Anda ada komitmen hutang? Contohnya pinjaman kad kredit, PTPTN, kereta dan sebagainya. Untuk orang berdisiplin, memang tiada masalah untuk bayarnya. Namun pasti semua orang mahu langsaikan pinjaman dengan cepat kan? Oleh itu, ada boleh cuba lakukan empat teknik penyelesaian hutang ini yang terbukti berkesan supaya anda tidak ada komitmen lagi untuk membayarnya.
a. Teknik Runtuhan salji
Jika anda jenis yang rimas dengan jumlah faedah tinggi, anda boleh cuba teknik ini. Teknik ‘avalanche’ atau runtuhan salji ini merupakan cara yang memerlukan anda fokus untuk habis bayar pada pinjaman yang mempunyai kiraan kadar faedah tertinggi dahulu. Langkahnya ialah:
- Senaraikan semua hutang bersama jumlah dan kadar faedah. Hutang yang ada kadar faedah tertinggi perlu didahulukan dalam susunan
- Rancang bajet bulanan anda dan guna duit lebihan untuk selesaikan hutang dengan kadar faedah tertinggi
- Bayar juga jumlah minimum untuk hutang lain
- Setelah selesai bayar hutang yang ada kadar faedah tertinggi, anda boleh ulang langkah di atas sehingga semua hutang selesai
Anda boleh semak baki faedah menerusi platform pinjaman masing-masing. Contohnya, untuk pinjaman kereta dan kad kredit, anda boleh lihatnya di laman web bank yang anda pinjam. Untuk PTPTN, anda boleh semak penyata pinjaman di halaman ini.
b. Teknik Bola salji
Teknik ‘snowball’ sesuai jika anda ingin lupuskan hutang dengan baki terendah, tanpa mengira kadar faedah. Contohnya, anda ada baki hutang PTPTN RM5000, dan satu hutang pinjaman peribadi sebanyak RM10,000. Jadi, untuk teknik ini anda perlu berusaha langsaikan hutang PTPTN dahulu sebab nilainya lebih sedikit. Ini merupakan caranya:
- Senaraikan semua hutang , susun dan dahulukan hutang yang mempunyai nilai baki paling sedikit
- Sertakan juga kadar faedah untuk setiap hutang itu
- Rancang bajet bulanan dengan teliti dan guna duit lebihan untuk selesaikan hutang yang berbaki paling sikit
- Setelah selesai bayar hutang dengan baki terendah, ulang semula langkah sehingga semua hutang selesai
Bagi memudahkan anda periksa hutang dengan baki terendah dan lihat dengan lebih jelas baki pembayaran hutang yang perlu dilakukan, saya cadangkan anda guna aplikasi Debt Payoff Planner di Android atau iOS. Aplikasi ini akan paparkan ringkasan jumlah hutang anda dan tarikh anda bebas dari hutang itu.
c. Teknik Emping salji
Teknik snowflake ini bermaksud anda perlu bayar hutang gunakan duit lebih yang anda ada pada setiap hari, minggu atau bulan. Contohnya, bayar lebih RM10 untuk baki kad kredit anda tanpa tunggu tarikh bayaran. Dengan teknik ini, dapatlah anda langsaikan hutang lebih cepat sambil ikut kemampuan sendiri. Caranya ialah:
- Senaraikan hutang dan rancang pembayaran dengan baik
- Pastikan anda buat pembayaran minimum untuk semua hutang itu
- Bayar lebih jika mampu. Contohnya, jika ada baki RM10 atau RM20 dalam bajet mingguan, anda boleh gunakan wang itu untuk bayar hutang
- Teruskan strategi ini sehingga semua hutang selesai
Jika anda tak pasti berapa lebihan yang anda ada pada bajet bulanan, anda boleh lakukan pengiraan menerusi Budget Calculator dari AKPK. Ianya mudah digunakan sebab anda cuma perlu isi jumlah pendapatan dan perbelanjaan, kemudian sistem akan kirakan jumlah perbelanjaan serta baki yang anda ada.
d. Teknik Penyatuan Hutang (Debt Consolidation)
Ada banyak hutang perlu bayar? Guna teknik ini untuk langsaikannya. Anda cuma perlu dapatkan semua jumlah hutang, kemudian guna wang dari pinjaman peribadi yang baru untuk langsaikan semua hutang itu. Teknik ini dapat ringankan komitmen kewangan bulanan anda dan skor kredit boleh diperbaiki. Hal ini kerana, anda boleh fokus bayar satu hutang dan jimat kadar faedah. Caranya ialah:
- Semak baki hutang termasuk baki tertunggak, kadar keuntungan dan jumlah ansuran bulanan hutang itu
- Dapatkan jumlah baki keseluruhan
- Semak kelayakan, pilih dan mohon pinjaman peribadi baru
- Setelah berjaya buat pinjaman, bayar hutang yang sudah anda gabungkan itu
Untuk teknik ini, anda boleh guna platform CompareHero, RinggitPlus, iMoney atau LoanStreet untuk bandingkan bank mana yang terbaik untuk lakukan pinjaman. Antara perbandingan yang dapat anda lihat adalah jumlah bayaran balik, bayaran bulanan, kadar faedah dan kelayakan. Permohonan juga boleh dilakukan terus dari situ dengan cepat.
Berdasarkan 4 teknik ini, mana satu yang anda rasa sesuai untuk digunakan? Saya paling suka dengan teknik snowflake, sebab saya boleh langsaikan hutang lebih cepat tanpa membuatkan saya perlu ikat perut. Jadi, pastikan anda pilih teknik yang terbaik untuk dilakukan.
[Sumber: CIMB]