Lama tak dengar Nokia melancarkan telefon pintar flagship mereka di Malaysia. Tetapi ia mungkin tidak akan terjadi dalam masa terdekat. Cuma, kalau anda suka untuk membeli telefon Android pada harga semahal iPhone, ada model baru Nokia yang sesuai.
HMD Global selaku pemilik jenama Nokia, telah membawa model terbaru Nokia X30 ke Malaysia. Ia akan mula dijual di pasaran tempatan tidak lama lagi dan tempahan awal untuknya telah dibuka, menyediakan hadiah percuma bagi pembeli sejati.
Harga dan promosi tempahan awal Nokia X30
Hanya ada satu varian Nokia X30 akan dijual di Malaysia iaitu storan 256GB. Ia dijual di sini dengan harga rasminya seperti berikut:
- Nokia X30 (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM2,099
Bagi memeriahkan kedatangan Nokia X30, tempahan awal telefon ini telah dibuka dari 24 hingga 31 Oktober 2022. Pembeli dalam tempoh ini akan menerima hadiah percuma berupa sarung telefon lutsinar dan fon telinga Nokia Comfort Earbuds.
Tawaran tempahan awal ini hanya terdapat di Stor Rasmi Nokia di Shopee. Ia juga hanya ada dalam warna biru sahaja, tiada warna perak.
Spesifikasi Nokia X30
HMD Global memasarkan telefon ini sebagai peranti mereka paling mesra alam. Ini kerana ia menggunakan 100% aluminium kitar semula untuk bingkai dan 65% plastik kitar semula untuk badan belakang. Tetapi ia mampu mengekalkan kekalisan air IP67. Kemesraan ini dipertingkatkan dengan tidak lagi memberikan kepala pengecas percuma di dalam kotak.
Kuasa pemproses menggunakan cip Snapdragon 695 6nm, yang banyak digunakan oleh telefon pintar 5G di bawah RM1,200 seperti Redmi Note 11 Pro 5G dan Realme 9 Pro 5G. Kuasa ini dipacu lagi dengan RAM seluas 8GB dan storan sebesar 256GB. Tiada slot untuk kad mikroSD.
Paparan di hadapan pula jenis AMOLED, berkeluasan 6.43-inci dengan resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran 90Hz. Ia ada tahap kecerahan 400 nits dan puncak setinggi 700 nits. Di luarnya, skrin ini dilapisi kaca Corning Gorilla Glass Victus yang sangat tahan lasak. Pengimbas capjari ada di dalam skrin.
Nokia melabel kamera mereka dengan jenama PureView. Ia ada dua kamera belakang iaitu kamera utama 50MP F1.9 dengan sensor sebesar 1/1.57-inci dan ada penstabil imej optikal (OIS). Seterusnya kamera ultra lebar 13MP F2.4. Dikatakan ia ada pengalaman PureView terbaik, dengan teknologi Capture Fusion membawakan kehebatan kamera utama ke dalam lensa ultra lebar.
Punca tenaga pula datang daripada bateri 4,200mAh, kapasiti yang agak kecil untuk peranti masakini. Ia menyokong kuasa mengecas 33W melalui USB-C, serasi teknologi QC3.0, PD3.0 dan PPS. Tetapi pengecas harus dibeli berasingan, tidak diberikan di dalam kotak.
Sistem operasi (OS) Android 12 digunakan di dalam Nokia X30. Nokia turut menjanjikan kemaskini OS sebanyak tiga kali dan kemaskini keselamatan bulanan selama 3 tahun.
Dengan harga melebihi RM2,000, sukar untuk meletakkan Nokia X30 sebagai pilihan utama senarai pembelian. Ia tidak menggunakan cip kelas pertengahan tinggi, skrin hanya 90hz berkecerahan rendah, storan dan bateri kecil serta tiada pengecasan wayarles. Kamera pun tidak dapat dipastikan kehebatannya. Sebagai telefon pintar kalis air, saingannya dalam lingkungan RM2,000 adalah seperti Galaxy A53, Galaxy A73 dan iPhone 11. Anda sendiri boleh bandingkan apa kelebihan dan kekurangannya.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Nokia X30.