Di Razercon 2022, jenama penghasil aksesori gaming terkenal Razer telah mengumumkan Razer Edge. Ia adalah sebuah konsol permainan tangan ala-ala Nintendo Switch, Steam Deck, dan Logitech G Cloud.
Spesifikasi Razer Edge
Razer Edge sebenarnya lebih kepada fablet yang ditambat pada Razer Kishi V2 Pro. Komponen utama Razer Edge ada panel paparan sebesar 6.8”, beresolusi FHD+ dengan kadar segar semula 144Hz.
Atas papan utama, Razer Edge diperkasa Qualcomm Snapdragon G3x Gen 1. Ini adalah cip khas yang dibangunkan untuk Razer. Cip ini dilancarkan dalam tahun 2021 lalu, cumanya spesifikasi teknikal tidak pula didedahkan. Pastinya ia menggunakan teras yang sama seperti Snapdragon 8 Gen 1 tapi dinaikkan clockspeed kerana mesin yang mendukung cip G3x Gen 1 memiliki sistem penyejukan berkipas.
Cip gaming itu digandingkan dengan RAM LPDDR5 8GB dan storan UFS3.1 seluas 128GB tapi storannya boleh diperluas melalui slot mikro-SD yang disediakan.
Razer Edge menjalankan sistem operasi berasaskan Android. Pengguna perlu memasang Nexus APP (Android, iOS) sebagai front-end untuk mengakses kemampuan penuh konsol permainan ini.
Sasaran Razer adalah untuk konsol ini dimainkan secara penstriman. Servis seperti Xbox Cloud Gaming, GeForce Now ataupun Steam Link.
Menurut pengeluarnya, ini adalah konsol permainan pertama dunia yang dilengkapi Wi-Fi 6E. Ia bakal memberikan jalur data yang luas untuk kualiti permainan yang lebih baik. Terdapat juga varian yang menyokong 5G tapi ia cuma tersedia bersama-sama telco Verizon di dalam pasaran A.S sana.
Menguasakan segala komponen elektronik Razer Edge adalah bateri berkapasiti 5,000mAh. Ia dicas melalui port USB-C tapi tidak pula dikongsikan berapa paras watt yang disokong sistem pengecasan konsol ini.
Steam Deck, alternatif yang lebih munasabah berbanding Nintendo Switch
Razer Edge sudah boleh ditempah sekarang di dalam pasaran A.S pada harga bermula USD399.99 (RM1,887). Varian Founders Edition dijual pada harga USD499.99 (RM2,358) yang bezanya cuma anda beroleh aksesori tambahan Razer Hammerhead True Wireless (2021).
Varian 5G masih belum diumumkan harganya, tapi tentunya berharga sekitar USD600.
Ini bukanlah percubaan pertama
Razer Edge bukanlah satu nama yang baharu. Sebenarnya Razer sudahpun ada konsol permainan tangan dengan nama yang sama dalam tahun 2013 lalu. Bezanya, pada ketika itu ia menjalankan sistem operasi Windows 8 dan mendukung cip pemproses Intel Core i7.
Nampaknya ia gagal untuk mencuri pegangan pasaran yang pada ketika itu dikuasai PlayStation Vita.
Berbalik kepada Razer Edge (2022), ramai melihat yang konsol ini bakal bersaing dengan konsol tangan seperti Steam Deck.
Tapi saya rasakan yang sukar untuknya berlawan kerana Razer Edge adalah konsol yang berada dalam kategori ARM berdasarkan cip yang diguna pakainya. Setakat ini ia hanya boleh menjalankan permainan yang dibangunkan untuk Android dan untuk permainan AAA, ia bergantung kepada penstriman awan.
Steam Deck pula berada dalam kategori X86 dan ia menjalankan sistem operasi Windows dan ia memiliki akses terhadap permainan yang lebih luas tanpa perlu bergantung kepada servis penstriman.