Info tentang iPhone 15 mula bertiup kencang. Mereka di 9to5Mac beroleh maklumat eksklusif tentang flagship 2023 yang bakal Apple lancarkan antara suku 3 dan 4 nanti. Menggunakan maklumat tersebut, mereka berjaya hasilkan lakaran CAD mempamerkan gambaran rupa iPhone 15 Pro.
Ini adalah 6 perkara yang perlu anda tahu tentang iPhone 15.
1. Badan berbingkai Titanium
Badan siri iPhone 14 Pro sekarang diperbuat daripada keluli nirkarat. Untuk siri iPhone 15 Pro pula, dikatakan yang Apple bakal mengguna pakai materi titanium untuk menghasilkan badan telefon yang bakal dilancarkan ini. Anda boleh jangkakan iPhone yang lebih ringan kelak kerana ketumpatan Titanium adalah 40% lebih rendah berbanding keluli nirkarat.
Dalam erti kata lain, iPhone 14 Pro Max mungkin cuma seberat 144g sahaja berbanding 240g sekiranya materi titanium digunakan untuk badannya.
Selain daripada manfaat itu, Titanium masih mengekalkan manfaat keluli nirkarat seperti tahan karat, tahan calar, dan warna hitam Titanium adalah semula jadi.
Namun, Titanium adalah bahan mentah lebih mahal berbanding keluli nirkarat. Jadi, jangkakan harga jualan iPhone 15 Pro yang lebih tinggi.
2. Bonggolan kamera lebih besar dan tebal
Bahagian kamera juga bakal menyaksikan perubahan besar. Secara keseluruhannya, bonjolan kamera akan lebih tebal untuk menempatkan naik taraf besar-besaran pada komponen kamera.
Contohnya, iPhone 15 Pro dikatakan perlukan jarak lensa daripada sensor yang lebih jauh dek penggunaan sensor jenis baharu, makanya bonjolan kamera mungkin 2 kali ganda lebih tebal berbanding iPhone 14 Pro. iPhone 15 Pro Max pula katanya akan ada kamera telefoto jenis periskop.
3. Semua iPhone 15 guna USB-C
Seperti yang dijangka, USB-C akan disebar luaskan ke iPhone kali ini bagi memenuhi piawaian pasaran Eropah.
Walau bagaimanapun, jangkakan terdapat beberapa pengehad dikenakan kepada aksesori-aksesori USB-C yang bakal anda gunakan pada iPhone 15 kerana pastinya fungsi penuh port ini hanya boleh dinikmati produk berstatus MFI.
4. Haptic volume and mute buttons
Tiada lagi butang dan suis fizikal. iPhone 15 Pro bakal memperkenalkan butang peka sentuhan dengan suap balas haptik. Ia seperti butang Touch ID pada iPhone 8 dulu.
5. Bingkai paparan 20.5% lebih nipis
Bingkai panel paparan akan terus mengecut. Untuk iPhone 15 Pro, dilaporkan bingkai itu cuma 1.55mm berbanding 1.95mm pada iPhone 14 Pro.
6. Warna baharu
Seperti biasa, jangkakan warna baharu diperkenalkan. Menurut laporan, kod warna baharu yang akan diguna pakai adalah 410D0D.
Sumber: 9to5Mac