Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Singapura, jabatan di bawah Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA), telah mengeluarkan amaran kepada rakyat Singapura tentang kerentanan merbahaya untuk produk Apple. Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk segera memuat turun kemaskini terbaru untuk peranti Apple mereka.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan tersebut, kemaskini keselamatan telah dilepaskan oleh Apple untuk menampal kerentanan hari-sifar, yang ditemui pada iPhone dan iPad. Masalah yang diakui Apple dengan kod CVE-2022-42827 menyebut bahawa pepijat ini disalahgunakan oleh penceroboh siber untuk menjalankan kod atau arahan merbahaya di tahap kernel. Ia dilihat telah disalahgunakan oleh banyak penceroboh siber.
CSA meminta supaya semua pengguna Apple untuk segera mengemaskini peranti mereka ke iOS 16.1 dan iPadOS 16.1, terutama sekali untuk model di bawah:
- iPhone 8 dan ke atas
- iPad Pro (semua model)
- iPad Air gen-3 dan ke atas
- iPad gen-5 dan ke atas
- iPad mini gen-5 dan ke atas
Jika kemaskini tidak berjalan secara automatik, pengguna boleh melakukannya secara manual dengan pergi ke ‘Settings‘. Seterusnya pilih ‘General‘ dan tekan pada ‘Software Update‘. Akan ada pilihan untuk memuat turun versi OS terkini. Tekan pada ‘Download and Install‘ untuk meneruskan pemasangan. Untuk memastikan pemasangan automatik di masa akan datang, pastikan anda menghidupkan ‘Automatic Updates‘.
Adakah peranti Apple mudah diceroboh sekarang? Sebagai peranti yang sekian lama dikatakan paling selamat, ini salah satu contoh tentang boleh menjatuhkan reputasi Apple. Apatah lagi, sebenarnya sudah ada 8 kes berkaitan kerentanan hari-sifar dilaporkan tahun ini sahaja dan ini menjadikannya kes ke-9.
[Sumber: SoyaCincau, CSA]