Kalau anda bercadang untuk memiliki Perodua QV-E, mungkin sekarang masa yang sesuai. Perodua didapati melanjutkan rebat RM10,000 sehingga hujung Oktober 2026, iaitu rebat yang asalnya ditawarkan sempena Hari Malaysia.
Rebat ini diteruskan di bawah kempen October Mega Drive yang diumumkan di akaun media sosial rasmi Perodua. Selain kereta elektrik pertama Perodua itu, kempen ini turut menawarkan rebat untuk beberapa model ICE terpilih, termasuk Aruz, Ativa, Axia, Bezza dan Myvi.
Namun, rebat RM10,000 untuk QV-E kekal sebagai penjimatan terbesar dalam keseluruhan barisan model Perodua.
Tawaran Perodua QV-E October Mega Drive

Rebat ini terpakai untuk pelan sewaan bateri dan pembelian terus. Rebat RM6,500 yang diperkenalkan pada Jun lalu juga masih sah bersama promosi October Mega Drive, jadi pembeli boleh menikmati jumlah penjimatan sehingga RM16,500.

Berikut harga QV-E selepas kedua-dua rebat digabungkan:
- Perodua QV-E dengan pelan sewaan bateri: RM53,499 (sebelum ini RM63,499)
- Perodua QV-E pembelian terus: RM77,499 (sebelum ini RM87,499)
Bagi pilihan sewaan bateri, kadar yuran bulanan kekal pada RM215 sebulan. Untuk tempoh sewaan penuh selama 9 tahun, jumlah kos yang dibayar untuk bahagian bateri sahaja ialah RM23,220.
Jika dicampur harga kenderaan dan bayaran sewaan bateri untuk tempoh 9 tahun, jumlah keseluruhan kos memiliki QV-E di bawah pelan sewaan ialah RM76,719. Ini bermakna perbezaan kos antara pelan sewaan bateri dan pembelian terus hanyalah sebanyak RM780.
Spesifikasi ringkas Perodua QV-E

QV-E dilengkapi motor elektrik di bahagian hadapan yang menghasilkan 150kW (201hp) dan tork 285Nm. Kuasanya datang daripada bateri CATL LFP 52.5kWh, dengan jarak perjalanan sehingga 370km mengikut penarafan WLTP.
Untuk pengecasan, QV-E menyokong pengecasan pantas DC sehingga 60kW dan pengecasan AC 6.6kW. Menurut Perodua, pengecasan dari 30% ke 80% mengambil masa kira-kira 30 minit melalui pengecas DC, manakala pengecasan penuh dari 0% ke 100% mengambil masa sekitar 8 jam menerusi pengecas AC.

QV-E menggunakan reka bentuk Sportback moden, menampilkan lampu DRL hujung ke hujung, bar lampu belakang, pemegang pintu rata (flushed) di bahagian depan, pemegang pintu belakang jenis quarter handle serta rim aloi aero 18 inci. Bahagian dalam pula mengekalkan rekaan kemas dan praktikal khas Perodua, berwarna hitam dengan aksen kelabu-perak.
Bahan yang digunakan kebanyakannya plastik, dengan kemasan lembut pada papan pemuka dan bumbung dalaman.Tempat duduknya menggunakan gabungan kulit sintetik dan fabrik. Stereng dua jejari berbentuk bawah rata pula dibalut kulit. Ia turut dilengkapi suis fizikal untuk kawalan penyaman udara serta pemilih gear berputar dengan suis togol untuk mod pemanduan.

QV-E mempunyai tiga paparan digital: papan pemuka digital 10.25 inci, paparan infotainmen 10.25 inci dan cermin pandang belakang digital. Kereta elektrik ini juga menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Pengguna QV-E juga boleh menggunakan aplikasi P-Circle untuk memantau dan mengawal beberapa fungsi kereta, seperti tetapan pengecasan dan penyaman udara.
Dari segi keselamatan, QV-E dilengkapi 6 beg udara sebagai standard dan senarai ciri ADAS yang panjang, termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC), Blind Spot Detection (BSD), Lane Keep Assist (LKA), Traffic Jam Assist (TJA) dan banyak lagi. Ia turut mempunyai kamera Surround View Monitoring, sensor Tyre Pressure Monitoring (TPMS) dan perakam video pemanduan terbina dalam.

QV-E juga dilengkapi Child Presence Detector (CPD) yang direka untuk mengurangkan risiko kanak-kanak tertinggal di dalam kenderaan. Terdapat juga sistem Emergency SOS terbina dalam yang membolehkan anda menghubungi Pusat Panggilan Perodua jika kereta mengalami kerosakan. Sistem ini turut menghubungi pusat panggilan secara automatik jika beg udara diaktifkanketika kemalangan.






