Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKomm), Tan Sri Annuar Musa telah mengeluarkan kenyataan media menerusi Facebook tentang pelaksanaan 5G di Malaysia. Dia memberi jaminan bahawa perancangan 5G masih berjalan dan seperti yang dijadualkan.
Kenyataan ini dilihat sebagai maklumbalas kepada penarikan diri Maxis dan U Mobile daripada mengambilalih pegangan di dalam Digital Nasional Berhad (DNB), syarikat yang menguruskan rangkaian 5G tunggal di Malaysia.
Annuar Musa turut mengingatkan bahawa keputusan Kerajaan di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) adalah agar pelaksanaan 5G dibuat menerusi rangkaian borong tunggal (SWN) dan dibangunkan oleh DNB. Dia menambah, kementeriannnya menyokong penuh dasar tersebut dan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah memberi DNB lesen-lesen yang berkenaan untuk tempoh 10 tahun sehingga tahun 2031 serta menguntukkan spektrum khusus 5G yang telah dikenal pasti.
Tambah Annuar Musa, sehingga penghujung Ogos 2022, lebih 2,100 tapak 5G telah beroperasi dan liputan 5G telah mencecah 33% liputan di kawasan berpenduduk di lapan buah negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Dia menjangkakan sasaran 36% liputan pada penghujung 2022 akan dapat dicapai dan yakin sasaran 80% liputan di kawasan berpenduduk pada penghujung 2024 mampu direalisasikan.
Kementerian melalui SKMM dan DNB juga telah secara aktif mengadakan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkuasa Negeri, kerajaan tempatan dan pemegang taruh yang berkenaan, dalam menangani cabaran-cabarang pelaksanaan 5G.
Perjanjian 5G dijangka selesai hujung September
Seperti yang disahkan DNB pada 31 Ogos lalu, hanya ada empat syarikat telekomunikasi (telco) berminat untuk mengambil alih pegangan di dalam DNB iaitu Celcom, Digi, Telekom Malaysia dan YTL Communications. Perbincangan dengan keempat-empat telco berjalan lancar dan Annuar Musa berharap perjanjian akses 5G akan dapat dimuktamad dan ditandatangani menjelang 30 September 2022.
Untuk memudahkan lagi penyertaan ke dalam DNB, Annuar Musa berkata, kementeriannya dan SKMM akan mengemaskini beberapa syarat lesen ke atas DNB, khususnya yang berkaitan dengan syarat pemilikan pegangan syarikat. DNB tidak lagi menjadi syarikat 100% milik kerajaan, sebaliknya saham majoriti bakal dimiliki oleh beberapa syarikat telco yg bersetuju. Sebagai pemegang saham dan pelabur, sudah tentu wajar dipertimbangkan terma-terma yang meyakinkan dan menjamin daya maju syarikat mereka di masa akan datang.
Buat masa ini, hanya YTL Communications menerusi Yes 5G telah menyediakan perkhidmatan 5G kepada orang ramai. Manakala, Celcom dilaporkan telah memulakan ujian 5G terhadap pengguna terpilih. Annuar Musa berkata, syarikat yang berhasrat menawarkan khidmat runcit 5G dapat menyegerakan tindakan masing masing. Walaupun ada telco yang telah menyatakan sokongan terhadap hasrat kerajaan, sokongan tersebut perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan, dan segera memanfaatkan 5G dalam menawarkan perkhidmatan yang berkualiti dan inovatif kepada rakyat Malaysia.
Persoalan 5G yang masih belum terjawab
Pembangunan 5G di Malaysia sangat bergantung kepada penyertaan empat telco utama iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile. Bersama Telekom Malaysia dan YTL Communications, enam telco sepatutnya menandatangani perjanjian pengambilalihan saham DNB. Tetapi dua telco menarik diri pada saat akhir.
Menurut Reuters, Maxis dan U Mobile menarik diri kerana tidak melihat sebarang faedah menjadi pemegang saham minoriti. Tetapi DNB menyatakan bahawa dua telco ini masih boleh menyediakan perkhidmatan 5G jika menandatangani perjanjian akses 5G.
Empat telco utama mengambil masa yang sangat lama untuk menandatangani perjanjian 5G dengan DNB kerana banyak perkara. Antaranya harga borong 5G yang berat sebelah dan terlalu mahal. Telco perlu membayar RM30,000 setiap Gbps sebulan, selama 10 tahun tanpa perubahan harga. Ini akan menjadikan harga 5G kelak terlalu mahal dan menjejaskan kualiti perkhidmatan. Penggunaan data meningkat setiap tahun dan harganya sepatut menurun mengikut masa.
Selain itu, tiadanya kawal selia dan undang-undang jelas tentang pengurusan borong tunggal 5G di Malaysia. Buat masa ini, Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) dan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) masih belum memasukkan rangkaian 5G. Dalam rangka MSQoS sekarang, telco hanya perlu memenuhi kelajuan minima 2.5Mbps sepanjang 90% masa untuk akses jalur lebar wayarles.
Jika kerajaan mahu menyelesaikan pembangunan 5G dengan segera, persoalan ini perlu ditangani segera. Menteri Kewangan, Tengku Zafrul telah berulang menyatakan bahawa kerajaan akan membuka pegangan saham DNB kepada telco luar negara jika telco tempatan tidak berminat. Dia menambah, TM dan YTL Communications telah menerima persetujuan lembaga pengarah, manakala Celcom dan Digi sedang menunggu kelulusan.
DNB adalah satu-satunya entiti di Malaysia yang dibenarkan mengoperasikan rangkaian 5G, kerana SKMM telah membuang kebebasan teknologi pada spektrum sedia ada. Bermakna, telco dengan rangkaian 4G tidak lagi boleh menggunakan 5G di spektrum sedia ada.
[Sumber: SoyaCincau]