Enjin kereta yang terlampau panas merupakan satu perkara yang membimbangkan, jika dibiarkan ia berpotensi rosak dan tidak boleh dibaiki. Sudah tentu anda perlukan kos yang tinggi untuk menggantikannya. Maka anda perlu bertindak cepat sebelum ia mengalami kerosakan. Tanda-tanda enjin kereta terlampau panas ialah:
- Wap atau asap putih muncul dari bahagian bonet kereta
- Jarum tolok suhu enjin meningkat kepada “H” atau memasuki zon merah
- Ada sesetengah kereta akan nyalakan lampu amaran suhu enjin
- Bau hangus atau bau pelik datang dari bahagian enjin. Coolant bocor biasanya hasilkan bau manis manakala minyak enjin bocor biasanya berbau hangus atau terbakar.
Jangan abaikan jika ada mengesan tanda tersebut. Untuk panduan anda, berikut merupakan perkara yang perlu dilakukan apabila enjin terlampau panas.
1. Kekal tenang & berhenti dikawasan selamat
Apabila anda perasan lampu amaran suhu enjin menyala, atau jarum tolok suhu berada di zon merah, ingat untuk kekal bertenang. Pandu perlahan dan berhenti ke lokasi yang selamat. Meneruskan pemanduan boleh menyebabkan kerosakan yang lebih serius pada enjin. Selain itu, elak tekan brek mengejut sejurus anda sedar kereta berasap, sebab ia boleh akibatkan kerosakan yang lebih ketara, malah boleh menyebabkan kebakaran.
Setelah berhenti, segera matikan semua komponen elektrik seperti aircond kereta untuk kurangkan tekanan pada enjin. Aircond yang dibiarkan beroperasi semasa kereta overheat boleh meningkatkan beban pada enjin.
2. Jangan terus buka bonet kereta
Biarkan enjin sejuk dahulu sekurang-kurangnya 15 minit sebelum membuka bonet. Anda boleh periksa tolok suhu kembali ke paras normal atau tidak sebelum membukanya. Ini perlu dilakukan untuk elak diri anda melecur, disebabkan terkena wap atau asap panas yang keluar dari enjin.
3. Tambah air dan periksa kereta
Selepas enjin kembali ke paras suhu normal, isi semula air dalam radiator sebagai pembaikan sementara untuk hidupkan enjin. Jika kereta anda boleh dihidupkan, bawa ia ke bengkel berdekatan dengan segera. Tetapi ingat, kekal tenang dan pandu perlahan-lahan serta perhatikan tolok suhu. Jika suhu meningkat semula, berhenti dan biarkan enjin anda sejuk sebelum meneruskan pemanduan.
Jika anda tidak dapat hidupkan enjin, dapatkan perkhidmatan tunda kereta dan bawa kereta anda ke bengkel. Dengan membuat penilaian menyeluruh di sana, anda boleh kenal pasti sebab enjin kereta anda terlalu panas dan baikinya sebelum ia jadi lebih parah.
Cara elak enjin jadi terlalu panas
Elak enjin kereta anda jadi terlalu panas atau rosak dengan menjaganya. Berikut adalah beberapa perkara mudah yang boleh dilakukan:
- Pastikan radiator tidak tersumbat supaya aliran udara tidak terhalang
- Pastikan cecair coolant berada pada tahap yang sesuai dan mencukupi
- Periksa Timing Belt. Timing Belt yang rosak boleh menyebabkan pelbagai masalah enjin termasuklah terlalu panas. Antara tanda timing belt rosak ialah, ada bunyi bising serta prestasi enjin yang lemah
- Periksa penutup radiator dan pastikan spring dalam penutup tidak longgar. Penutup yang longgar tidak dapat kekalkan tahap tekanan yang betul di dalam radiator
- Pastikan anda ikut jadual penyelenggaraan kereta. Semasa pemeriksaan ini, mekanik anda akan periksa enjin kereta, paras bendalir dan komponen lain untuk memastikan semuanya baik. Jika terdapat sebarang isu, anda boleh selesaikannya sebelum ia berubah menjadi serius
Enjin kereta yang berfungsi dengan baik adalah sangat penting. Maka, sentiasa pantau keadaan enjin kereta anda dan cegahnya daripada rosak akibat terlampau panas.
[Sumber: Carsome]