[ PROMO ] Nikmati tambahan rebat RM200 ke atas harga telefon siri Samsung Galaxy S23 apabila anda beli menggunakan kod promosi SYGS23R eksklusif untuk pembaca SoyaCincau BM di kedai dalam talian Samsung Malaysia. Tawaran sah sementara stok masih ada.
==========
Acara Galaxy Unpacked pagi ini telah memperkenal model baru siri Galaxy S23, telefon pintar flagship keluaran Samsung. Ahli keluarga baru ini adalah mirip dengan siri Galaxy S22 dan Galaxy S21 dahulu. Ini bermakna, model terbaiknya adalah Galaxy S23 Ultra.
Sekali imbas melihatkan rupa luarannya, pasti ramai yang mengatakan ia tiada berbeza dengan Galaxy S22 Ultra. Ini termasuk S Pen yang boleh disimpan di dalam badannya. Tetapi Samsung memastikan ada peningkatan ketara dimuatkan ke dalam telefon pintar terbaik mereka bagi tahun 2023. Edisi tidak boleh lipat.
Prestasi terpantas, ruang terluas
Samsung sekali lagi tidak mengecewakan peminat apabila tidak menggunakan cip keluaran mereka, sebaliknya mengenakan cip Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy. Malah Samsung selangkah ke hadapan, apabila mendapatkan khidmat Qualcomm untuk menjadikan cip ini lebih hebat daripada biasa. Cip khas ‘for Galaxy‘ ini memiliki kelajuan CPU dan GPU lebih pantas daripada cip Snapdragon 8 Gen 2 biasa. Ini sahaja mencukupi untuk mengatakan ia adalah naik taraf yang hebat.
Menjadikan Galaxy S23 Ultra lebih perkasa sudah pastinya dengan gandingan mantap, RAM LPDDR5X seluas 12GB dan storan dalaman mudah alih terpantas, UFS 4.0. Lebih baik lagi, Samsung kali ini menawarkan pilihan storan sehingga 1TB. Kali terakhir Samsung menyediakan storan 1TB adalah pada tahun 2019, untuk Galaxy S10+ versi Ceramic.
Paparan hebat tidak diubah
Jika ada benda yang betul-betul sama dengan Galaxy S22 Ultra, ia adalah paparan. Samsung mengekalkan jenis skrin yang serupa untuk Galaxy S23 Ultra iaitu Dynamic AMOLED 2X berukuran 6.8-inci melengkung di sisi, resolusi Quad HD+ dan kadar penyegaran dinamik 1-120Hz. Ada lubang kecil di dahi skrin, menempatkan kamera hadapan. Pengimbas capjari ultrasonik juga ada di dalam skrin.
Apa yang dinaik taraf adalah jenis kaca. Samsung melapisi skrin ini dengan kaca Gorilla Glass Victus 2, kaca paling teguh dan tahan lasak keluaran Corning, serta yang pertama digunakan di telefon pintar.
Kamera mengezum bintang, bulan dan angkasa
Apalah guna telefon pintar baru jika kameranya tidak berubah. Walaupun nampak sama macam model sebelumnya, Samsung menyatakan ada banyak naik taraf di kamera kali ini. Bagaimanapun, ia lebih kepada kamera utamanya.
Daripada kamera 108MP, Galaxy S23 Ultra kini memiliki kamera utama 200MP F1.7 dengan penstabil imej optikal. Ia menggunakan sensor ISOCELL HP2 1/1.3-inci dan teknologi TetraBinning padanya mampu menggabungkan 16-piksel berhampiran kepada 1 piksel besar untuk menghasilkan gambar lebih cerah. Samsung juga memastikan gandingan perisian dan perkakas bergerak lancar untuk menangkap dan memproses gambar 200MP, tanpa pengguna terasa ada lengah.
Tiga lagi kamera belakang boleh dikatakan kamera yang sama dengan Galaxy S22 Ultra. Ia adalah kamera ultralebar 12MP F2.2, kamera telefoto F2.4 OIS (zum optikal 3x) dan kamera telefoto F4.9 OIS (zum optikal 10x). Gandingan 10x zum optikal dan 10x zum digital, membolehkan Space Zoom 100x dicapai untuk gambar jarak jauh kekal tajam dan jelas.
