Hari Raya Aidilfitri akan tiba beberapa hari sahaja lagi. Pasti ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang akan ambil peluang ini untuk pulang ke kampung dan pergi bercuti. Jadi, sudah tentu lebuhraya akan dibanjiri kenderaan berikutan cuti umum ini.
Untuk mengelak tempuhi jalan sesak, anda boleh rancang perjalanan lebih awal dengan lihat cadangan waktu perjalanan untuk ke destinasi tertentu di laman web PLUS.
Anda cuma perlu pilih jenis perjalanan sama ada pulang ke kampung sebelum Hari Raya atau pulang ke bandar selepas Hari Raya. Seterusnya, pilih destinasi anda bertolak dan destinasi yang ingin dikunjungi berdasarkan tol masuk dan keluar lebuhraya PLUS. Kemudian, tarikh dan cadangan waktu perjalanan akan dinyatakan di situ.
Apabila saya pilih lokasi secara rawak, semuanya menyatakan cadangan masa untuk bertolak ke destinasi adalah sebelum 9 pagi. Tidak pasti sama ada laman web ini ada masalah atau memang orang ramai dicadangkan begitu.
Jadi, sebagai langkah untuk mengelak daripada tersekat dalam kesesakan jalan raya, berikut 5 perkara boleh anda lakukan:
- Elak guna jalan raya semasa waktu puncak
- Semak laluan alternatif di peta dan guna GPS
- Ikuti perkembangan lalu lintas, seperti peka dengan pertukaran lampu isyarat
- Guna motor atau pengangkutan awam
- Dengan radio untuk ketahui status dan keadaan trafik
Jika anda terpaksa memandu dalam jalan yang sesak, ingat untuk sentiasa pandu dengan selamat dengan mengikut langkah ini:
- Pandu dengan tenang. Elak memandu secara agresif contohnya kerap bertukar lorong
- Jaga jarak dengan kenderaan lain. Kekalkan jarak selamat dengan sekurang-kurangnya dua saat dengan kenderaan di hadapan
- Kekal fokus semasa memandu. Elak melakukan perkara yang boleh ganggu tumpuan seperti makan, menukar stesen radio atau guna telefon
- Kenalpasti titik buta untuk elak langgar kenderaan lain semasa tukar laluan