Kereta elektrik atau EV disambut meriah di Malaysia hujung tahun ini apabila pelancaran demi pelancaran model baru dibuat setiap minggu. Jika minggu lepas kita dikenalkan dengan kerena cilik BYD Atto 3, hari ini Mercedes Benz Malaysia pula mengadakan majlis pelancaran EV Sedan mereka, Mercedes EQE 350+.
EQE boleh dikatakan EV untuk Mercedes E-Class, manakala EQS yang dilancar lebih awal adalah varian EV untuk S-Class. EQE juga adalah model kedua yang dibina daripada platform EV sepenuhnya selepas EQS, berbanding model lain seperti EQA, EQB dan EQC yang diubahsuai daripada kereta berkuasa petrol.
Harga jualan dan kesediaan
Mercedes Benz Malaysia telah mula menerima tempahan untuk Mercedes EQE, dengan harga jualannya diletakkan sebanyak RM419,888. Harga ini termasuk cukai jualan 10%, sedia atas jalan tetapi tanpa insuran.
Hanya ada satu varian yang diumumkan hari ini iaitu EQE 350+ AMG Line. Dalam model antarabangsa, ia adalah model kedua terbaik dan digandingkan dengan kapasiti terbesar sekaligus memberi jarak perjalanan paling jauh. Kerana itu, ia ada tanda ‘+’ di akhir namanya.
Nama AMG pula memberikan naik taraf kemasan sahaja, bukan pada prestasi seperti di enjin dan transmisi. Mercedes Benz Malaysia turut mmeberikan jaminan selama 4-tahun dan tanpa jarak perbatuan. Manakala bateri dijamin selama 10-tahun atau 250,000km, yang mana datang dahulu.
Keupayaan mengecas dan prestasi EQE 350+
Kuasa bergerak EQE 350+ disalurkan oleh motor elektrik tunggal yang menghasilkan kuasa 288hp dan 565 tenaga kilas, memberikan pemecutan dari 0-100km/j dalam masa 6.4 saat. Ia juga memiliki kelajuan tertinggi 210km/j. Prestasi ini sebenarnya tidaklah hebat sangat jika dibandingkan dengan harganya, tetapi ia diberikan kapasiti bateri Lithium-Ion yang sangat besar, 90.56kWh yang memberikan jarak pemanduan di antara 587km ke 669km.
Mengecas bateri ini dari 10% ke 100% mengambil masa 8 jam dan 15 minit menggunakan pengecas dinding AC 11kW. Tetapi ia turut menyokong pengecasan pantas DC 170kW, memberikan masa mengecas dari 10% ke 80% dalam 32 minit sahaja.
Rupa AMG-Line di luar
Model EQE ini sangat serupa luarannya dengan EQS, tetapi jarak roda lebih pendek 90mm. Fizikalnya sepanjang 4,946mm, lebar 1,961mm wide dan tinggi 1,510mm. Ia lebih panjang dalam semua aspek berbanding E-Class sekarang, malah jarak roda juga jauh lebih panjang iaitu 3,120mm.
Pakej AMG Line memberikan tambahan aksesori berupa bumper hadapan dengan ruang udara lebih besar, peresap belakang bergaya, dan rim aloi 19-inci dwi-tona. Lampu LED Digital dengan resolusi 2MP dipasang sebagai lampu hadapan dan ia dilengkapi teknologi aktif ‘Adaptive Highbeam Assist Plus‘ untuk mengelakkan pandangan pengguna jalan raya lain daripada dipancar dengan lampu terlampau cerah.
Kemasan ala-Tesla di dalam
Papan pemuka di dalam EQE dilengkapi dua skrin besar, satu di hadapan pemandu dan satu di tengah. Ia dipasang jalur emas-ros dan dihiasi dengan kemasan bertemakan logo tiga bintang Mercedes.
Lubang udara penghawa dingin pula berbentuk turbin dan sistem pencahayaan ambien 64-warna turut menghiasi ruangan dalam kenderaan. Stering rata di bawah, pedal aloi dan kerusi sukan dibalut kulit tiruan dwi-tona, merupakan sebahagian daripada pakej AMG-Line.
Satu kekurangan paling ketara di EQE 350+ di Malaysia adalah ketiadaan paparan tiga skrin Hyperscreen yang terdapat di model EQS. Ia digantikan dengan skrin instrumen digital 12.3-inci di hadapan pemandu, dan skrin sentuh digital 12.8-inci di tengah yang serupa dengan model S-Class. Sistem kawalan di skrin sentuh ini menggunakan perisian Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dan datang bersama pengimbas capjari untuk tetapan lebih peribadi untuk berlainan pemandu.
But di belakang EQE memiliki kapasiti 430 liter dan ia boleh diluaskan dengan melipat kerusi belakang. Terdapat butang di penutup but untuk melipat kerusi belakang dengan mudah.
Tiada ruang kosong di hadapan walaupun ia tiada enjin di hadapan kerana ia sebenarnya tidak boleh dibuka oleh pengguna. Penutup hadapan ini disediakan untuk kegunaan mekanik bertauliah sahaja.
Lain-lain perkara yang turut datang adalah seperti kemasukan tanpa kunci, butang tekan-mula, tempat duduk hadapan boleh laras berkuasa, penyaman udara automatik empat zon, pengecas wayarles Qi, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem kamera 360-darjah, bantuan parkir dan 15 unit pembesar suara 710W dengan sistem bunyi 3D Burmester. Terdapat 6-port USB-C di dalam, termasuk dua port di bahagian konsol tengah.
Ciri-ciri keselamatan
Sebagai kereta moden, EQE dipasang dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan. Antaranya 7 beg-udara, kawalan penstabil dan sistem pra-keselamatan untuk mengesan perlanggaran. Ia juga hadir dengan sistem bantuan pemandu biasa seperti brek kecemasan autonomi, kawalan kelajuan adaptif dengan berhenti dan jalan, serta bantuan mengekalkan laluan untuk menyediakan keupayaan pemanduan separuh autonomi Tahap 2.
Untuk maklumat lanjut dan membuat tempahan, layari laman web Mercedes Benz Malaysia.