MRT Laluan Putrajaya fasa kedua telah dibuka sepenuhnya. Majlis pembukaan ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. PM turut mengumumkan, tambang percuma untuk semua pengguna MRT Putrajaya selama 15 hari, sehingga 31 Mac 2023.
Di sini, saya nak berkongsi semua maklumat yang anda perlu tahu sebelum menaiki MRT Putrajaya. Anda boleh tonton video ini atau teruskan membaca di bawah:
STESEN
MRT Putrajaya ni ada 36 stesen kesemuanya. bermula dari Kwasa Damansara berhampiran Kota Damansara, ia lalu tepi MRR2 dari Sungai Buloh ke Kepong, kemudian melintasi Jalan Ipoh sampai ke Titiwangsa. Di sini ada banyak stesen dalam bandar seperti Hospital Kuala Lumpur, Kampung baru, Ampang Park dan TRX. Dari situ, ia menuju ke Sungai Besi, Serdang, UPM, Cyberjaya dan akhir sekali tamat di stesen Putrajaya Sentral.
Lepas tu, ada sebanyak 5 stesen pertukaran ke laluan tren lain tanpa perlu keluar stesen. Ini penting untuk diketahui supaya perjalanan lebih lancar.
- Stesen Kwasa Damansara ke MRT Kajang
- Stesen Titiwangsa ke Monorel KL serta LRT Ampang dan Sri Petaling
- Stesen TRX ke MRT Kajang
- Stesen Chan Sow Lin ke LRT Ampang dan Sri Petaling
- Stesen Sungai Besi ke LRT Sri Petaling
Kemudian, ada 5 lagi stesen yang bersambung ke laluan tren lain tetapi anda kena keluar stesen MRT. Maknanya, kena bayar dua kali iaitu:
- Stesen Sungai Buloh ke KTM Komuter
- Stesen Sri Damansara Timur ke KTM Komuter
- Stesen Kampung Batu ke KTM Komuter
- Stesen Ampang Park yang bersambung ke LRT Kelana Jaya
- Stesen Putrajaya Sentral yang bersambung ke ERL KLIA
PARK N RIDE
Kalau anda nak bawa kenderaan, ada 17 stesen yang menyediakan tempat letak kenderaan Park n Ride iaitu:
- Kwasa Damansara
- Sungai Buloh
- Sri Damansara Barat
- Sri Damansara Sentral
- Sri Damansara Timur
- Metro Prima
- Jinjang
- Kentonmen
- Kuchai
- Taman Naga Emas
- Sungai Besi
- Serdang Raya Utara
- Serdang Raya Selatan
- UPM
- Taman Equine
- Cyberjaya Utara
- Putrajaya Sentral
BAS
Bas Perantara MRT juga ada disediakan di semua stesen. Boleh semak di laman web MyRapid untuk maklumat lanjut tentang laluannya.
TAMBANG
Untuk tambang pula, ada dua jenis kadar dikenakan. Pertama kalau beli token dan bayar guna wang tunai di mesin atau di kaunter. Cara kedua pula tanpa tunai, guna kad Touch n Go. Dinasihatkan untuk guna kad Touch n Go selalu sebab kadar dia lebih murah daripada beli token.
Kalau nak lagi murah, boleh dapatkan pas My50 berharga RM50 dan boleh digunakan tanpa had selama 30 hari di semua tren dan bas kendalian RapidKL. Ia boleh dilanggan menerusi kaunter di semua stesen MRT dan LRT.
Selain itu, ada juga Pas MyCity 1 hari RM5, dan MyCity 3 hari RM15. Pas ni pun boleh digunakan di semua tren RapidKL dan BRT tanpa had mengikut hari, tetapi tidak termasuk bas perantara MRT dan bas RapidKL. Pas MyCity ni sebenarnya lagi murah kalau anda buat perjalanan dua hala pada hari yang sama. Kalau berjalan lebih sehari tu, lagi untung.
TAMBANG PERCUMA 15 HARI
Akhir sekali, mengenai tambang percuma yang diumum PMX. Tambang percuma untuk MRT Putrajaya ini diberikan selama 15 hari, dari 16 Mac sampai 31 Mac 2023. Ada syarat dan terma perlu dipatuhi, kalau tak ikut nanti kena bayar.
Tambang percuma ni untuk pengguna MRT Putrajaya sahaja, termasuk tren lain kalau laluan MRT Putrajaya sebahagian daripada perjalanan. Cara nak layak tambang percuma ni senang, iaitu kena keluar atau masuk dari salah satu 36 stesen MRT Putrajaya. Penting ambil tahu perkara ini, kalau keluar atau masuk dari stesen LRT, Monorel atau MRT Kajang.
Contohnya, anda masuk dari Stesen MRT Kajang sampai ke Stesen TRX dan tukar ke laluan MRT Putrajaya tanpa keluar stesen menuju ke Stesen Kepong. Ini dapat percuma.
Tapi, kalau anda naik dari Stesen Wangsa Maju LRT Kelana Jaya, turun di Ampang Park kemudian keluar stesen dan masuk ke Stesen Ampang Park bagi MRT Putrajaya, menuju ke Putrajaya Sentral, bahagian LRT Kelana Jaya dari Wangsa Maju ke Ampang Park tu kena bayar, bahagian MRT Putrajaya dari Ampang Park ke Putrajaya Sentral tu percuma.
Faham tak? Kalau tak faham anda boleh tanya di komen nanti kami tolong jawab.
Selain itu, pemegang pas My50 akan dapat tambahan 15 hari bila perbaharui pas My50, antara 1 April hingga 30 April 2023. Pastikan anda semak bila perbaharui My50 tu dan dapat tambahan 15 hari ya.