Butang edit di Twitter pastinya ditunggu ramai sebab ia sangat berguna untuk betulkan semula Tweet yang sudah dikongsi. Sebelum ini, mereka pernah uji ciri ini kepada pelanggan Twitter Blue. Pada awal Oktober pula, butang edit telah tiba di AS untuk pelanggan Twitter Blue di sana. Jadi bagaimana dengan pengguna lain yang tidak melanggan Twitter Blue?
Berita baiknya, butang tersebut mungkin akan tersedia untuk semua orang seawal minggu ini. Ini secara tidak langsung akan menjadi salah satu perubahan besar pertama di bawah pentadbiran Elon Musk. Dengan kemampuan ini, bolehlah anda baiki semula teks dalam Tweet jika terdapat kesalahan tanpa perlu membuang masa padamnya dan tulis yang baru.
Setakat ini, ciri edit di Twitter Blue membolehkan pengguna menyunting semula tweet mereka sehingga lima kali dalam masa 30 minit selepas ia disiarkan. Anda perlu tahu bahawa sejarah suntingan yang dilakukan dapat dilihat oleh semua orang. Hal ini dilakukan bagi mengelak ciri tersebut disalahguna.
Selain perubahan ini, dilaporkan juga bahawa Twitter akan mewajibkan akaun yang ada rait biru (blue tick) melanggan servis Twitter Blue. Jika perkara ini dikuatkuasakan, maka pengguna dengan blue tick perlulah langgan Twitter Blue pada harga USD4.99 iaitu sekitar RM23.68 sebulan untuk kekalkan tanda rait biru itu. Kebiasannya, tanda tersebut hanya diberi kepada akaun yang terkenal, berautoriti, dan aktif. Jadi saya rasa pengguna yang terlibat perlu lakukan langganan supaya orang ramai percaya bahawa itu adalah akaun sah mereka.
[Sumber: TheVerge, TechCrunch]