile Gimbal, sensor 1/1.28-inci, f/1.6
- 200MP kamera telefoto periskop, sensor 1/1.4-inci, 2.7x zum optikal
- 50MP kamera ultralebar, sudut pandangan 122 darjah
Kamera utama 200MP ini turut menyokong rakaman 10-bit ARRI LogC3 dalam mod ARRI CINEMA. Ini merupakan sebahagian daripada kerjasama Honor dengan ARRI, yang turut membawa teknologi seperti ARRI Wide Gamut 3 dan ARRI Looks ke dalam telefon pintar ini. Berbanding sekadar menawarkan penapis warna biasa, sistem ini direka untuk memberikan lebih banyak kawalan kepada pengguna ketika merakam dan menyunting video.

Honor turut menggunakan cip pemprosesan imej HONOR H1, dengan pengurangan hingar AI yang meningkatkan SNR video sebanyak 8dB, manakala pengoptimuman julat dinamik AI pula menyokong sehingga 14 stop julat dinamik.
Bagi pencipta kandungan yang mahu melakukan penyuntingan lanjut, rakaman ARRI LogC3 mengekalkan lebih banyak maklumat highlight dan bayangan untuk kegunaan pascaproduksi, manakala ARRI Wide Gamut 3 pula menawarkan ruang warna yang lebih luas. ARRI Looks pula menawarkan gaya warna sinematik yang lebih terkawal. Rakaman turut boleh dibawa ke perisian seperti DaVinci Resolve untuk proses pascaproduksi lanjut serta penggunaan ARRI LUT.

Menariknya, Honor turut mengesahkan bahawa teknologi kamera hasil kerjasama bersama ARRI ini akan turut dibawakan ke siri flagship Honor Magic 9 akan datang.
Honor Robot Phone juga boleh jadi “robot” AI

Selain fungsi rakaman, Honor turut mahu menjadikan Robot Phone lebih daripada sekadar telefon dengan kamera yang boleh bergerak. Menerusi sistem operasi MagicOS, peranti ini memperkenalkan YOYO Robot Mode yang menggabungkan persepsi multimodal, pemahaman konteks, pengecaman gerak isyarat dan pergerakan fizikal.
Antara fungsi menarik yang turut disertakan ialah YOYO Auto Execution, iaitu ejen AI pada peringkat sistem yang mampu memahami arahan pengguna, dan melaksanakan tugasan berbilang langkah merentasi aplikasi serta tetapan sistem yang disokong.
Honor turut menyediakan Agent Skills interface untuk pembangun pihak ketiga. Ini membolehkan pembangun menghasilkan pengalaman baharu yang menggunakan sistem gimbal, kemampuan persepsi dan fungsi interaksi fizikal Robot Phone.
Spesifikasi Honor Robot Phone

Walaupun kamera robotik menjadi tarikan utama, Robot Phone masih dilengkapi spesifikasi dalaman bertaraf flagship. Ia dilengkapi skrin LTPO OLED 6.31 inci dengan kadar segar semula adaptif 1-120Hz, dan kecerahan puncak yang didakwa mencecah 6,800 nits. Skrin ini turut dilindungi kaca NanoCrystal Shield.
Dari segi binaan, Robot Phone menggunakan binaan “all-metal integrated molding unibody”, yang mempunyai ketebalan sekitar 9.59mm dan berat 248 gram.
Atas papan utama, telefon ini dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, dan ditawarkan sama ada varian 12GB + 512GB, atau 16GB + 1TB. Untuk kuasa, telefon ini mempunyai bateri 7,060mAh jenis silikon-karbon, dengan sokongan 120W pengecasan berwayar dan 50W pengecasan tanpa wayar melalui Honor SuperCharge.
Bagaimana dengan ketahanannya?
Di sinilah konsep kamera bergerak pada Robot Phone mungkin menimbulkan persoalan. Berbanding telefon flagship moden yang semakin banyak menawarkan penarafan IP68, Robot Phone hanya mempunyai penarafan IP54 untuk perlindungan daripada habuk dan air.
Tambahan pula, kamera yang boleh terkeluar dan bergerak sememangnya menambah lebih banyak komponen mekanikal pada telefon. Ini bermakna terdapat lebih banyak bahagian yang berpotensi terdedah kepada kerosakan, terutama sekiranya telefon terjatuh ketika kamera sedang terbuka.

Bagaimanapun, jika diimbas kembali, idea memuatkan komponen kamera bergerak pada telefon pintar sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Kira-kira sedekad lalu, pengeluar smartphone pernah bereksperimen dengan pelbagai teknologi kamera yang mempunyai bahagian bergerak. Oppo N1, yang dilancarkan pada 2013, menampilkan modul kamera yang boleh berputar sehingga 206 darjah untuk berfungsi sebagai kamera depan mahupun belakang. Kemudian, ada pula Honor 7i yang dilancarkan pada 2015, dengan kamera flip-up 180 darjah.


Punca utama mengapa teknologi seumpama ini kurang bertahan lama pada masa lalu adalah kerana komponen mekanikal berisiko tinggi untuk rosak, selain menyukarkan peranti untuk mendapat penarafan kalis air dan debu yang baik.
Meskipun begitu, Honor berjaya memuatkan sistem gimbal stabil ke dalam badan telefon yang kekal nipis merupakan satu pencapaian kejuruteraan yang membanggakan. Sama ada pengguna sanggup menerima risiko ketahanan fizikal dan berat tambahan demi fungsi ini, hanya masa yang akan menentukan.
Apa-apa pun, Honor wajar dipuji kerana berani tampil dengan kelainan dalam pasaran telefon pintar yang kini semakin kelihatan serupa antara satu sama lain.






