Seperti yang kami laporkan dalam bulan Mei 2022 lalu, Google ada mengumumkan pembaharuan yang bakal mereka bawakan kepada servis Android Auto mereka di Google I/O 2022. Menjelang penghujung tahun, dilaporkan yang pihak Google telahpun mengedarkan versi beta terbuka kepada Android Auto untuk dicuba pengguna kebanyakan.
Cumanya ingin dimaklumkan kepada anda yang program beta Android Auto setakat ini sudah penuh dan mereka tidak lagi menerima penyertaan baharu. Tapi, ya, anda boleh jangkakan Google menyebarluaskan pembaharuan ini kepada pengguna biasa tak lama lagi. Buat anda yang terlepas berita, berikut adalah beberapa pembaharuan yang bakal anda nikmati tak lama lagi.
Antara muka segar
Pengguna Android Auto akan menerima antara muka yang diperbaharui. Ia dibangunkan atas kesedaran Google tentang prioriti pengguna letakkan sewaktu memandu iaitu navigasi, media, dan komunikasi. Jadi, antara muka baharu ini akan membahagian paparan kepada tiga bahagian dan setiap satunya mengandungi tiga perkara tersebut.
Android Auto skrin
Tidak terhenti di situ, ia cukup pintar untuk beradaptasi kepada sebarang paparan. Perkara ini penting kerana terdapat pelbagai saiz skrin dan nisbah paparan di luar sana yang mungkin menyebabkan UI sedia ada sukar untuk dipaparkan secara intuitif.
Android Auto kini memahami konteks
Google Assitant di Android Auto kini boleh membalas mesej berpandukan konteks. Contohnya, sewaktu memandu, anda terima mesej mengajak anda “mengopi”, Android Auto akan cadangkan mesej balas seperti “Ok” dan sebagainya.
Selain menggunakan suara untuk membalas, anda boleh terus menekan mesej balas ringkas yang terpapar di atas skrin.
Fungsi tambahan untuk Android Automotive
Android Automotive adalah sistem infotainment yang diperkasa Android, dan bukannya sistem operasi generic yang menyokong Android Auto.
Untuk Android Automotive, penggunannya bakal beroleh akses menonton video kegemaran. Mereka turut boleh melayari kandungan web menerusi Google Chrome.
Sumber: Android Authority