Samsung menaik taraf kemampuan pemproses kamera supaya lebih banyak mod canggih boleh digunakan. Antaranya ciri Nightography yang terkenal menangkap bulan dengan jelas, dipertingkat dengan fungsi Astrophotography, iaitu menangkap kerlipan bintang dengan jelas di langit. Ciri Expert RAW juga kini mampu menyimpan resolusi sehingga 50MP.
Kamera hadapan naik dan turun
Helaian spesifikasi menyatakan kamera hadapan Galaxy S23 Ultra memiliki resolusi 12MP sahaja. Ia kelihatan seperti turun taraf daripada 40MP di Galaxy S22 Ultra. Bagaimanapun, Samsung memastikan ia boleh menghasilkan swafoto lebih baik dengan teknologi pembidik dwi-piksel PDAF. Ini menjadikan teknologi auto fokus terdapat di kamera hadapan, malah ia boleh memfokus dengan cepat dan tepat. Sesuatu yang biasanya ada di kamera belakang sahaja.
Dengan dwi-piksel PDAF, pastinya swafoto akan kelihatan lebih tajam dan jelas. Perkara yang didambakan sekian lama peminat tegar selfie.
Apa itu bateri dan pengecas?
Ini adalah satu-satunya bahagian yang tiada langsung perubahan dan naik taraf. Galaxy S23 Ultra masih mengekalkan kapasiti bateri 5,000mAh di dalamnya.
Di samping itu, sokongan pengecasan pantas berwayar hanya sehingga 45W menggunakan kabel USB-C 3A. Dikatakan boleh mengecas dari 0-65% dalam 30 minit. Pengecas wayarles juga masih dengan 15W maksimum. Jangan lupa, pengecas dijual berasingan.
Komited melestarikan alam sekitar
Saban tahun, Samsung meningkatkan komitmen mereka untuk menghasilkan produk mesra alam sekitar. Antara langkah terbesar mereka adalah dengan tidak lagi memberi kepala pengecas, fon telinga dan mengecilkan kotak bungkusan.
Untuk Galaxy S23 Ultra, Samsung meningkatkan penggunaan bahan kitar semula daripada 6 komponen di Galaxy S22 Ultra kepada 12 komponen. Kaca Gorilla Glass Victus 2 yang lebih tahan lasak memastikan telefon boleh digunakan lebih lama, di samping dibuat daripada 22% bahan kitar semula.
Tetapi paling penting, telefon Samsung boleh digunakan lebih lama daripada telefon Android lain kerana Samsung menjamin kemaskini sistem operasi One UI dan Android sebanyak 4 kali, dan kemaskini keselamatan selama 5 tahun. Jadi pengguna tidak perlu risau adanya masalah keselamatan untuk telefon Samsung berusia 4 tahun atau lebih.
Untuk warna, Samsung kini mendapatkan inspirasi daripada alam sekitar dengan menawarkan warna yang kelihatan lembut dan tidak garang iaitu hijau, krim, hitam dan ungu lavender. Warna ini juga serupa untuk semua model, tidak lagi berbeza untuk Ultra sahaja.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Samsung Galaxy S23 Ultra.
Spesifikasi Penuh Galaxy S23 Ultra
- SoC Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy
- RAM LPDDR5x 12GB
- Storan UFS 4.0 256GB/512GB/1TB
- Skrin Dynamic AMOLED 2X 6.8-inci melengkung (1-120Hz) 1,750 nits
- Kamera Belakang:
- Utama 200MP F1.7 ISOCELL HP2 1/1.3″ OIS
- Ultralebar 12MP F2.2 120˚
- Telefoto 10MP F2.4 OIS 3x zum optikal
- Telefoto 10MP F4.9 OIS 10x zum optikal
- Kamera hadapan: 12MP F2.2 dwi-piksel PDAF
- Bateri 5,000mAh
- Pengecas pantas USB-C 45W, wayarles 15W
- Sistem operasi One UI 5.1 (Android 13)
- Rangkaian: 5G, LTE, Wi-Fi 6E, Bluetooth v 5.3
- Kalis air IP68