Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), telah mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din sebagai Pengerusi Interim (sementara) pada Jun tahun lepas. Beliau menggantikan tempat Datuk Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek yang telah tamat kontrak 2 tahun pada 9 Jun 2022 dan tidak diperbaharui.
Baru-baru ini, Mohamad Salim telah meletak jawatan beliau sebagai Pengerusi Interim dan SKMM telah mengumumkan lantikan baru untuk mengisi kekosongan tersebut. Bagaimanapun, nama baru yang diperkenal iaitu Datuk Muhammad Azmi Bin Mohd Zain masih memegang jawatan sebagai Pengerusi Interim.
Menurut SKMM, lantikan Muhammad Azmi berkuatkuasa pada 5 Januari 2023 dan mengambil alih tempat Mohamad Salim yang meletak jawatan pada 20 Disember 2022. Pengerusi interim baharu ini disifatkan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang telah berkhidmat dalam sektor awam selama 26 tahun, di pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan.
Muhammad Azmi dilahirkan di Kelantan dan menamatkan pengajian di Universiti Malaya pada tahun 1995 dengan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian. Dia memulakan kerjaya profesionalnya dalam perkhidmatan awam sebagai PTD pada 1996 sebagai Penolong Pengarah di Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Beliau juga telah berkhidmat di pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Wilayah Persekutuan dan sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya. Kini beliau adalah Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Di SKMM, beliau telah dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya selama 2 tahun, sejak 1 April 2022.
SKMM menyatakan keyakinan dengan pengalaman luas dan reputasi Muhammad Azmi dalam perkhidmatan awam, akan membantu melonjakkan SKMM dalam membangunkan sektor telekomunikasi dan multimedia. Sebagai ketua interim pengawal selia yang baharu, Muhammad Azmi akan menyelia isu dan perkembangan telekomunikasi semasa seperti pembangunan 5G Malaysia melalui rangkaian borong tunggal yang kini disemak semula, kebolehcapaian dan kualiti perkhidmatan talian tetap dan mudah alih, serta penipuan dalam talian.
[Sumber: SKMM]
Bacaan Berkaitan
- Mohamad Salim dilantik pengerusi sementara SKMM, ganti Fadhlullah yang cukup tempoh perkhidmatan
- Fahmi mahu DNB jangan umum liputan 5G sebelum disahkan SKMM
- Fahmi Fadzil mahu SKMM dan KKD kaji mekanisma terbaik atasi iklan scam di media sosial
- Barah scam dalam talian parah, YB Fahmi Fadzil arah SKMM bekerja lebih tangkas dan tegas
- Turun lagi harga internet, Fahmi Fadzil minta SKMM dan telco berbincang