Kemaskini sistem operasi dan keselamatan yang panjang sering menjadi kekuatan iPhone. Tetapi sedikit demi sedikit, pengeluar peranti Android mula menawarkan kemaskini yang lebih lama, sehingga 5 tahun.
Oppo kini menyatakan komitmen mereka untuk menyediakan kemaskini sistem operasi mereka, ColorOS sebanyak 4 kali. Mereka juga menjamin untuk memberikan kemaskini keselamatan selama 5 tahun.
Tetapi kemaskini ini disediakan untuk peranti flagship mereka yang akan datang, bukan yang telah dilancar sebelum ini. Oppo mengesahkan perkara ini kepada Android Authority, bermakna telefon pintar yang dilancar tahun ini seperi Find X5 Pro dan Find N, tidak tertakluk dalam jaminan baru ini. Jadi ia masih di bawah jaminan lama iaitu tiga kemaskini OS dan 4 tahun kemaskini keselamatan.
Cuma, timbul pula persoalan lain apabila Oppo menyatakan bahawa jaminan baru ini untuk ColorOS, tidak menyebut kemaskini Android. Pengguna perlu tahu tentang perbezaan ColorOS dan Android.
Android adalah asas sistem operasi manakala ColorOS adalah ubahsuai daripada Android. Oppo boleh menghasilkan ColorOS generasi baru, tetapi kekal dengan Android yang lama. Misalnya, ada ColorOS 11 dan ColorOS 12 yang menggunakan Android 11.
Setakat ini, Oppo masih belum menjelaskan tentang perkara ini. Tetapi langkah memanjangkan lagi kemaskini memang sangat dialu-alukan. Lebih baik lagi jika ia dapat diluaskan meliputi peranti kelas pertengahan, bukan untuk peranti flagship sahaja.
Samsung misalnya, menjanjikan kemaskini OS sebanyak 4 kali dan kemaskini keselamatan selama 5 tahun untuk hampir semua model telefon kelas pertengahan dan flagship mereka, termasuk yang dilancar tahun lepas. OnePlus pula, syarikat yang dikenali sebagai adik kepada Oppo, baru-baru ini turut menjamin kemaskini OS 4 kali dan keselamatan selama 5 tahun, tetapi mulai tahun 2023.
Kemaskini OS akan memberikan banyak fungsi baru kepada telefon sedia ada. Tetapi lebih penting lagi adalah kemaskini keselamatan di mana ia akan menampal dan membaiki masalah keselamatan di dalam perisian. Pengguna juga dinasihatkan untuk tidak lagi menggunakan peranti mereka jika tiada lagi kemaskini keselamatan.
[Sumber: Android Authority]