Selepas membuat perubahan besar dalam pelan prabayar awal bulan ini, Unifi Mobile kini dilihat telah memperbaharui pelan pascabayar pula. Tiada lagi pelan semua tanpa had RM99/bulan dan diganti dengan beberapa pelan berkuota.
Laman web pascabayar Unifi Mobile kini menyenaraikan tiga pelan baru iaitu Uni5G Postpaid 39, Uni5G Postpaid 65 dan Uni5G Postpaid 89. Walaupun nama nampak serupa, ia sebenarnya pelan yang berbeza kerana ada yang dikenakan kuota dan ada yang tanpa had kuota.
Bagi pelan Uni5G Postpaid 39, ia berharga RM39/bulan dan memiliki kuota 30GB untuk kegunaan 4G dan 5G. Agak pelik apabila hotspot dikenakan kuota berasingan iaitu 10GB manakala panggilan diberi tanpa had. SMS dicaj 15 sen setiap satu.
Untuk pelan Uni5G Postpaid 65 pula, harga RM65 yang tertera dipotong dan diganti dengan RM55/bulan. Ia ada kuota 60GB untuk 4G dan 5G, hotspot 10GB dan panggilan tanpa had. SMS dikenakan caj 15 sen.
Akhir sekali adalah pelan tanpa had Uni5G Postpaid 89 berharga RM89/bulan. Data tanpa had diberi untuk kegunaan 4G dan 5G, bersama hotspot hanya 10GB, panggilan tanpa had serta SMS 15 sen. Pelan ini dilihat sebagai pengganti pelan Unifi Mobile 99 yang memberi segalanya tanpa had termasuk SMS tetapi hotspot hanya 10GB.
Bagaimanapun, semakan di ruangan soalan lazim FAQ membongkarkan banyak perkara tersembunyi.
Mulai 17 Februari 2023, hanya dua pelan Uni5G yang sedia dilanggan iaitu Postpaid 39 dan Postpaid 65. Pelan tanpa had Postpaid 89 akan datang, termasuk pelan talian tambahan Postpaid Supplementary 39, tetapi tidak diketahui bila tarikh ia sedia dilanggan.
Pengguna pelan Postpaid 89 kelak, boleh melanggan sehingga 5 pelan Postpaid Supplementary 39. Kuota talian tambahan akan dikongsi bersama talian utama iaitu tanpa had untuk kegunaan sendiri dan hotspot 10GB. Pelan Postpaid 89 juga akan menawarkan pembelian peranti lebih murah bersama kontrak selama 24 bulan.
Diskaun RM10 untuk masa terhad
Tetapi nota di bawah pelan tersebut lebih mengejutkan. Diskaun RM10 untuk pelan Postpaid 65 ditawarkan untuk pendaftaran dari 17 Februari sehingga 30 April 2023 sahaja. Pelanggan yang telah mendaftar, akan menikmati harga RM55/bulan sepanjang langganan mereka.
Tambah mengejutkan apabila pelan Postpaid 39 dan Postpaid 65 sebenarnya ibarat pelan tanpa had. Selepas kuota habis digunakan, pengguna masih boleh menggunakan internet tetapi dengan kelajuan disekat ke 512Kbps. Ini adalah cara yang betul untuk menamakan pelan yang dikatakan tanpa had tetapi ada FUP. Dalam hal ini, pelan Postpaid 39 adalah tanpa had tetapi FUP 30GB manakala pelan Postpaid 65 tanpa had dengan FUP 60GB. Kuota sebenarnya adalah nama yang lebih tepat berbanding FUP.
Hotspot 5G perlu dibeli berasingan
Di bahagian Data dalam FAQ tersebut, ia menyatakan semua pelan baru ini menyokong 5G. Bagaimanapun, kuota hotspot 10GB yang diberikan di dalam pelan hanya untuk kegunaan rangkaian 4G LTE sahaja.
Jika mahu menggunakan hotspot di rangkaian 5G, kena beli kuota hotspot tambahan 10GB berharga RM31.80. Hotspot tambahan ini boleh digunakan di rangkaian 4G dan 5G.
Unifi Mobile menyokong iMessage dan Facetime?
Dalam FAQ yang sama, Unifi Mobile menyatakan Uni5G Postpaid kini menyokong iMessage dan FaceTime untuk pengguna iOS. Pengguna akan dikenakan caj SMS RM0.50 untuk pengaktifan jika menggunakan nombor telefon Unifi Mobile. Kerana itu, pengguna digalakkan untuk mendaftar iMessage dan FaceTime menggunakan Apple ID kerana tiada caj dikenakan.
Tetapi semakan di laman web Apple, masih tidak kelihatan nama Unifi Mobile disenaraikan sebagai rangkaian yang menyokong iPhone di Malaysia. Hanya ada Celcom, Digi dan U Mobile yang menyokong 5G di iPhone dan Maxis dengan LTE.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelan baru ini, layari laman web Unifi Mobile Postpaid.