Nama Samsung sudah tidak asing lagi dalam dunia teknologi. Malah, Samsung juga adalah peneraju dalam penghasilan paparan. Di pameran CES 2023 yang berlangsung di Amerika Syarikat sekarang, Samsung telah mengumumkan barisan monitor baru untuk tahun ini.
Terdapat empat monitor yang diumumkan Samsung iaitu Odyssey Neo G9, Viewfinity S9, Smart Monitor M8 dan Odyssey OLED G9.
1. Odyssey Neo G9: Monitor gaming dwi-UHD
Monitor ultra lebar sering menjadi pilihan pemain gaming tegar. Dengan Odyssey Neo G9, Samsung menawarkan paparan dengan dua kali lebih lebar. Ini kerana ia berupaya menyambung dua paparan ultra lebar 16:9, menjadi selebar 32:9 dalam satu paparan.
Monitor Odyssey Neo G9 memiliki keluasan 57-inci dengan kadar melengkung 1000R. Ia menggunakan teknologi quantum mini LED dengan VESA Display HDR1000 untuk penghasilan warna bayangan dan kecerahan terbaik. Lapisan Matte digunakan untuk mengurangkan silau di permukaan skrin supaya gangguan diminimakan sewaktu permainan video.
Samsung memasang sokongan DisplayPort 2.1 pertama di dunia ke dalam Odyssey Neo G9. Ia berupaya menghantar data dua kali lebih pantas daripada DisplayPort 1.4 yang lama.
Ketajaman dan kejitauan paparan diperolehi dengan sokongan resolusi Ultra HD 7,680×2,160. Paparan juga lebih lembut dan lancar dengan kadar penyegaran setinggi 240Hz.
2. Odyssey OLED G9: Lebih putih, lebih hitam dan kontras warna tanpa had
Monitor Odyssey OLED G9 ini lebih melengkung, di tahap 1800R dengan luas 49-inci. Ia juga menampilkan nisbah paparan 32:9, gabungan dwi-paparan Quad-HD dengan teknologi Quantum Dot OLED yang membolehkan kontras warna hampir tanpa had.
Dengan setiap piksel diaktifkan secara sendiri, tiada pencahayaan latar diperlukan dan ini membolehkan warna putih paling cerah dan warna hitam paling gelap dihasilkan. Ini memberikan nisbah kontras dinamik 1,000,000:1. Peminat permainan video juga boleh menikmati kelancaran paparan tinggi dengan kadar penyegaran 240hz dan masa respon 0.1ms di Odyssey OLED G9.
Odyssey OLED G9 juga adalah monitor pintar kerana ia boleh menjalankan pelbagai aplikasi kendiri tanpa komputer. Antaranya Prime Video, Netflix dan YouTube, menerusi antaramuka Smart Hub.
Ia juga dilengkapi Samsung Gaming Hub, platform penstriman permainan semua-dalam-satu yang membolehkan pengguna bermain permainan video di awan, menerusi platform seperti Xbox dan GeForce Now. Tidak perlu lagi konsol atau muat turun perisian, hanya pastikan sambungan internet yang pantas dan rendah lengah.
3. ViewFinity S9: Direka untuk profesional kreatif
Ini adalah barisan monitor baru Samsung. Ia dihasilkan untuk pengguna profesional kreatif seperti pereka grafik dan jurugambar. Monitor ini menampilkan paparan 27-inci dalam resolusi 5K (5,120×2,880) dan ketepatan warna menerusi gamut warna lebar DCI-P3 99% dan purata Delta E ≦ 2.
Enjin Penentukuran Warna terbina di dalam monitor, memastikan kecerahan dan warna di skrin yang tepat. Ini membolehkan pengubahan tahap keputihan warna, Gammar dan keseimbangan warna RGB untuk warna paling tepat mudah melalui telefon pintar, menerusi perisian Samsung Smart Calibration. Ia juga dilapisi kemasan Matte untuk mengurangkan silau dan gangguan semasa bekerja.
Dengan sambungan USB-C dan Thunderbolt 4 terbina, pengguna boleh memasang pelbagai perkakas seperti kamera dan storan luaran dengan penghantaran data lebih pantas. Samsung ada menyediakan kamera Slimfit 4K yang menyokong persidangan video menerusi aplikasi seperti Google Meet yang tersedia di Samsung Smart Hub.
4. Smart Monitor M8: Hiburan peribadi dipertingkat
Monitor pintar Samsung Smart Monitor M8 tahun ini dipertingkat berbanding model tahun lepas. Ia kini dihasilkan dalam saiz lebih kecil 27-inci, di samping saiz sedia ada 32-inci, kedua-duanya dengan resolusi Ultra HD 4K. Terdapat empat pilihan warna disediakan iaitu Biru, Hijau, Merah Jambu dan Putih.
Naik taraf terbesar monitor ini adalah sokongan putaran 90-darjah, dari mendatar kepada menegak. Ini membolehkan melihat dokumen panjang lebih mudah. Sokongan VESA juga tersedia untuk dilekat ke dinding atau pegangan serasi supaya lebih jimat ruang.
Kepintaran monitor ini terdapat di SmartThings Hub terbina di dalamnya. Ia membolehkan Smart Monitor M8 berhubung, mengawal, dan menguruskan ratusan peranti IoT tersambung seperti lampu, kamera, kunci dan banyak lagi. Samsung mahu meluaskan sambungan ini dengan menyokong standard terbuka Matter dan Home Connectivity Alliance tidak lama lagi.
Sokongan pelbagai perisian juga tersedia di Smart Hub, seperti Prime Video, Netflix, YouTube dan banyak lagi. Akses ke Samsung Gaming Hub juga terdapat padanya untuk platform penstriman permainan video setempat. Kamera kecil dan nipis SlimFit dipertingkat kepada resolusi 2K dan serasi digunakan bersama persidangan video seperti Google Meet.
Bacaan Berkaitan
- [Reviu] Samsung Smart Monitor M5 & M7: Ini solusi kepada ruang kerja yang kemas
- Samsung Smart Monitor M8 ada hadiah bernilai RM947 untuk pendaftar minat dan tempahan awal
- Harga Samsung Smart Monitor M8 cecah RM3000, tempahan awal ada hadiah bernilai RM947
- IKEA antara yang terawal lancar produk Matter, piawaian smart home terbaharu