Lotus Cars Malaysia, pemegang francais tunggal kenderaan Lotus di Malaysia hari ini melancarkan SUV elektrik berprestasi tinggi (Hyper-SUV) pertama Lotus untuk pasaran Malaysia, dikenali sebagai Lotus Eletre. Ia dikatakan membawa prinsip asas dan DNA Lotus dari segi kejuruteraan dan reka bentuk, tetapi terpaksa mengabaikan satu perkara terpenting Lotus iaitu berat kenderaan.
Sebagai SUV elektrik baharu sepenuhnya, Eletre menampilkan banyak perkara pertama buat Lotus. Antaranya model pertama di luar segmen kereta sukan, kenderaan elektrik (EV) gaya hidup pertama dan kereta Lotus yang paling terhubung setakat ini.
Varian dan harga jualan di Malaysia
Kesemua tiga varian Lotus Eletre tersedia untuk jualan bagi pasaran Malaysia. Harga Lotus Eletre, tidak termasuk insurans dan cukai jalan untuk Semenanjung Malaysia sahaja, adalah seperti berikut:
- Lotus Eletre – dari RM578,000
- Lotus Eletre S – dari RM648,000
- Lotus Eletre R – dari RM798,000
Lotus Malaysia memberikan jaminan pengilang untuk Lotus Eletre selama 5 tahun atau 150,000km, yang mana terdahulu. Manakala manakala jaminan bateri adalah selama lapan tahun atau 200,000km. Semasa pelancaran, Lotus menyatakan mereka telah menerima sebanyak 140 tempahan. Tahun ini, mereka menyediakan sebanyak 200 unit untuk pasaran tempatan.
Terdapat banyak pek tambahan disediakan untuk pelanggan Lotus Eletre, untuk mengubah suai dan menambah aksesori kereta mengikut kemahuan mereka. Antara pilihan yang ada sewaktu pelancaran termasuklah Lotus Dynamic Handling Pack, Ceramic Brake Pack, Executive Seat Pack, Comfort Seat Pack, Carbon Fibre Pack, Extended Carbon Fibre Pack dan Interior Carbon Fibre Pack. Kebanyakan pilihan daripada pek-pek berkenaan juga boleh didapati secara berasingan. Dua pek Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) juga ditawarkan – Parking Pack dan Highway Assist Pack.
Kuasa Enjin dan Pengecas
Lotus Eletre dibina berasaskan platform serba baharu Lotus iaitu 800v Electric Premium Architecture (EPA). Platform ini menggunakan aluminium dan besi regangan tinggi untuk kekukuhan struktur badan yang optimum, dengan sistem agihan kuasa bersepadu dan bervoltan tinggi.
Lotus Eletre hadir dengan dua pilihan enjin, bersama dua motor elektrik pada roda hadapan dan belakang untuk menawarkan keupayaan pacuan semua roda (AWD).
Model asas Eletre dan Eletre S dikuasakan oleh motor elektrik tunggal, menghasilkan 603hp dan tork 710Nm dengan prestasi pecutan 0-100km/j dalam masa 4.5 saat. Kedua-dua varian mampu mencapai kelajuan maksimum 258km/j dan jarak pemanduan maksimum WLTP sejauh 600km.
Varian teratas Eletre R hadir dengan sistem dua motor elektrik yang menawarkan kuasa 905hp dan tork 985Nm. Ia mampu mencapai kelajuan 0-100km/j dalam masa cuma 2.95 saat dan pecutan maksimum 265km/j. Ini menjadikannya SUV elektrik dua motor paling pantas di dunia. Jarak pemanduan WLTP untuk Eletre R adalah sejauh 490km.
Ketiga-tiga varian menggunakan bateri berkapasiti 112kWh dan menyokong pengecas DC 350kW, yang membolehkan pengecasan pantas dari 10% ke 80% dalam masa hanya 20 minit. Ia juga berupaya menerima pengecasan AC 22kW sebagai ciri standard.
Lotus Eletre dilengkapi dengan lima mod pemanduan, yang mengubah suai maklum balas stereng, tetapan peredam, rangkaian kuasa dan pedal pecutan. Mod-mod itu ialah Range, Tour, Sport, Off-Road dan Individual yang terdapat pada semua varian.
Eletre R menerima mod tambahan ‘Track’ yang dibangun berdasarkan kepada ujian ekstensif di litar Nürburgring. Ia memberikan tetapan yang lebih rendah dan berorientasikan kepada prestasi. Ini termasuklah stereng roda belakang aktif, peredam adaptif dan kawalan anti-oleng aktif untuk menawarkan prestasi dinamik pada tahap lebih tinggi. Mod Track juga merangkumi satu gril aktif yang boleh dibuka sepenuhnya dan kawalan pelancaran dengan akses pantas kepada kuasa sebenar kereta.
Ciri luaran standard yang terdapat pada Lotus Eletre termasuklah lampu utama Matrix LED dengan lampu tinggi, lampu nyalaan siang LED, lampu sisi LED, lampu kabus LED, lampu mengundur LED, lampu ‘welcome home’, pintu belakang bebas tangan dengan memori ketinggian bukaan, semburan air panas dan bumbung aluminium berwarna hitam berkilat. Bagi Varian Eletre S dan Eletre R, ditambah dengan ciri seperti cermin sisi auto malap, kaca privasi belakang dan pintu dengan ciri tutupan lembut. Eletre R juga menerima Carbon Pack sebagai ciri standard.
