Kini ada pelbagai model kereta elektrik (EV) tersedia di pasaran Malaysia. Berbanding kereta petrol, ada banyak kelebihan yang boleh anda perolehi apabila miliki EV. Bukan sahaja baik untuk diri sendiri, malah ia juga bagus untuk alam sekitar. Jika anda masih samar tentang manfaatnya, berikut merupakan 5 perbandingan penting antara EV dan kereta petrol yang perlu anda tahu.
1. Kos penyelenggaran murah
Untuk kereta petrol, pengguna perlu sediakan kos tinggi untuk selenggara kenderaan secara berkala. Minyak enjin, minyak gear dan banyak lagi komponen lain perlu ditukar untuk memastikan ia dapat berfungsi dengan baik. Tapi EV tidak memerlukan semua itu.
Saya ambil contoh pad brek, pada EV ia tak perlu ditukar sebab ia ada regeneration mode. Maksudnya, ia akan ubah tenaga kinetik yang dihasilkan dari brek kereta kepada tenaga elektrik untuk mengecas bateri kenderaan. Berbanding pad brek pada kereta petrol, ia kebiasaannya perlu ditukar 2 tahun sekali.
Perkara yang pengguna EV perlu lakukan hanyalah bawa kenderaan ke pemeriksaan setiap 15 ribu km perjalanan, kemudian ubah kedudukan tayar pada setiap 10 ribu km perjalanan supaya penggunaannya sekata.
2. Tak tertakluk kepada kos naik turun minyak
Pengguna EV tak perlu langsung fikir tentang kenaikan harga petrol. Malah, mereka juga boleh caj kenderaan di rumah sahaja. Harga untuk caj elektrik pula bergantung pada kapasiti bateri dan tarif elektrik pengguna.
Berikut merupakan kos untuk caj bateri EV dengan kapasiti penuh, saya ambil contoh EV model Kia EV6 dengan bateri kapasiti 77.4kWh. Tarif elektrik pula saya ambil kategori 3. Anda boleh bayangkan pemilik ini hidup sedikit mewah, ada rumah 2 tingkat dan dilengkapi penghawa dingin.
- Rumah kategori 3 = RM0.52/kwh
- Kapasiti bateri EV6 = 77kwh
- 77x RM0.52 = RM40.40
Berdasarkan jalan kira di atas, ini bermaksud pengguna Kia EV6 dengan tarif elektrik kategori 3 hanya perlu bayar RM40 sahaja untuk caj bateri penuh. Dengan kapasiti bateri penuh, Kia EV6 boleh bergerak sejauh 506km.
Malah, menambahkan lebih penjimatan, ada juga stesen pengecasan percuma tersedia untuk EV contohnya di pusat membeli-belah Lalaport.
Untuk kenderaan petrol pula, saya ambil contoh Myvi SE. Saya perlu isi sekitar RM86 (harga minyak RM2.05) untuk bergerak sejauh 506km. Maknanya kereta elektrik lebih jimat di sini.
3. Tiada cukai jalan
Sehingga tahun 2025, tiada cukai jalan yang perlu anda bayar untuk pandu EV. Bagi model kereta elektrik yang diimport, anda tak dikenakan cukai import sehingga tahunn 2025, namun masih ada SST. Selain itu, untuk EV yang dipasang di Malaysia pula, contohnya Volvo XC 40, anda tak perlu bayar duti eksais dan SST.
Bagi kereta petrol, sudah tentu anda perlu bayar cukai jalan setiap tahun. Kosnya pula adalah mengikut kapasiti enjin anda.
4. Menyelamatkan alam sekitar
Pencemaran alam sekitar berpunca dari pelepasan bahan CO2 dan CFC. Antara faktor yang menghasilkan pencemaran ini ialah dari asap kenderaan. Namun bagi EV, kenderaan mesra alam ini langsung tidak melepaskan asap. Hal ini berikutan ia dikuasakan sepenuhnya oleh bateri untuk bergerak. EV juga boleh beroperasi dengan lancar dalam keadaan senyap, mengurangkan lagi pencemaran bunyi.
5. Boleh digunakan sebagai penjana kuasa
Kia EV6 dan Hyundai Ioniq 5 merupakan contoh EV yang boleh jadi penjana kuasa. Teknologi ini dipanggil Vehicle-to-Load (V2L). Bagi Hyundai Ioniq 5, anda boleh lihat kehadiran soket 3 pin di bahagian bawah kerusi penumpang belakang. Ia boleh digunakan untuk kuasakan peralatan elektrik 230V. Jadi, anda bolehlah gunakan tenaga dari bateri kereta untuk hidupkan peralatan rumah seperti pemanas air sekiranya rumah anda tiada elektrik atau anda sedang berkhemah.
Walaupun ada banyak manfaat, saya ingin ingatkan anda bahawa EV masih berharga mahal jika dibandingkan dengan kereta bersama enjin pembakaran dalaman. Masa mengecas juga lama, lebih-lebih lagi apabila anda lakukannya di rumah. Namun, sekiranya anda mahu jimat dalam jangka masa panjang, sekaligus selamatkan alam sekitar, maka ini merupakan pilihan yang tepat.