Brek dan Tayar
Semua varian hadir dengan cakera brek ringan dan angkup enam omboh – warna hitam standard untuk Eletre dan pilihan warna bagi varian Eletre S dan Eletre R. Pilihan tayar juga sedikit berbeza.
Varian asas Eletre dipasang dengan tayar Pirelli P-Zero bersama rim aloi 10 jejari bersaiz 22-inci berwarna perak. Eletre S didatangkan dengan tayar Pirelli P-Zero dan rim aloi tempa 10 jejari bersaiz 22-inci berwarna kelabu. Manakala Eletre R menggunakan tayar berprestasi tinggi Pirelli P-Zero CORSA dengan rim aloi tempa 10 jejari bersaiz 23-inci berwarna hitam berkilat.
Suasana Dalaman
Lotus Eletre datang dengan kedudukan lima tempat duduk, bersama kapasiti but 688 liter dan 1,532 liter apabila kerusi belakang dilipat. Terdapat juga pilihan empat tempat duduk di dalam pilihan Executive Seat Pack.
Semua varian juga hadir dengan cermin pandang belakang tanpa bingkai auto malap, kolum stereng boleh laras secara elektrik empat cara dan stereng multi fungsi dengan ciri pemanas secara standard. Di samping port USB-C depan belakang, sistem kawalan suhu automatik empat zon, tempat duduk hadapan boleh laras secara elektrik 12 tetapan dengan memori, corong pendingin udara depan belakang yang boleh dilaras secara elektrik, serta cagak tempat duduk kanak-kanak i-Size pada kerusi belakang.
Sistem Maklumat dan Hiburan
Sistem infotaimen di dalam Lotus Eletre dibangunkan hasil kerjasama di antara pasukan Lotus di Warwickshire dan China yang berpengalaman luas dalam bidang User Interface (UI) dan User Experience (UX). Ia dikuasakan oleh Sistem Operasi baharu – Lotus Hyper OS – dengan kuasa pemprosesan daripada dua unit SoC Qualcomm 8155. Sokongan 5G turut tersedia dan ia boleh berhubung ke aplikasi telefon pintar, kemas kini ke udara (OTA) dan pembelian ciri berkaitan perisian. Pelanggan juga oleh mengunci dan membuka kenderaan menggunakan aplikasi telefon pintar.
Lotus Eletre dilengkapi sistem infotaimen dengan paparan terapung OLED HD Penuh bersaiz 15.1-inci dan boleh dilipat apabila tidak digunakan. Maklumat pemanduan juga boleh dipaparkan kepada pemandu menerusi paparan head-up yang menampilkan teknologi realiti tambahan (augmented reality, AR) yang menjadi ciri standard pada semua varian.
Lotus turut bekerjasama dengan HERE Technologies untuk menawarkan perkhidmatan navigasi bersepadu kepada Eletre. Perkhidmatan itu termasuklah EV Routing, EV Range Assistant dan Predictive Routing yang boleh dikemas kini melalui OTA.
Untuk sistem audio, Eletre dan Eletre R hadir dengan tetapan 15 unit pembesar suara KEF Premium berkuasa 1,380-watt bersama Uni-QTM dan teknologi bunyi keliling. Eletre S pula dilengkapi dengan sistem 23 unit pembesar suara KEF Reference berkuasa 2,160-watt bersama Uni-Q, Uni-Core dan teknologi bunyi keliling.
Ciri Keselamatan Pintar
Lotus Eletre dilengkapi sistem keselamatan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) pintar komprehensif yang direka untuk masa depan. Malah, ciri-ciri baharu boleh dimuat turun menerusi OTA.
Semua varian hadir dengan ciri Adaptive Cruise Control (ACC), satu sistem pemantauan pemandu, Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Front Cross Traffic Alert (FCTA), Lane Keep Assist dengan Lane Departure Warning / Prevention (LKA+), Blind Spot Detection, Traffic Sign Information (TSI), Front dan Rear Park Assist, Visual Park Assist serta Lotus Intelligent Dynamic Chassis Control.
Eletre juga dilengkapi dengan sistem LIDAR yang boleh diubah suai pertama di dunia bagi menyokong keseluruhan teknologi pemanduan autonomi dan boleh menerima kemaskini pembangunan di masa akan datang. Perkara ini boleh dicapai kerana perkakasan itu sudahpun disepadukan. Keupayaan seterusnya boleh ditambah menerusi kemas kini perisian menerusi OTA apabila ia dibenarkan oleh peraturan dan undang-undang tempatan.
Pilihan Warna
Lotus menyediakan enam pilihan warna iaitu merah (Natron Red), hijau (Galloway Green), hitam (Stellar Black), kelabu (Kaimu Grey), kelabu (Blossom Grey) dan kuning (Solar Yellow).
Dengan pilihan standard, berat Lotus Eletre mencecah 2,490kg atau 2.49 tan. Sedikit sebanyak, ia jauh daripada falsafah pengasas Lotus Cars, Collin Chapman iaitu, “Menambah kuasa menjadikan anda lebih pantas di laluan lurus. Mengurangkan berat menjadikan anda lebih pantas di mana-mana”. Lotus selama ini terkenal dengan kenderaan kompak yang memiliki berat kurang daripada 1,000kg.
Untuk maklumat lanjut, layari laman Lotus Eletre di Lotus Cars Malaysia.